PAS merakyatkan dakwah di Sarawak

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

WARNA-warni penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak begitu menguja akal. Pelbagai parti mencuba nasib di bumi Kenyalang yang menjadi kubu BN paling kuat negara ini, dengan majoriti penduduk masih kurang akses maklumat akibat tanah rentannya yang sangat luas.

Sarawak bumi kenyalang dengan beragam etnik dan agama, maka politik negeri ini juga sangat rencam dengan pelbagai warna.

PAS menyertai pilihan raya Sarawak semenjak tahun 2001 dan mula membina pertapakan di negeri populasi muslimnya sekitar 31 peratus. Bermula dengan bertanding di tiga Dun, kini gerakan tertua tanah air ini meletakkan calonnya di 11 kerusi Dun.

Aktivis PAS Sarawak terus membina kekuatan jamaah dengan meluaskan usaha mendekati rakyat dan memperkenalkan Islam yang syumul kepada masyarakat yang rata-rata masih rendah tahap kefahaman Islam.

Antara program tersusun yang digerakkan ialah pembinaan surau-surau, menubuhkan Pasti, sekolah rendah Islam, mewujudkan markas tarbiah dipelbagai tempat. Aktivis PAS antara paling kehadapan melakukan misi dakwah ke pedalaman Sarawak sehingga menimbulkan bantahan gerakan misionari kristian.

PAS beruntung kerana mempunyai ramai kader terlatih di bidang dakwah dan tarbiah sehingga kehadiran mereka di Sarawak disukai masyarakat tempatan. Tokoh-tokoh PAS tempatan memimpin masyarakat dalam program keagamaan, menjadi imam, mengadakan majlis ilmu, menyuburkan program kebajikan untuk masyarakat pedalaman Sarawak dan menjadi pendakwah serba boleh.

PAS Sarawak juga beruntung kerana kepelbagaian latarbelakang kepimpinan mereka. Gabungan profesional, asatizah dan aktivis serta dokongan anak tempatan bersama penghijrah dari Semenanjung.

Bakat serta ilmu yang dimiliki oleh aktivis ini merancakkan pelbagai program dan memancing sokongan masyarakat. Bukan mudah untuk berkubu di bumi kenyalang dengan kerencaman masyarakat serta tapisan maklumat yang ketat di pedalaman.

Intimidasi kepada penjawat awam serta kekangan kepada aktivis PAS tidak menyurutkan mereka daripada berjuang.

Berdasarkan sokongan dan dokongan kepada PAS mutakhir ini di Sarawak, maka tidak pelik untuk PAS melahirkan anak sulong dalam pilihan raya kali ini. Hujan renyai di bumi Samariang pada hari penamaan calon seolah menghantar satu isyarat, tanah ini sangat subur untuk perjuangan Islam.

Doa yang lirih dialunkan oleh Ustaz Zulkifli Ismail mengingatkan kita semua, tiada apa yang mustahil dalam genggaman sang Pencipta Nasib. PAS hadir dengan sepuhan aqidah, dijana dengan keikhlasan ahli-ahli, didoakan oleh orang-orang beriman, dan keringat yang tumpah itu adalah baja kepada perjuangan.

Jom rakyat Sarawak, lakukan perubahan kali ini dengan memilih calon-calon kami. – HARAKAHDAILY 25/4/2016

Share on Myspace