BN memujuk, PH merayu, PAS terus laku

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SEJAK PRU13 sehingga ke hari ini, Umno masih tidak henti-henti mengajak PAS bergabung bersama mereka. PAS pula melalui kenyataan pimpinan dan disahkan dalam ucapan dasar Presiden berkali-kali menyatakan tidak akan bergabung dengan Umno. Kita pernah bersama Umno dalam perikatan dan BN. Presiden PAS menyatakan, tidak pernah berulang kerjasama yang sama dalam politik negara.

Dalam keadaan Umno masih memujuk ini, tiba-tiba Dap, Pan dan Pkr serentak mengajak PAS bersama mereka pula. Ini berikutan kekalahan teruknya dalam PRN Sarawak baru-baru ini jika dibanding sewaktu PRN sebelumnya ketika masih bersama PAS. Sebelum ini mereka begitu bongkak dengan kata-kata "PAS sudah terjun dengan labu-labunya", "Pan sudah cukup untuk mengganti peranan Pas", "PAS sudah tidak laku" dan sebagainya. Tetapi hari ini, mereka merangkak mencari bantuan PAS.

Secara ringkas, hal ini menunjukkan betapa bernilai PAS dalam politik negara. Masing-masing mula menggilai parti paling senior ini. Walaupun banyak fitnah dan tohmahan dilempar untuk memburukkan imej PAS, hakikatnya mereka semua akur kelebihan tersendiri yang dimiliki PAS tidak ada pada mana-mana pihak.

PAS pernah dituduh sesat oleh BN dan juga PH. PAS juga dituduh takfiri okeh mereka. PAS dilabel ekstrim. PAS dicop jumud dan parti tok lebai. Si penuduh pula kebanyakan adalah bekas-bekas ahli PAS yang melompat ke parti-parti lain, baik Umno, Pkr, Dap mahupun Pan. Namun akhirnya si penuduh inilah yang tergila-gilakan PAS lebih dari segalanya umpama orang gila talak. Kahak yang dahulu diludah kini dijilat penuh kecewa.

Apa yang mengjengkelkan, Dap dan Pan yang sering mengatakan PAS terperangkap tipudaya Umno yang sedang nazak, tiba-tiba mereka pula yang menghulur tangan minta bantuan. Siapa yang menipudaya dan siapa yang nazak sebenarnya? Mana pergi segala caci nista dahulu? Apakah baru sekarang mereka rasa peritnya pilihanraya tanpa bantuan jentera PAS?

Tahniah PAS. Anda telah berada di posisi paling mantap sepanjang zaman. Jangan biarkan kegemilangan ini hancur dek buaya-buaya yang hanya tahu membaham hidangan dari penat lelah orang. Langkah yang perlu diambil haruslah bijak supaya persepsi baik terus berkekalan.

Jangan menolak mentah-mentah semua lamaran parti-parti kerana realiti politik Malaysia, kerana tiada parti yang boleh berkuasa sendirian. Padahnya nanti kita pula akan dihukum sombong oleh persepsi media. Jangan juga kita bersikap terlalu terbuka, kerana kita sudah memiliki pengalaman bersama semua parti yang mengajak.

Kalau diminta cadangan saya, teruskan dengan keadaan sekarang. Teruskan status-quo politik negara seperti hari ini hingga ke PRU14. Teruskan memperkasa blok ketiga bersama NGO-NGO dan pertubuhan rakyat. Teruskan dengan budaya politik matang dan sejahtera. Terhadap BN mahupun PH, berinteraksilah tapi jangan bergabung, berlawanlah tapi tetap bertegur. Bersainglah dalam persaudaraan.

Sekiranya berlaku PRK di Sungai Besar pula, akan memberi petanda baru untuk PAS mengorak langkah kehadapan. Jika keputusannya menunjukkan sokongan signifikan kepada PAS (walaupun tidak menang), maka itu akan menjadi hujah yang kuat untuk PAS kekal dalam keadaan sebegini sehingga tiba PRU. Kerusi Sungai Besar memiliki populasi sekitar 67% melayu, 30% cina dan kurang 3% lain-lain. Ia mirip kepada populasi sebenar taburan demografi seluruh rakyat Malaysia.

Untuk menjadi penentu halatuju negara, PAS tidak perlu bersusahpun untuk mencapai majoriti. Cukup sekadar bilangan kerusi dan sokongan dalam kuantiti yang signifikan, mengimbangi antara kedua penjuru. Belajarlah dari politik orang cina. Mereka bukan majoriti, tapi mereka seringkali jadi penentu.
Pastikan langkah kita adalah untuk menjadi kingmaker, supaya mana-mana pihak yang mendambakan bantuan kita, akur dengan aspirasi kita. Aspirasi kita adalah kemaslahatan rakyat. Jangan biarkan ikhlas kita diperguna oleh politikus gila kuasa. Mereka nak kita, mereka ikut kita! – HARAKAHDAILY 12/5/2016

Share on Myspace