Difitnah kerana ajak manusia kepada Islam

USTAZ ROSLI ABD JABAR | .

SETENANG AIR - SIRI 6

HEBATNYA jiwa pejuang Islam begitulah ungkapan hati saya bila melihat ketegasan As-Syahid Sheikh Mariur Rahman Nizami pemimpin Jamiat Islami yang dihukum mati oleh kerajaan Bangladesh, diusia beliau 73 tahun, Allah anugerahkan kepadanya Syahid setelah sekian lama dia bersabar dan Istiqamah diatas perjuangan Islam.

Insan yang tua ini telahpun mengidap berbagai penyakit, tubuhnya juga begitu lemah, sama seperti As Syahid Sheikh Ahmad Yasin pemimpin HAMAS yang dibunuh dengan menggunakan helikopter Apache sehingga tubuh tua dan tidak bermaya itu hancur berkecai. Apakah yang mampu dilakukan oleh insan-insan tua tersebut, namun mereka sangat digeruni sehingga jalan untuk menghilangkan ketakutan mereka hanya dengan cara membunuhnya.

Pada usia awal remaja saya, negara kita dikejutkan dengan peristiwa Memali, As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya dibunuh, orang kampung yang tidak ada apa-apa ini diserang dengan menggunakan senjata api dan turut dilengkapi dengan kereta perisai. Mereka ditembak tanpa kasihan belas, sepertinya mereka adalah golongan komunis ataupun pengganas.

Pada masa itu berdetik dalam hati, salah apakah mereka? Begitu juga apabila sembang politik dengan orang kampung saya pada zaman usia remaja saya, pelbagai tuduhan dan nista dilemparkan kepada orang PAS, walhal orang PAS yang saya kenali dikampung saya adalah mereka yang jernih mukanya, sentiasa solat berjamaah, rajin menuntut ilmu dan baik akhlaknya.

Masa berlalu mencambahkan kecerdikan dan kematangan berfikir, mencari dan terus mencari punca, bongkar segala bentuk cerita dari orang-orang yang lebih tahu dan intima saya di dalam PAS memahamkan saya betapa perjuangan Islam itu sentiasa berhadapan dengan musuh yang cuba memadamkan cahayanya, bukan setakat dengan mulut-mulut mereka malahan dengan apa jua kekuatan yang mereka ada.

Namun PAS adalah sebuah parti tarbiyyah, ahlinya sangat memahami tentang ini, ahli PAS sangat memahami bahawa PAS dibenci bukan kerana batang tubuh seorang manusia, tetapi kerana Islam yang menjadi dasar kepada perjuangan PAS. Tubuh As-Syahid Matiur Rahman Nizami dan As-Syahid Ahmad Yasin terlalu tua, namun beliau sangat digeruni bukan kerana batang tubuhnya tetapi kerana Islam yang menjadi perjuangannya.

Begitulah juga PAS, walaupun PAS bukannya parti memerintah, bukan juga parti yang berduit, bukan juga sebuah armada tentera yang memiliki kelengkapan senjata, namun musuh siang malam memfitnah untuk jauhkan manusia dari PAS, tidak lain dan tidak bukan kerana PAS adalah sebuah parti yang mengajak manusia kepada Islam bukan sahaja kepada amalan Fardiyyah malahan PAS turut berada di medan politik untuk menyertai pilihan raya.

Politik adalah medan dakwah berskala tinggi, ia sebuah medan pertempuran untuk merebut kuasa pemerintahan. Semakin besar ruangnya, semakin besar semakin besar pula mehnahnya. Pengamal politik adalah manusia tegar dengan pertembungan sama ada pemerintah atau pembangkang, siapapun akan tersingkir jika tidak memiliki ketegaran untuk berjuang dan pertahankan dasar atau ideologi perjuangannya, keyakinan terhadap apa yang diperjuangkan menjadi menjadi teras yang paling kukuh untuk berterusan sehingga mati atas dasar perjuangannya. – HARAKAHDAILY 24/5/2016

Share on Myspace