Akhirnya dia tahu kelebihan Markas PAS

HARAKAHDAILY | .

SETENANG AIR -SIRI 5

AHLI PAS ada pelbagai kerjaya, latar belakang pendidikan dan tahap kemampuan. Dari yang miskin hingga kepada golongan jutawan, dari penoreh getah hingga kepada golongan korporat, dari golongan agama hingga golongan profesional, dari golongan pondok hingga golongan universiti malahan yang pernah merengkok dalam penjara pun ramai saya jumpai, mereka menyertai PAS setelah insaf dan bertaubat termasuklah juga golongan artis.

Golongan inilah yang membangunkan markaz PAS di merata-rata sehingga aset PAS seluruh negara mungkin mencecah berbilion ringgit. Memberi ikut kemampuan, malahan ada juga markaz yang saya temui kos pimbinaan markaz PAS yang bernilai hampir 400 ribu tersebut hanya didermakan oleh seorang sahaja. Dia memiliki banyak tanah peninggalan orang tuanya, lalu dijual dan duitnya diwakafkan untuk membina markaz PAS.

Ada juga markaz PAS yang dibina dengan penuh kesusahan, mengumpulkan dana sedikit demi sedikit mengikut kemampuan cawangan, kerja pembinaan pula dilakukan secara bergotong-royong, sedikit demi sedikit akhirnya siap.

Kini rasanya ratusan lagi markaz PAS yang masih belum siap dibina dan juga banyak cawangan dan kawasan sedang berkira-kira untuk membina markaz PAS baru, termasuklah di Pahang yang sekarang kami sedang membina Kompleks PAS Al-Makmur di Kerdau yang bernilai 6 juta ringgit yang telah pun 60 peratus siap dan kami masih memerlukan lagi 2 juta untuk siapkan kompleks kami.

Lima tahun lalu seorang kontraktor mula berjinak dengan PAS, dia memang banyak duit, sokong PAS setelah mula berjinak dengan masjid, pernah dia ingin mengikuti saya bermusafir selama tiga hari, masa tu baru berjinak dan tak masuk PAS lagi.

"Saya tak tahu pun yang selama ini markaz PAS dibina melalui duit derma ahli-ahli", katanya, dia gambarkan bahawa PAS Pusat yang keluarkan belanja untuk cawangan dan kawasan membina markaz seperti pembinaan balai raya.

Saya kata "Bukan binaan markaz sahaja, malahan semua pergerakan parti termasuk belanja pilihan raya adalah sumbangan dari ahli dan penyokong.”

Dia menggelengkan kepala ‘teruja’.

“Banyak tu Ustaz, bukan sikit."

Waktu saya singgah di pejabat agung seketika bersamanya, dia sekali lagi teruja melihat pejabat agung PAS di Jalan Raja Laut.

"Bangunan ni dibeli dengan sumbangan ahli dan penyokong PAS," kata saya, tak terkata dia hanya sepatah kalimah ‘hebat’ katanya.

"Kalau derma kat Masjid tu, saya tak hairan lah Ustaz, tapi kalau orang PAS sanggup derma berjuta-juta untuk Markaz, itu yang pelik tu, apa istimewa Markaz PAS ni Ustaz, sampai begitu sekali sumbangan orang PAS"?, tanya dia. Saya terpaksa bercerita tentang pergerakkan Rasulullah SAW pada awal Islam ketika Nabi SAW dan sahabat berkumpul di rumah Arqam bin Abi Arqam, bagi menjelaskan tentang Islam dan strategi dakwah. "Itulah antara fungsi Markaz", kata saya.

Markaz adalah bangunan kedua selepas Masjid bagi orang PAS, kehidupan sebahagian besar ahli PAS adalah adalah di Masjid dan Markaz. Di Masjid kita solat berjamaah, menuntut ilmu dan bermuamalat dengan masyarakat seluruhannya, di Markaz orang PAS berkumpul untuk bermesyuarat, berbincang soal strategi dakwah dan menuntut ilmu berkaitan perjuangan seperti Ijtima Tarbawi, Usrah, Liqa Fikri, ceramah dan bagai-bagai lagi.

Sekarang ni dia antara penyumbang besar di kawasannya, Pusat Tarbiyyah di kawasannya, dialah antara penyumbang terbesar. Sekarang dia faham fungsi Markaz PAS, insan kelahiran Markaz sangat hebat pengorbanannya untuk agama, Markaz PAS melahirkan ramai golongan tegar dalam berjuang untuk kemenangan PAS tanpa mengira masa dan keadaan, tak kira susah ataupun senang, tak kira sihat ataupun sakit.

Dia kini adalah penyumbang besar pembinaan Markaz kerana tarbiyyah yang diperolehi di Markaz PAS menjadikan ia meletakkan perjuangan Islam itu lebih berharga dari harta yang dia miliki." Itulah hebatnya Markaz PAS ni", kata saya.

Nak ukur kekuatan jamaah PAS di suatu tempat, lihatlah Markaznya dan nak tahu mengapa orang PAS sanggup berhabis harta kerana bina Markaz, jawapannya "Jom masuk PAS". – HARAKAHDAILY 18/5/2016

Share on Myspace