Kelantan bersujud di dalam syukur

HARAKAHDAILY | .

Bumi Kelantan menadah syukur kepada Allah SWT di atas kejayaan YB Tuan Guru Presiden membentangkan Rang Undang-undang Persendirian bagi tujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Ia secara tidak langsung merintis jalan kepada penguatkuasaan sebahagian Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 di negeri Kelantan yang telah dibentang oleh YAB Menteri Besar Kelantan pada bulan Mac tahun lepas.

Rakaman tahniah di atas kejayaan awal PAS membawa rang undang-undang persendirian yang disifatkan sebagai satu langkah bersejarah pada hari ini.  Ia bukannya satu langkah yang tercipta dengan sekelip mata. Benar ia hanya tiga minit, tetapi tiga minit bersejarah itu telah didahului dengan pelbagai perkembangan besar di dalam politik tanah air. Sehingga boleh dikatakan bahawa punca utama perpecahan Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum ketiga belas yang lalu ialah kegagalan DAP untuk menerima pendirian PAS bagi meneruskan agenda memartabatkan perundangan Islam di negara ini.

Hari ini, sejarah tercetus dengan kejayaan seorang ahli parlimen pembangkang mengetuk pintu Parlimen dengan membawa rang undang-undang persendirian untuk dibacakan bahkan mendahului sebilangan rang undang-undang kerajaan sendiri.

Bagaimana ia terlaksana bukanlah satu persoalan yang utama. Jika rundingan untuk membina terowong bawah laut dan rundingan-rundingan lain melibatkan kepentingan rakyat boleh sahaja diterima kewajarannya, maka apalah sangat rundingan yang membabitkan kepentingan agama?

Perkembangan hari ini menjadikan cita-cita kerajaan Kelantan semakin menghampiri kenyataan.

Kata pepatah, ‘dayung sudah ada di tangan, perahu sudah ada di air”, Kelantan wajib bersedia untuk mengorak langkah menjadi negeri yang pertama menyahut usaha memartabatkan Mahkamah Syariah.

Umat Islam di Malaysia tentulah matang untuk menilai, jika PAS selaku parti pembangkang pun sudah berusaha sedaya upaya memartabatkan syariat Islam, maka bayangkan jika PAS sebagai sebuah parti kerajaan.

Bayangkan Umno sebagai tulang belakang kerajaanpun terpaksa melorongkan bola kepada PAS untuk menjaringkan gol, maka sudah tentu jika PAS yang menurunkan keseluruhan pemain bermula penjaga gol sehingga penyerang, usaha ini akan menjadi lebih serius.

Anak muda Kelantan sujud syukur di hening pagi Jumaat ini. Ia adalah hadiah kepada kami rakyat Kelantan. Sempena Ramadhan Al-Mubarak dan sempena kehadiran perwakilan dan pemerhati ke Muktamar Tahunan PAS di Kota Bharu minggu hadapan.

Ah, jikalah tokguru masih ada...

Ahmad Fadhli Shaari
27 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 27/5/2016

Share on Myspace