Dakwah dan kesejahteraan negara

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Manusia memerlukan jiwa yang tenang untuk memudahkannya memahami sesuatu perkara yang baru dan sukar. Dalam keadaan serabut, takut dan lemah misalnya, mereka akan cuba melepaskan diri daripada memikul masalah yang dihadapi.

Begitulah perihal dakwah Islami. Mengajak manusia untuk berfikir mengenai agama, kerasulan, dosa pahala dan alam ghaib adalah sukar untuk diterima kecuali apabila suasananya begitu kondusif untuk itu. Jiwa perlu tenang dan akal pula sihat daripada segala keserabutan. Jika tidak, manusia akan berpaling darinya dan mengalih tumpuannya kepada dunianya yang sudah terbiasa baginya walaupun penuh kesibukan dan kesengitan.

Ketika dalam satu peperangan, sebelum RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam melancarkan serangan terhadap musuhnya, baginda telah memberi ucapan yang mengungkap pengertian dan makna peperangan dan keamanan yang diajar oleh Islam. Baginda bersabda (maksudnya):
"Wahai manusia, janganlah kamu mengimpikan untuk menemui musuh. Pohonlah daripada Allah akan afiat (kesejahteraan). Dan apabila kamu tetap juga bertemu dengan musuh, maka bersabarlah (jangan undur). Dan ketahuilah bahawa syurga itu di bawah bayangan mata pedang." (HR Bukhari dan Muslim)

Khutbah baginda pada saat berada di tengah-tengah medan perang itu mengandungi banyak petunjuk, antaranya:

Pertama, Islam bukan agama perang. Dakwah Islam mengelak daripada menemui musuh, apatah mencipta musuh.

Kedua, kesejahteraan dan keamanan hidup adalah matlamat Islam di muka bumi. Dalam semua keadaan, ketenteraman hidup mestilah diusahakan.

Ketiga, peperangan tetap dihadapi dengan kesabaran, keberanian dan pantang undur.

Keempat, peperangan adalah demi menghancurkan fitnah musuh dan menyelamatkan dan mengekalkan kesejahteraan yang telah sedia wujud.

Kelima, sebaik peperangan selesai, hendaklah kesengitan dihilangkan dan keamanan dipulihkan segera agar dakwah Islami mengambil tempatnya dengan selesa.

Kemudian jika kita perhatikan kepada sirah kehidupan baginda samada pada masa aman atau perang, ia menukilkan suatu yang amat jelas bahawa keamanan dan kesejahteraan hidup adalah antara matlamat dakwah Islam di dunia ini.

Justeru kewajiban utama umat Islam ialah menjaga kesejahteraan hidup di mana sahaja mereka berada. Kesejahteraan tentunya diperolehi dengan kesatuan di dalam masyarakat. Justeru kesatuan dan kerukunan hidup juga adalah satu kewajiban yang mesti dijaga manakala perpecahan dalam masyarakat pula adalah satu larangan dan dosa yang besar jika ia dinyalakan.

Orang-orang musyrikin di Mekah terpaksa mencipta kegawatan di dalam masyarakat demi mengalih perhatian penduduk Mekah daripada mendengar dakwah RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Mereka menyebarkan fitnah terhadap baginda dan ketakutan di dalam masyarakat dengan ugutan, seksaan malah pembunuhan terhadap orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasulNya.

Nabi kita memilih untuk dakwahnya dengan sebaik-baik cara. Baginda berbudi bahasa penuh pekerti. Baginda menemui pembesar-pembesar kaum untuk memahamkan mereka dengan misi dakwahnya yang besar. Baginda menyeru anak buahnya agar bersabar dan mengelak daripada mencetuskan hiruk pikuk yang boleh mencalar ego pembesar-pembesar Quraisy yang sememangnya tercabar dengan dakwah Islam yang baru dan semakin viral dalam masyarakat Mekah.

Suasana aman adalah penting agar semua telinga sedia mendengar dengan baik, kemudian mengalir masuk ke benak fikir dengan tenang untuk memulakan proses penilaian ke atas dakwah baginda yang suci. Sebagaimana tubuh yang sihat dan afiat boleh menikmati segala jenis makanan yang lazat, begitulah halnya dakwah ini. Ia hanya boleh dinikmati ketika akal dan jiwa dalam keadaan sihat dan afiat juga.

Malangnya, dakwah di Mekah terkandas akibat serangan dan perang diisytiharkan oleh kaum Quraisy ke atas baginda junjungan besar. Ketakutan dicetuskan di dalam masyarakat. Kesannya, masyarakat terus menolak untuk mendengar daripada baginda. Di situlah dakwah terhenti sehingga memaksa penghijrahan baginda ke kota Madinah.

Usaha mencetuskan perbalahan di Madinah oleh musuh Islam daripada kalangan Yahudi dan golongan munafikin tetap berjalan. Tetapi Rasulullah mengekangnya dengan sebaik-baik cara. Baginda tidak bertindak balas secara keras ke atas orang-orang munafik dan Yahudi. Malahan, umat Islam disuruh bersabar dan mengelak pertembungan yang akan mencetuskan kacau bilau dan ketakutan di dalam masyarakat.

Walau bagaimanapun, ketika pertembungan tidak dapat dielak lagi, peperangan dengan golongan Yahudi tetap berlaku. Setelah mereka mengkhianati perjanjian, Baginda menghadapinya dengan penuh keberanian dan kesabaran. Akhirnya keamanan dan kesejahteraan kembali pulih di kota Madinah. Begitu jugalah, semakin hari suara golongan munafikin semakin reda dan gagal.

Adalah penting untuk setiap kita memahami bahawa memelihara keamanan dalam masyarakat bukanlah satu kewajiban dalam bernegara sahaja, bahkan ia adalah sebahagian daripada kewajiban di dalam merancakkan dakwah Islamiah. Dakwah amat memerlukan suasana yang kondusif agar ia memperolehi natijah yang lebih positif.

Justeru para ulama merumuskan satu ketetapan yang jelas bahawa dakwah yang gagal mengawal kerosakan di dalam masyarakat dan negara adalah gagal dan tidak menepati sunnah nabawiyah. Kecuali kerosakan itu dilakukan dan dipanjangkan oleh pihak musuh, umat Islam terutama para pendakwahnya mestilah berusaha mengekalkan suasana harmoni yang membolehkan masyarakat dapat mendengar, menilai dan memilih dengan bebas dan terbuka.

Hatta di negara-negara bukan Islam pun, warganegara minoriti Islam mestilah juga paling ke depan di dalam mengusahakan keharmonian dalam negara tersebut. Ia menjadi sumbangan besar umat Islam minoriti untuk negara yang didiaminya.

Dalam konteks negara kita yang sentiasa panas dengan pertembungan parti-parti politik yang saling bertentangan, PAS mestilah berperanan besar di dalam mengekalkan keharmonian dalam negara. Mencetuskan kegawatan dan kesusahan dengan tujuan menarik sokongan rakyat kepada pembangkang dan menolak parti pemerintah adalah tidak menepati usul dakwah.

Rakyat sedang dalam kesusahan dan ketakutan menyaksikan kegagalan BN menerajui negara hari ini. BN pula, sejak sekian lama berusaha menyekat kemaraan pembangkang dengan pelbagai sekatan undang-undang dan ugutan. Ia tidak memulihkan selain kemarahan dan kebencian yang semakin memuncak.

Kemarahan boleh mengakibatkan hilang sabar. Jika keadaan tidak terkawal dan dibiarkan memanas, kekecohan mungkin berlaku. Pihak pemerintah dengan lamanya kuasa di tangan tidak mungkin menyerah mudah kuasanya kepada parti-parti pembangkang yang akan bertindak ke atas kesalahan dan jenayah politik yang dilakukan regim terdahulu.

Akhirnya rakyat akan berhadapan kesengitan politik yang merugikan. Salah langkah, islah dan perubahan politik mungkin mengambil masa yang lebih lama.

Justeru adalah perlu satu suasana yang tidak merugikan kedua-dua pihak diwujudkan. Rakyat didahulukan. Merekalah yang paling berhak. Parti-parti politik mestilah mendahulukan yang terbaik untuk rakyat.

Di antara usaha PAS hari ini ialah menanam dua perkara utama di dalam masyarakat. Pertama, meyakinkan rakyat bahawa islah Islami adalah jalan terbaik memulihkan negara dan memastikannya lebih maju dan harmoni.

Kedua, meyakinkan Umno BN dan pengundi mereka bahawa PAS bukanlah musuh selamanya, bahkan PAS adalah rakan rakyat dan rakan Malaysia yang sentiasa tampil dengan wajah islah dan kesatuan yang mengimpikan kebaikan untuk semua. Kemenangan PAS bukanlah mimpi ngeri yang perlu ditakuti oleh Umno BN.

Tiada benci, dendam, balas dendam dan segala perajaan terhadap kejahatan yang merosakkan keharmonian dalam negara. PAS untuk semua, insya Allah. - HARAKAHDAILY 24/4/2016

Artikel ini adalah untuk siri kolum 'Terang Rembulan' akhbar HARAKAH.

Share on Myspace