Deklarasi Rakyat: Tidaklah seindah namanya

SYED AHMAD FADHLI | .

RENTETAN daripada kesungguhan Pakatan Harapan bersekongkol dengan Team Tun Mahathir demi menjatuhkan segera PM Najib, apa yang kita dapat lihat mereka pula yang berpecah-belah. Bagaikan tidur sebantal, mimpi lain-lain. Apabila ditanya calon pengganti PM baru, ada 1001 versi jawapan yang diberikan.

Yang lebih menarik lagi apabila Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz sendiri berkata mereka bukannya anti Umno, tetapi anti Najib, mereka hanya mahu tukar PM, bukannya jatuhkan kerajaan Umno-BN. Adakah sekalian pemimpin PAN, DAP dan PKR tidak sedar bahawa mereka kini menjadi alat Tun Mahathir bagi mencapai agendanya menyelamatkan Umno?

Saya masih ingat ketika Tuan Guru Presiden PAS menyatakan pendirian PAS tidak akan terlibat dengan Deklarasi Rakyat, tidak kurang yang memperlekeh dan memperli kononnya PAS kini lebih sayang dan pro kepada PM Najib. Sedangkan bacaan politik Tuan Guru lebih jauh ke hadapan, kerana beliau tidak gopoh dan kemaruk kuasa untuk menggunakan jalan pintas untuk sampai ke mercu Putrajaya.

Kini, tersebar merata warkah daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada sekalian pemimpin PKR. Surat ini disahkan tulen oleh YB Rafizi manakala dikatakan palsu oleh YB Shamsul Iskandar.

Namun, apa yang penting apabila kita baca bait demi bait, warkah lapan muka surat yang ditulis dengan laras bahasa yang begitu indah tersusun, dapatlah kita fahami kekecewaan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kesungguhan sebahagian pemimpin PKR terlibat dengan Tun Mahathir dalam Deklarasi Rakyat.

Sekiranya, apa yang ditulis di bawah ini oleh Tuan Guru Presiden PAS, pasti berbakul penghinaan dan cacian dilemparkan kepada beliau. Tetapi, saya kongsikan sebahagian intipati warkah Datuk Seri Anwar ini khusus kepada penyokong PH, sekiranya mereka sudi untuk membuka mata dan telinga mendengar teguran oleh pemimpin sanjungan mereka ini;

- "Dalam sejarah perjuangan kita, terdapat episod getir yang menuntut bongkahan pemikiran dan penyuluhan. Permasalahan kini terkait dengan Deklarasi Rakyat yang turut mengheret pimpinan dan wadah kita untuk bersekongkol dengan Tun M dan Daim.

Pandangan saya mungkin bercanggah dengan pendirian majoriti pimpinan. Saya gusar kerana mengandaikan strategi tersebut agak terlanjur dan menggugat sendi nadi dan tunggak perjuangan. Kita perlu menghindari dari bahaya terjebak dengan permainan elit penguasa dan muslihat licik mereka untuk mengekalkan sistem usang. Kendati begitu, ramai rakan-rakan merasakan bahawa strategi baru tersebut ampuh dan terbaik."

- "Dalam beberapa warkah sebelumnya, saya terus menggesa pimpinan agar waspada dengan politik elit penguasa dan keperluan mempertahan dasar perjuangan. Persoalan sekarang adalah menentukan hala tuju seterusnya.

Saya lebih cenderung memilih tidak dilihat berpadu dengan kelompok DR, yakni dengan mula menetapkan jarak."

- "Pelancaran DR adalah seolah-olah seperti telah ditetapkan tanpa boleh dirunding atau fait accompli. Hanya setelah desakan daripada pimpinan NGO pada saat-saat akhir, sebahagian daripada pandangan kita dimasukkan, hanya sekadar mencantikkan deklarasi. Secara dasarnya, ia kekal sebagai dokumen Tun M, cacat dan tidak selari dengan pandangan dari sudut reformasi.

Ia hanya menumpukan kepada pengunduran Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri susulan skandal 1MDB. Ini adalah jelas jauh terpesong daripada raison d’etre atau asas perjuangan kita; untuk kebebasan dan keadilan, kedaulatan undang-undang, melawan salah guna kuasa dan rasuah, dan keadilan untuk semua!"

- "Dan dalam keterujaan atau keterdesakan untuk mengubah tampuk kepimpinan negara, kita berikan komitmen. Sekarang ia menjadi bahan sindiran dan memalukan, khususnya apabila Ku Li sendiri menafikan keterlibatan beliau dan menganggap rancangan tersebut sebagai tidak masuk akal. Beliau licik mempergunakan SD ini untuk meletakkan diri beliau sebagai calon kompromi apabila berlaku pertembungan atau kebuntuan antara Zahid dan Hisham. Saya bingung bagaimana ada di kalangan kita dalam Pakatan Harapan yang terus meletakkan harapan agar ‘perubahan’ boleh berlaku melalui tipu muslihat."

- "Dan kini, meneruskan gerakan tersebut, yang dipimpin oleh mereka daripada kelompok penguasa atau pemerintah, kita bersungguh-sungguh memberi sokongan kepada usaha baru ini, digambarkan seolah-olah sebagai strategi inklusif – rakyat. Hanya satu penjelasan yang boleh diterima iaitu tindakan terdesak. Kita terdesak untuk angka sokongan – yang sebenarnya adalah demi kepentingan dalam politik tanpa sekelumit rasa bersalah."

- "Sifat ihsan dan berlapang dada terhadap Tun M tidak pernah dihargai. Bukan sahaja tidak menyesal, beliau menunjukkan sifat terkutuk dalam diri beliau dengan meneruskan serangan peribadi. Penghinaan ini sedihnya tidak dibela oleh rakan-rakan yang saya letakkan kepercayaan. Saya beranggapan kalian lebih mementingkan untuk mempertahankan usaha sama dan kepentingan dengan Tun M."

- "Pandangan kami, deklarasi telah gagal untuk membawa kebajikan rakyat kebanyakan, terutamanya kesengsaraan ekonomi dan reformasi institusi. Kepada mereka yang taksub dengan Deklarasi, pasti tidak mengalukan kritikan sebegini. Saya minta berbeza pendapat dan mengutarakan penjelasan dalam perkara tersebut."

- "Dalam surat saya sebelum ini kepada Biro Politik, saya menzahirkan keraguan – yang mana deklarasi dan pendekatan baru ini bertentangan dengan perubahan jitu atau reformasi. Saya menyeru pimpinan untuk tidak memandang rendah komplot mereka. Jangan terlalu yakin dengan menganggap kalian mampu mematahkan percaturan mereka. Jangan peringatan ini dipandang remeh."

- "Ia seperti tidak masuk akal selepas bekerjasama dengan PH, NGO dan rakan-rakan kepercayaan saya, beliau masih terus menghina dan menyerang saya! Perangai seperti itu menghalang dari kemungkinan untuk pertemuan dengan ahli keluarga saya. Ada sahabat menyebut dengan takzimnya untuk tidak mengharapkan seorang yang telah berusia 92 tahun untuk akhirnya berubah. Ini hanya mengukuhkan keyakinan saya bahawa kumpulan elit penguasa hanya akan berusaha menyelamatkan Umno dan memastikan kebangkitan sistem usang."

- "Izinkan saya mengulas kepada persoalan-persoalan lain. Maaf – tetapi saya tidak dapat mengelak daripada merasa terkejut dengan pandangan cetek yang melihat dengan kejatuhan Najib cukup untuk membawa perubahan ke arah demokrasi yang beramanah atau democratic accountability."

- "Akhirul kalam – saya kini diselubungi rasa sugul. Saya tidak berhasrat membebankan saudara-saudara dengan derita kesepian mendekam di penjara. Ujian sedemikian betapa pun sukar buat saya, Azizah dan keluarga tetapi tidak serumit dan kusut menangani perkembangan parti mutakhir ini. Sejak bergulirnya Reformasi 1998, saya merasakan idealisme perjuangan mula terhakis, teruji dengan kilauan kuasa dan dana. Kekuatan saya sekadarnya, jika diakui adalah dengan meniupkan dan menyemarakkan kesedaran ke arah perubahan – islah mas ta ta’ (perubahan sedaya upaya). Maka kita bergelut selama hampir dua dasawarsa menghadapi kekejaman dan keperitan hidup. Kita pecahkan tembok ketakutan; perkauman; kesempitan takrif agama kepada rahmatan lil ‘alamin."

- "Namun kegusaran saya adalah justeru perkembangan kini meletakkan kita di persimpangan jalan. Soal cita-cita murni, idealisme bukan lagi persoalan asasi tetapi pencak politik untuk berkuasa. Atau di sebaliknya, apakah saya dirundung malang kerana sukar menerima kenyataan? Memadai saya rumuskan keterbatasan dan kelemahan saya yang tidak upaya menggalas persefahaman baru DR."

- "Kehampaan saya berikutnya justeru kelemahan lantas kegagalan menghimpun saf kepimpinan yang padu. Keupayaan dan peranan sebagai pengikat pimpinan dan kelompok juga kian terhakis. Maka kedengaran keluhan berunsur tuduhan bahawa saya turut memihak dan terkait dengan beberapa krisis sebelumnya. Saya cuba lakukan sebaiknya tetapi kudrat terbatas. Perseteruan sudah melampaui batas etika hingga kelihatan lebih lunak berurusan dengan musuh politik ketimbang teman seperjuangan."

-"Saya pohon setulusnya agar warkah ini tidak diputar dan ditafsir mengikut selera kabilah. Warkah ini berupa wasiat dan amanah perjuangan untuk semua sahabat dalam saf kepimpinan. Telaah dan manfaatkanlah sebaiknya. Maaf dipohon seandainya dianggap terlanjur dan menyinggung." – HARAKAHDAILY 17/5/2016

Share on Myspace