Kisah guru besar kagum pengorbanan ahli PAS

USTAZ ROSLI ABD JABAR | .

SETENANG AIR - SIRI 7

SEORANG guru besar, masa tu dia masih belum memeluk Islam, dia datang ke rumah saya, selama dua jam kami bersembang, dia banyak bertanya tentang PAS, namun dia nampaknya banyak membaca dan faham aspirasi PAS yang berada di medan politik Malaysia. Dia juga banyak tahu tentang parti lain terutama Umno.

Dia kata, dia banyak kali pergi dengar ceramah PAS, dah lebih 30 kali sejak 3 tahun lalu, ada juga masa, dia dengar khutbah jumaat dan kuliah sambil duduk di dalam kereta. Dia boleh bezakan jika sekiranya khatib yang berkhutbah itu adalah pendokong PAS atau tidak. Dia kenal hampir semua tokoh-tokoh ulama yang menjadi kepimpinan di dalam PAS terutama didalam negeri Pahang.

Satu perkara yang menjadikan dia teruja dengan PAS ialah semangat pengorbanan ahli PAS yang tiada pada parti lain. Soalan dia "mengapa ahli PAS sanggup keluar duit sendiri dan sanggup kerja untuk PAS walaupun tiada upah, saya banyak dengar tentang jihad, itu saya faham, katanya, cuma apa sebenarnya yang ada di dalam hati orang PAS sampai sanggup begitu?"

Saya menjawabnya "Ahli PAS tidak bekerja dan berhabis duit kerana dunia tetapi kerana Akhirat, kalau untuk dunia semata kami tak perlu berjuang di dalam PAS, lebih baik kami berjuang untuk cari duit, berniaga atau sebagainya, ataupun kami masuk je parti yang telah menang, tapi ahli PAS tetap juga berjuang walaupun kami berulangkali kalah.

Kami parti Islam, Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah dan kami diperintahkan oleh Allah untuk berjuang dijalan-Nya, kami diperintahkan untuk mengajak manusia kepada agama-Nya dan diperintah untuk mentadbir manusia dengan agama-Nya. Kami masuk politik bagi mencapai tujuan tersebut, kami bukan masuk politik saja suka-suka atau kerana nak kuasa semata-mata.

Kami ada matlamat perjuangan dan kami yakin perjuangan kami tidak sia-sia walaupun kalah atau kehabisan tenaga, masa dan harta. Sebab kami yakin semua pengorbanan kami untuk Islam, Allah akan berikan pahala dan akan mendapat balasan baik di Akhirat. Allah yang menciptakan langit, bumi dan sekelian yang ada antara keduanya, dialah juga yang menurunkan Islam untuk manusia.

Dialah yang menurunkan al-Qur'an sebagai tanzim atau sistem untuk manusia hidup baik dan sempurna di dunia dan akhirat. Kami yakin tiada sistem terbaik kecuali sistem yang diturunkan oleh Allah, sebagaimana kami yakin tiada penciptaan lain yang lebih baik dari penciptaan Allah, cikgu rasa ada tak manusia boleh ciptakan sesuatu yang lebih hebat dari ciptaan Allah sebagaimana langit, bumi, matahari dan apa yang kita lihat dialam ini? Dia senyum sambil gelengkan kepala.

Jika kita yakin tiada penciptaan terhebat melainkan ciptaan Allah, maka begitulah juga kami yakin tiada sistem yang paling hebat melainkan Islam yang diturunkan oleh Allah yang telah menciptakan alam ini, atas keyakinan itu kami berjuang dan sanggup berkorban meskipun tidak mendapat sebarang balasan dari pengorbanan kami.

Tetapi Allah janjikan balasan pahala dan kebaikan di Akhirat walaupun kami kalah dalam pilihan raya. Apa yang diperintahkan oleh Allah wajib dilaksanakan, kami tetap solat, walaupun kami tak dapat upah, begitu juga kami tetap berjuang walaupun masih belum diberikan kemenangan, kerana apa yang ada dalam hati orang PAS ialah "Kami berjuang bukan kerana lain, tetapi kerana ia adalah perintah dari Allah SWT."

Dia kini telah memeluk Islam dan memilih Kelantan Darul Naim sebagai negeri untuk dia melafazkan Syahadah. – HARAKAHDAILY 27/5/2016

Share on Myspace