PRN Sarawak: PAS tidak pinggir OKU

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SAYA menuruti rapat perkembangan suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang sedang berlangsung kini.

Harapan dan doa saya moga Allah SWT  mengurniakan kemenangan buat 11 calon PAS yang bertanding mewakili PAS dalam PRN Sarawan, 7 Mei kelak.

Dalam kesempatan ini, ingin saya menegaskan bahawa PAS adalah sebuah parti yang selamanya menjadikan Islam sebagai paksi perjuangan.

Justeru, sebagaimana Islam meletakkan golongan orang kurang upaya pada suatu tahap yang cukup jelas dan istimewa, demikianlah dokongan yang sama diberikan oleh PAS.

Sekadar adanya pandangan individu yang dikaitkan sebagai penyokong atau ahli PAS yang dikatakan merendahkan orang kurang upaya, ia tidak sekali-kali boleh dikaitkan dengan pendirian PAS.

Bahkan PAS telahpun mendahului badan siasah lain dalam mengiktiraf suara komuniti yang dianggarkan 15% dari populasi rakyat ini.

Pengiktirafan PAS ini berterusan dengan diikuti gerak kerja tanpa henti dalam membangunkan orang kurang upaya melalui ruang dan lingkungan peluang yang ada.

Kemenangan calon-calon PAS dalam PRN Sarawak sudah tentu akan membawa suatu faedah dan pembaharuan dalam menyuarakan keperluan dan isu orang kurang upaya di Sarawak.

Dengan yang demikian, saya menyeru agar seluruh jentera PAS fokus ke arah memenangkan calon-calon yang bertanding dan usah terganggu dengan usikan sekeliling yang hanya merencatkan kelicinan gerak kerja parti.

Kepada seluruh warga Sarawak umumnya dan komuniti OKU di Sarawak, mengupayakan OKU pelbagai kategori adalah antara tumpuan PAS di pelbagai peringkat dari peringkat atas hinggalah ke peringkat bawahan.

Berilah undi kepada calon-calon PAS demi suatu pembaharuan untuk komuniti OKU di Sarawak pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 29/4/2016

Share on Myspace