Kalau mati masa ni, mak tak runsing

USTAZ ROSLI ABD JABAR | .

13 April 1966 - 13 april 2016, Meniti jambatan usia bersama kebingitan suara mak.

Membesar dengan situasi kemiskinan dan sebagai anak yatim seusia 4 tahun. Namun bahagia dalam pelukan dan didikan ibuku yang miskin harta tetapi kaya dengan kasih sayangnya.

Masa berlalu tanpa cita-cita, mengikut arus masa, mungkin masa itu tiada yang menyalur dan menghulur di hati untuk genggam cita-cita kecuali dari seorang ibu yang mahunya hanya anaknya menjadi soleh.

Ingat lagi pesan Mak, "Mak tak kisah anak mak kerja apapun, asalkan halal, yang penting anak mak tak tinggal sembahyang, pandai baca al-Qur'an dan berdoa untuk ayah dalam kubur dan untuk mak bila mati.

Cita-cita begitu tiada value ekonomi, tapi itulah cita-cita mak saya, seorang ibu miskin yang sedaya upaya membesar saya dan adik-beradik, ketika meninggalnya ayah semuanya masih bersekolah dan kecil-kecil lagi.

Tak pernah jemu kejutkan saya untuk solat dan nasihatkan saya supaya jangan tinggal solat, tapi masa remaja, nasihat itu bingit bunyinya, selalunya saya menutup telinga. Tapi yang bingit itulah juga siang malam dilagukannya.

Tapi akhirnya yang bingit itulah juga yang meresap dijiwa, suara bingit itu akhirnya mampu mengalahkan semua suara-suara lain. Yang bingit itu rupanya menjadikan saya mengangkat kaki menjauhi kebingitan itu.

Dengan iringan kebingitan itu saya mencari tempat untuk memenuhi cita-cita mak supaya jadi anak yang soleh. Mungkin tidak sesempurna harapan mak, tapi cukuplah untuk dia tersenyum memandang saya, tak lah seperti saya yang dulu, hanya menyebabkan panadol dikedai berhampiran semakin laku.

Kini tiada lagi suara bingit, tiada lagi sebab untuk dia membingitkan saya, dia pun dah semakin lemah, suaranya sangat perlahan, lusuh tubuhnya.

Saya bagitau dia "Hari ini hari jadi saya ke-50",

"Alhamdulillah awak hidup lagi," katanya.

"Mak suka saya mati ke?” tanya saya.

"Kalau awak mati masa ni, mak tak runsing sangat, tapi kalau awak mati masa belasan tahun dulu", mmmmm sambil dia geleng kepala. Saya senyum jer, tahu sangat dah jawapan dia.

Sekarang saya faham rupanya cita-cita dia lebih hebat dan jauh ke hadapan, dia faham bahawa 'dunia akan mengiringi akhirat, tetapi akhirat tidak mengiringi dunia', bingitannya suruh saya mencari akhirat supaya saya juga akan memiliki dunia.

Umur saya dah 50 tahun, cita-cita mak nak tengok saya solat, solat, solat, Insya-Allah saya kerjakan, terserahlah pada Allah SWT untuk menilainya,saya lakukan dengan kadar mampu dan kadar ilmu sedikit ini.

Cita-cita saya sahaja belum tercapai iaitu:
1. Nak mati syahid
2. Nak tengok hukum Allah tertegak di Malaysia.
3. Nak tengok Ma'had Tahfiz Darul Fikri menjadi sekurang-kurangnya sebuah kolej universiti.

Yang akhirnya moga semua cita-cita saya tercapai walaupun usia kehidupan dah tak panjang.

Kini saya pula yang membingitkan telinga anak-anak, padan muka dia, biar dia rasa apa yang aku rasakan. "Pedih tapi bahagia". – HARAKAHDAILY 13/4/2016

Share on Myspace