Mr Os: Hidup berdamping artis, mati ditangisi ulama

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

PEMERGIAN Mr Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid sepatutnya menjadi tazkirah 'live' yang amat berkesan di hati kita.

Beliau yang menghabiskan awal usianya dalam industri hiburan, tiba-tiba mati saat akhir hayatnya mewakafkan diri di jalan dakwah. Kita patut merasa bertuah sempat hidup dengan dipersaksikan keajaiban ini dalam misi memburu hidayah tuhan.

Pemergian Mr Os sepatutnya menambah keyakinan kita terhadap kebenaran Islam dan kenabian Muhammad SAW. Baginda pernah bersabda:

فو الله الذي لا إله غيره إن أحدكم ليعمل بعمل أهل الجنة حتى ما يكون بينه وبينها ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل النار فيدخلها وإن أحدكم ليعمل بعمل أهل النار حتى ما يكون بينه وبينها ذراع فيسبق عليه الكتاب فيعمل بعمل أهل الجنة فيدخلها

"Maka demi Allah yang tiada lagi tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang dari kalangan kamu ada yang beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak diantaranya dan diantara syurga itu hanya tinggal sehasta lagi, tetapi telah tertulis di suratan Ilahi, maka dia beramal sebelum matinya dengan amalan ahli neraka, maka dia masuk neraka. Dan sesungguhnya seseorang dari kalangan kamu ada yang beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak diantaranya dan diantara neraka hanya tinggal sehasta lagi, tetapi telah tertulis di suratan Ilahi, maka dia beramal sebelum matinya dengan amalan ahli syurga, maka dia masuk syurga." [HR Bukhari]

Yang pergi tetap pergi, tak akan kembali lagi. Buat yang masih hidup, pengajaran harus diambil.

Kepada yang masih hidup, jangan cepat menghukum orang jahat itu selama-lamanya jahat. Jangan menganggap si kafir itu selama-lamanya kufur. Jangan menganggap orang zalim itu sampai mati zalim. Sedang tuhan tidak pernah menutup pintu taubat pada sesiapa.

Kepada yang masih hidup, jangan merasa diri lebih baik dari orang lain. Jangan anggap diri sudah cukup bertaqwa. Jangan melihat amalan yang dibuat sudah cukup untuk menempah syurga. Sedang hati kita berada di antara dua jari tuhan, boleh dibolak-balikkan semahu-Nya.

Sangat beruntung Mr Os. Beliau hidup dalam dunia glamor, tetapi mati dalam perjuangan Islam. Hidupnya didampingi artis, tapi matinya ditangisi ulama. Jika ditakdirkan beliau masih hidup, tentu beliau akan berada di pentas dakwah bersama Ustaz Azhar Idrus di Himpunan Pemuda PAS Teluk Pasu, Terengganu pada keesokkannya.

Sangat rugilah pula mereka yang hidup dalam kemuliaan perjuangan Islam, bersama dengan gerakan Islam, berdamping dengan alim ulama, tetapi di akhir hayat tuhan palingkan hati untuk keluar dari jemaah Islam dan bertindak memusuhi pewaris anbiya'. Semoga tidak tergolong di kalangan mereka. Wal iyazu billah..

Sangat ajaib hidayah-Mu tuhan.
Salam takziah buat keluarga Mr Os. – HARAKAHDAILY 11/4/2014

Share on Myspace