Aku, PAS dan PRN Sarawak

USTAZ ROSLI ABD JABAR | .

SETENANG AIR -SIRI 1

PADA awal penglibatan saya dalam PAS sekitar penghujung 80-an, pada usia belasan tahun, rakan-rakan saya dalam PAS cawangan hanyalah insan-insan tua yang kini telah pun mengadap ilahi, hanya seorang sahaja yang masih hidup kini berusia 79 tahun.

Kelantan masih belum menang lagi masa tu, Hanya beberapa kerusi sahaja di Kelantan. Ayahanda saya masa tu hanya bekerja dengan keyakinan bahawa Islam pasti menang dengan janji Allah. Kalau dilihat situasi, langsung tak kelihatan kemungkinan untuk PAS menang.

Empat kali saya ke Sarawak pada PRN baru-bari ini. Membaca situasi kemungkinan di sana sama sepertinya orang-orang tua saya membaca kemungkinan untuk PAS menang di Pahang ketika zaman 80-an. Bekerja dengan jiwa yang bersedia untuk kalah.

Ruang politik sangat sempit, kita bertarung dengan Umno, sebuah parti politik perdana yang derhaka kepada sistem demokrasi yang mereka perjuangkan. Kita tidak dapat untuk bertemu masyarakat dan berkempen di medan yang luas tanpa sekatan seperti mereka.

Namun Islam itu diumpamakan oleh Rasulullah SAW seperti air, kelembutannya mampu menembusi walaupun dilubang-lubang kecil dengan perlahan-lahan. Ia akan terhimpun apabila disekat dan akhirnya akan meruntuhkan empangan. Kini perjuangan PAS telah mengalir di bumi Sarawak, ia akan terus mengalir tanpa henti dan bertakung meskipun perlahan.

Pejuang PAS sangat faham tentang ini, yang sabar akan terus Istiqamah untuk mengalirkan dakwah Islamiyyah di ruang-ruang yang ada. Yang PAS mahu ialah Islam, tapi mereka tidak mahu, maka PAS pasti akan berjuang sehingga mereka mahu bukan ikut apa yang mereka mahu.

PAS tetap yakin pasti ketika nanti mereka mahu, fitrah manusia mahukan kebaikan, PAS tawarkan kepada mereka Islam, sistem yang diturunkan oleh Allah SWT. Mereka masih belum mahu, kerana mereka tidak tahu. PAS akan terus bagitahu sehingga mereka mahu.

Bilakah mereka mahu? Hanya Allah SWT sahaja yang tahu, tanggungjawap PAS ialah memberitahu, walaupun mereka tak ingin tahu atau buat tak tahu. Kerana dakwah itu wajib disampaikan walaupun orang tak mahu. Dakwah dan terus berdakwah agar mereka tahu, orang benci, orang hina, orang ejek cara PAS, biarkanlah, satu masa nanti kita semua akan tahu kerana Allah itu Maha Mengetahui. – HARAKAHDAILY 10/5/2016

Share on Myspace