Teguhkan pendirian biarpun lawannya kawan

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SUASANA pasca Pilihan Raya Negeri PRN Sarawak dan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijangka berlaku terdekat ini menyaksikan perbahasan dua penyokong utama parti yang meletakkan Islam sebagai agenda perjuangan. Izinkan saya memberi pandangan kerdil saya berasaskan kefahaman saya dalam bidang perundangan dan perlembagaan negara.

Asas kepada perjuangan siasah Islam di dalam mana-mana sistem kenagaraan pun adalah berusaha meletakkan Islam itu pada tempat yang teratas agar Islam itu berdaulat.

Begitulah juga halnya di dalam negara ini. Adanya Parti Islam Se-Malaysia PAS dalam sistem politik demokrasi di Malaysia tidak lain tidak bukan berusaha sedaya mampu menjadikan Islam sebagai (gaya hidup) yang menguasai seluruh kehidupan, termasuk sistem pentadbiran dan perundangan negara.

Penyertaan PAS dalam pilihan raya selain mensasarkan kemenangan, turut menjadi keutamaan di situlah terbentangnya medan dakwah bagi menyerlahkan Islam kepada rakyat.

Dalam menempuh perjalanan mendaulatkan Islam dalam sistem pentadbiran dan perundangan negara, sejak awal saya berpendapat ia amat memerlukan iltizam bukan calang-calang daripada ahli-ahli politik Islam. Ia bukan sekadar memeiliki kuasa pemerintahan pusat atau negeri. Ia lebih dari itu.

Kekuatan ketumbukan siasah Islam itu amatlah penting dan tidak boleh dikompromi. Dengan perkataan lain, para pemain politik Islam wajib bersikap “kamu ikut kami, atau kami yang meninggalkan kamu”. Islam itu perlu bersifat dituruti dan bukannya menuruti.

Berbalik kepada apa yang berlaku mutakhir ini, iltizam dalam kalangan pemain politik Islam itu pada pandangan saya perlu diperhalusi. Apakah kewajarannya berlaku kewujudan dua badan siasah yang mendakwa perjuangannya Islam?

Sebagaimana yang saya nyatakan di atas, mendaulatkan Islam di Malaysia meruntun suatu keiltizaman yang benar-benar bulat dan kuat dari seluruh pemain siasah Islam. Dengan wujudnya dua badan siasah Islam, pada saya ia adalah suatu ketirisan dalam memahami perjuangan mendaulatkan Islam di Malaysia.

Kewujudan PAS dan Parti Amanah Negara Amanah pada pandangan saya bukanlah memperhebatkan perjuangan mendaulatkan Islam di Malaysia bahkan ia merencatkan perjuangan itu sendiri.

Melihat bagaimana perpecahan dalam Pakatan Rakyat PR, seluruh pencinta Islam seharusnya berani memegang satu pendirian bahawa Islam adalah perjuangan kami.

Mempelawa kami untuk berpadu menentang United Malay National Organisation UMNO atau Barisan Nasional BN bermakna menerima iltizam kami dalam mendaualatkan Islam di Malaysia. Malang, penyatuan pendirian ini tidak berlaku bahkan laungan perjuangan Islam itu menjadi celaru hingga tertubuhnya parti baru.

Benar, sistem demokrasi memungkinkan tertubuhnya lebih daripada satu parti atau boleh saja berbilang parti. Mahu tidak mahu, kayu ukur yang mesti digunapakai bukanlah prinsip asas demokrasi itu sendiri tetapi apakah pandangan Islam yang disumberkan dari Quran dan Sunnah.

Justeru saya berpandangan suatu yang amat malang apabila PAS terpaksa berhadapan bukan hanya musuh tradisinya, tetapi terpaksa juga berhadapan dengan parti yang meletakkan Islam sebagai perjuangan.

Dalam hal ini, harapan saya buat pencinta Islam, bersatulah dalam satu wadah dan insaflah akan apa yang berlaku sehingga ke hari ini. Pengakhiran kita bukannya di dunia bahkan kita ada hari pembalasan untuk menghadap Ilahi.

Sayangkan sahabat yang punyai pandangan berbeza tidak boleh dijadikan alas an untuk meninggalkan perjuangan yang telah sekian lama diasaskan PAS. Susah untuk mengenali sahabat baru tidak boleh dijadikan alasan untuk membentuk dan bersama jemaah yang pada wajahnya mempunyai jalur perjuangan yang sama.

Sayangi perjuangan mendaulatkan Islam bermakna sedia untuk memperbaiki setiap kelemahan PAS dan berusaha memperteguhkan PAS. Ingatlah, pengorbanan itu termasuklah mengkesampingkan pendirian peribadi kita bila telah ada ketetapan dari jemaah yang kita berada di dalamnya.

Moga Allah terus beri kekuatan buat pencinta Islam untuk bersatu dalam satu siasah, memelihara Quran dan sunnah agar kemuliaannya dapat diserlahkan. – HARAKAHDAILY 10/5/2016

Share on Myspace