Jamaah Tabligh dan PAS

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

 

Jamaah Tabligh adalah sebuah jamaah umat Islam terbesar di dunia. Bermula di India seabad lalu, melalui gerakan dakwah yang dipelopori oleh Maulana Muhammad Ilyas al Kandahlawy, seorang ulama besar yang tersohor, Jamaah Tabligh terus berkembang ke seluruh dunia.

Maulana Muhammad Ilyas memulakan gerakan dakwahnya di tengah-tengah masyarakat Islam India yang terumbang ambing akidah dan pegangan hidup mereka yang dikepung oleh budaya hidup orang India yang majoritinya beragama Hindu. India pada kala itu telah lama dijajah oleh British yang menghilangkan pengaruh pemerintahan Islam di India sebelumnya.

Dalam masa yang begitu cepat, dakwahnya diterima umat Islam India yang begitu dahagakan dakwah dan peranan para ulama di dalam menggerakkan Islah Islami di dalam masyarakat. Dalam masa yang cepat juga, gerakan yang dikenali sebagai Jamaah Tabligh ini berkembang ke serata tempat di seluruh benua India yang luas.

Kini, hampir tiada negara yang tiada jamaah ini yang bergerak dan mengoperasikan dakwah mereka. Bahkan seperti hampir pasti bahawa jamaah umat yang besar ini tidak akan hilang daripada kehidupan umat Islam dengan izin Allah. Banyak faktor yang mengukuhkan andaian itu. Antaranya ialah kekuatan para ulamak mereka yang ramai dan jihad para ahlinya yang begitu ikhlas.

Seperti jamaah-jamaah Islam yang lain, Jamaah Tabligh juga ada pendukung dan penentangnya di mana-mana. Banyak faktor juga yang menjadikan mereka tidak pernah goyang dengan fitnah dan tentangan. Antaranya ialah mereka tidak pernah bersaing dengan mana-mana jamaah lain di dalam merajai sesuatu kelompok atau tempat. Mereka berdakwah siang dan malam tanpa mencabar kuasa dan kedudukan sesiapa. Akhirnya, pesaing atau penentang mereka akan mengundur diri, kelu dan kaku untuk beradu tenaga.

Jamaah Tabligh menumpukan kepada dakwah islah dan pembaikan hati manusia dan ibadah mereka kepada Allah. Bagi mereka, dengan hati yang ikhlas dan amal ibadah yang soleh, umat Islam akan menjadi baik kehidupan mereka di dunia, apatah lagi di akhirat. Kerosakan dan kehinaan umat Islam hari ini adalah kerana kejahilan dan pengabaian terhadap ugama mereka sendiri. Jika mereka kembali kepada Islam, kehidupan mereka akan mulia dan dihormati di seluruh dunia.

Antara yang paling menarik di dalam cara dakwah mereka ialah program keluar berdakwah dengan meninggalkan kampung halaman dan adat kebiasaan yang mengepung dan memenjarakan individu muslim sehingga sukar untuk mengubah kebiasaan hidup mereka.

Mereka akan keluar secara berjamaah selama tiga hari, seminggu dan sehingga memakan tahun untuk berdakwah di serata tempat yang diputuskan oleh jamaah. Mereka juga diajar membudayakan ibadah iktikaf di masjid yang memudahkan ibadah mendekatkan diri kepada Allah. Cara ini dikira paling berjaya dan terus dipraktiskan sehingga ke hari ini.

Hampir semua lapisan umat Islam aktif di dalam Jamaah Tabligh. Daripada kalangan para ulamak, penuntut ugama, orang awam sehinggalah ahli akademik dan profesional, masing-masing menyumbangkan peranan masing-masing dan menjadi tunjang kepada kejayaan jamaah ini.

Semasa saya belajar di India, saya acap kali singgah di markaz utama Jamaah Tabligh di Nizamudin, New Delhi. Boleh dikatakan setiap hari akan ada jamaah dari luar negara yang tiba ke markaz ini. Saya sentiasa bertemu dengan rombongan dari Malaysia yang pelbagai latar belakang datang di sini. Bagi mereka, ia adalah satu kepuasan yang nyata dapat datang ke India, tempat bermulanya dakwah jamaah ini.

Bagi mereka, selain datang untuk islah diri dan berdakwah di negara besar ini, mereka juga berpeluang mengikuti ceramah dan kuliah ugama oleh para ulamak besar India di masjid Nizamudin yang hampir setiap waktu dipenuhi dengan jadual kuliah. Ulama India jika diperhatikan memiliki kepetahan berucap dan keupayaan daya tarikan yang hebat di dalam memikat hati umat Islam melalui kuliah mereka yang sebahagiannya memakan masa berjam-jam lamanya.

Baru-baru ini saya dan rakan-rakan daripada Dewan Pemuda PAS Malaysia sempat mengadakan lawatan ke markaz besar Jamaah Tabligh di Masjid Sri Petaling, Selangor. Lawatan ini, selain bertemu mata dengan rakan-rakan seperjuangan dalam gerakan dakwah, ia adalah bertujuan untuk mendekatkan hubungan PAS dengan gerakan dakwah terbesar di dunia ini.

Alhamdulillah, ia adalah pertemuan yang cukup menggembirakan. Kebanyakan para maulana yang memimpin markaz dan madrasah di Sri Petaling adalah kenalan atau mereka yang pernah menuntut ilmu agama di benua India dan Pakistan. Apa yang mereka belajar, itulah yang saya belajar. Sistem pendidikan 'Deobandi' adalah paling terkenal di sana. Keutamaan sistem ini ialah pengajian talaqqi kitab-kitab hadis nabawi yang muktabar.

Walaupun kerap dilihat pada perbezaan di antara PAS dan Jamaah Tabligh, tetapi hakikatnya banyak persamaan asas yang mampu mewujudkan hubungan yang lebih mesra di antara kedua-dua gerakan dakwah yang beroperasi di negara kita ini. Malah, saya begitu yakin bahawa perbezaan-perbezaan yang cuba ditonjolkan itu akan tenggelam dengan mudah jika wujud pertemuan dan perbincanga yang lebih acap di antara para ulama dan pemimpin kedua-dua pihak.

Seperti PAS, kekuatan utama Jamaah Tabligh ialah akidah yang sejahtera. Mereka tidak pernah terpalit dengan tuduhan akidah yang salah seperti kepercayaan pada urusan ghaib yang salah, pemujaan dan taqdis terhadap para ulamak, wirid dan zikir yang menyeleweng, malahan mereka juga jauh daripada tindakan-tindakan melampau membawa kerosakan di dalam masyarakat.

Begitu juga, pendidikan rohani dan amal soleh yang diusahakan oleh mereka adalah berpandukan al Quran dan Sunnah. Maksud saya, Jamaah Tabligh di sebalik usaha dakwah mereka, mereka juga berusaha menghidupkan budaya ilmu dan menghormati ahli ilmu. Inilah di antara kunci utama yang memanjangkan hayat gerakan dakwah ini.

Jika anda memerhatikan beberapa kelebihan utama mereka, anda akan melihat persamaan ini di dalam PAS. PAS pastinya berhadapan kemelut lebih besar kerana peranannya yang lebih besar di dalam masyarakat iaitu mempromosikan Islam yang lebih menyeluruh dan sempurna.

PAS melihat Jamaah Tabligh dan jamaah-jamaah Islam yang lain sebagai pembantu utama ke arah penghayatan Islam yang lebih menyeluruh di dalam masyarakat dan negara. Masing-masing berperanan di dalam lapangan dan kepakaran tersendiri.

Segala kekurangan mestilah diislahkan. Segala perselisihan mestilah dikurangkan jaraknya. Segala sengketa mestilah dipadamkan. Keutamaan bersama ialah bersatu dengan tali Allah yang kukuh.

Umat Islam berpecah kerana akidah yang salah dan politik yang salah. Oleh kerana jamaah tabligh selamat daripada anutan fahaman akidah yang salah, maka pertemuan di antara mereka dan PAS adalah nyata. Oleh kerana Jamaah Tabligh tidak terjebak dengan hiruk pikuk politik negara yang memecahkan, maka ia adalah jalan yang mudah ke arah penyatuan umat. Itulah harapan kami dalam PAS untuk semua umat. - HARAKAHDAILY 10/4/2016

Artikel adalah untuk siri kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Share on Myspace