Catatan khas PRN Sarawak: Apa peluang PAS?

SYED AHMAD FADHLI | .

MALAM kelmarin seharian Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang turun berkempen seawal pagi sehingga menjelang lewat malam. Beliau bertemu muka dengan sekalian pengundi di Dun Muara Tuang, Pantai Damai dan Samariang.

Walaupun mungkin ada yang berkata PAS mendapat sedikit keistimewaan kerana tiada pimpinan yang diblacklist daripada masuk ke Sarawak tapi pada hakikatnya majoriti pimpinan PAS termasuklah Presiden dan Timbalan Presiden PAS yang telah dibenarkan masuk,telah diminta untuk keluar dari Sarawak pada hari ini, sepertimana yang dikenakan terhadap pimpinan parti pembangkang lain.

Kuasa autonomi berkenaan imigresen Sarawak telah disalahgunakan oleh BN untuk kepentingan mereka. Pemimpin BN bebas sahaja masuk ke Sarawak. Bahkan, mesyuarat Menteri Kabinet Kerajaan Pusat yang rutin mingguannya berlangsung di Putrajaya telah diubah tempatnya kepada Kuching, Sarawak.

Tidak kurang juga petugas PAS dari Semenanjung yang dikenakan had tempoh masa berada di Sarawak sedangkan mereka bukanlah penjenayah, hanya rakyat biasa yang berhak untuk bergerak di serata negeri dalam Malaysia. Tempoh pas lawatan sosial yang normal di Sarawak ialah selama 90 hari dibenarkan berada di sini.

Malam kelmarin, Tuan Guru Presiden PAS berceramah bersama YB Ustaz Idris, YB Ustaz Nasrudin serta calon Dun Samariang dan Dun Pantai Damai di hadapan Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma.
Antara isi-penting ucapan Tuan Guru ialah :

1.Pilihan raya adalah sebahagian daripada proses demokrasi. Perkataan demokrasi berasal daripada bahasa Greek iaitu Demos dan Kratos yang bermaksud Kuasa Rakyat. Undi ini nilainya bukanlah upah RM50 mahupun RM100 tapi, ia adalah amanah besar untuk memilih pemimpin.

2.Pemimpin yang perlu dipilih wajar berpandukan kisah yang terakam dalam Al Quran berkenaan Tholut & Jalut. Pemimpin dipilih bukanlah atas sebab kekayaan yang dimilikinya tetapi pemimpin mestilah berilmu dan berani menegakkan kebenaran.

3.Di negara Barat yang mengamalkan demokrasi matang seperti di Amerika Syarikat & Britain, rakyat menggunakan kuasa mereka menegur kerajaan dengan menukar parti pemerintah bersilih-ganti.

4.PAS bertanding hanya 11 kerusi daripada 82 kerusi DUN yang ada. Sekiranya PAS menang kesemua pun, masih belum mampu membentuk kerajaan. Maka, PAS masuk bertanding adalah untuk menjadi Pembangkang yang menegur dan menasihati Kerajaan agar mentadbir dengan adil. Proses check and balance adalah penting agar Kerajaan yang sudah lama berkuasa tidak angkuh dengan sokongan yang dinikmati selama ini sehingga enggan mendengar suara rakyat.

5.Sarawak adalah negeri yang besar dan kaya dengan hasil seperti minyak dan balak, tetapi melihatkan nasib rakyatnya masih lagi tidak terbela dan ditindas. Mengikut ajaran Islam, sesuatu hasil negeri perlu digunakan untuk manfaat penduduk setempat terlebih dahulu, apabila ada lebih barulah dipindahkan baki tersebut ke tempat lain. BN yang mentadbir telah mengaut keuntungan dan kekayaan hasil negeri, tetapi hak dan keperluan asas rakyat terabai seperti jalan pengangkutan, bekalan air dan geran tanah.

6.Lihatlah rekod pentadbiran PAS di Kelantan yang sudah puluhan tahun ditadbir oleh PAS, dan rekod ketika PAS memerintah Terengganu walaupun hanya 1 penggal sahaja, banyak perubahan yang memberi manfaat dan kebaikan kepada rakyat dilaksanakan.

7.PAS tetap menyokong kepimpinan Sarawak ditadbir oleh orang Bumiputera Islam kerana kuasa pemerintahan amat penting dikuasai oleh orang Islam. PAS akan menggalas amanah membawa suara rakyat menegur Kerajaan samada di Parlimen mahupun DUN Sarawak. Hampir kesemua negeri di Malaysia ini sudah ada wakil rakyat PAS yang dipilih, maka berikanlah PAS peluang untuk mempunyai wakil juga di DUN Sarawak.

Saya berpandangan perhitungan PAS di Sarawak ini bukanlah sekadar cerita menang atau kalah kerusi, tetapi yang lebih utama ialah peluang PAS berdakwah menyebarkan mesej perjuangan dan keindahan Islam.

Pilihan Raya ini merupakan medan terbaik untuk barisan pemimpin dan penggerak PAS dari seluruh negara hadir ke Sarawak bagi bertemu sendiri dengan sekalian pengundi yang rencam agama, budaya dan etnik kaum.

Jalan perjuangan itu panjang dan lama, tidak semestinya hasil terus dapat dituai segera, apa yang lebih utama ialah usaha yang tidak pernah kenal erti penat-lelah dan putus asa. Kemenangan itu adalah suatu bonus yang akan dianugerahkan oleh Allah mengikut ketentuan-Nya. – HARAKAHDAILY 6/5/2016

Share on Myspace