MB dan Exco Kemereh: Kadok pun naik junjung

MUHAMMAD SANUSI MD NOR | .

Bahagian 1

KEDAH kita ini negeri tua, sejarahnya terpanjang. Sejak abad ke-19 dan 20, kehilangan wilayah semakin membesar, Kedah semakin mengecil. Kesan Perjanjian Inggeris- Siam (Perjanjian Bangkok) pada 10 Mac 1909, Kedah hilang sebahagian besar wilayahnya (Sadao, Satun, Saiburi, Pattalong, dan lain- lain hingga ke Phuket) yang kini termasuk dalam wilayah Thailand.

Berpuluh ribu rakyat Kedah berbangsa Melayu beragama Islam kini menjadi rakyat Thailand. Terputus geografi, terpupus adat budaya dan beralih kesetiaan mereka itu dengan kita, gara-gara Siam dan Inggeris mahu memelihara kepentingan diri masing-masing dalam perdagangan dan memiliki kekayaan untuk diri dan negara-bangsa mereka.

Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni alMarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah ternyata tidak tahu menahu tentang dealing Inggeris -Siam 'menjual' negeri baginda, yang diusahakan sejak 1906 oleh Edward Henry Stobel (Penasihat Hal Ehwal Luar Siam) dan Ralph Paget (Duta Inggeris ke Siam) serta Sir John Anderson (Pesuruhjaya Negeri-negeri Melayu Bersekutu).

Petualang penjajah ini bersetuju bahawa beberapa ikatan Siam-British sebelumnya merugikan Siam dari sudut ekonomi (dan sudah pasti tidak menguntungkan British dari beberapa sudut lain).

Kehilangan Wilayah dan Kemurkaan

Kemurkaan Sultan Abdul Hamid kepada Inggeris dan Siam diluahkan kepada penasihat Kewangan Siam - Williamson - yang mewakili Chulalongkorn dalam upacara penyerahan Kedah yang telah dikerat dan dicincang kepada Inggeris berasaskan kepentingan ekonomi British-Siam pada 15 Julai 1909 di Balai Besar Alor Setar. Titah baginda "Saya tidak akan memaafkan pihak yang menjual Negeri Kedah laksana menjual seekor kerbau".

Sejak itu, Kedah termasuk dalam kelompok Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, bersama Kelantan, Terengganu, Perlis dan Johor. Kedah dipaksa menerima seorang Penasihat British melalui satu perjanjian, sempadan negeri ditandai dengan batu garisan sempadan mengikut kaedah barat, dan penjajahan Inggeris pun bermula.

Penjajahan, Kemerdekaan dan Pemodenan Pentadbiran

Pemodenan pentadbiran awam negeri Kedah bermula dengan pelantikan pegawai-pegawai awam pada 1909 dengan penubuhan Kedah Sivil Sevice (KCS) yang kini sudah berusia lebih 100 tahun. Kedah seterusnya menyertai Malayan Union (1946-48), Persekutuan Tanah Melayu (1948-63) dan kini adalah sebahagian daripada Malaysia.

KCS menjadi sebuah institusi penting kerajaan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang menjalankan tanggungjawab pentadbiran negeri bagi pihak Sultan pemerintah yang tertakluk dibawah peruntukan Undang-Undang Negara Malaysia dan undang-undang Tubuh Negeri Kedah yang sedang berkuatkuasa.

Walaupun kerajaan bertukar tangan antara parti-parti politik, pentadbiran awam kerajaan negeri tetap berjalan seperti biasa, tertakluk dibawah konsep pemisahan kuasa antara Legislative (Perundangan - Parlimen dan DUN), Exsecutive (Pentadbiran -MB dan MMK) dan Judiciary (kehakiman- Mahkamah).

KCS bertanggungjawab melaksanakan dasar dan peraturan semasa yang diputuskan oleh kerajaan (diketuai oleh MB dan dibantu oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) yang dibentuk oleh parti-parti politik yang memenangi pilihanraya.

Dengan kuasa yang diamanahkan oleh rakyat, penggubal dasar kerajaan, akan menentukan pelaksanaan keputusan-keputusan dasar yang efisyen berlandaskan undang-undang untuk membangunkan negeri ini demi kepentingan rakyat dan negeri. Ketua kerajaan yang lemah akan menentukan arah sebaliknya.

Menteri Besar adalah Ketua kerajaan yang ditentukan oleh ramuan politik - Seandainya punyai gagasan, daya kawalan, punyai kemahiran serta kebolehan, berdaya kepimpinan, tinggi wawasan, berani, bijak, tegas dan amanah, akan memimpin negeri ini mencapai kegemilangan. Mencipta ruang dan peluang untuk bangkit semula daripada luka pengalaman sejarah yang pedih perit.

Ataupun MB dan kerajaan bisa saja membuntuti penjajahan baru kapitalis, konglamerat, korporat dan keparat menjarah bumi kita ini, mencincang dan membahagi hasil mahsulnya sesama sendiri, umpama Siam dan Inggeris mengecilkan wilayah dan maruah kita - menjarum melalui perluasan kuasa pegawai dan penasihat yang memasung kuasa dan fungsi kerajaan (yang dipilih rakyat) kerana kebodohan dan kealpaan.

Demikianlah negeri ini dan segala institusinya dibina oleh sejarah untuk menempuh perjalanan menempa sejarah baru pula.

Parti politik yang lemah akan mengirimkan ketua dan exco kerajaan yang kemereh kepada negeri ini, seperti yang dibuat oleh Umno Kedah pada waktu ini.

Pemimpin yang kemereh akan mendedahkan sendi-sendi negeri yang sensitif, kepada bahaya penjarahan- yang sepatutnya dilindungi oleh otot-otot kepimpinan negeri yang sasa. Keadaan bisa berubah dan diubah, kalau dibiarkan, kaduk pun boleh naik junjung. – HARAKAHDAILY 19/5/2016

Share on Myspace