Pejuang PAS dulu-dulu macam makhluk asing

USTAZ ROSLI ABDD JABAR | .

SETENANG AIR - SIRI 8

BARA api jika terus digenggam pasti membakar tangan, ngeri dan sangat menyakitkan, jika tidak sanggup menahan kepanasannya, ia pasti akan dilepaskan. Begitulah gambarannya suasananya mereka yang berpegang dengan Islam diakhir zaman ini sebagaimana yang telah digambarkan oleh Rasulullah SAW.

Hanya mereka yang kuat, mampu terus menerus mengharungi cabaran perjuangan sehingga keakhir hayat. Saya menziarahi seorang otai, dia ahli PAS sejak tahun 1964, waktu saya masih belum lahir di muka bumi. Katanya "cabaran sentiasa bertambah mengikut zaman, semakin PAS kuat dan ramai ahli serta penyokongnya maka semakin pula kuat tribulasinya".

Pada zamannya, PAS begitu asing dalam kalangan masyarakat, "orang seperti saya dianggap seperti makluk asing, apatah lagi di Negeri Pahang. Susah nak cari orang PAS, ada, tapi tak ramai. Kesedaran terlalu sedikit, doktrin barat telah berjaya membelah dua minda masyarakat Melayu pada masa itu, sehingga tegar kefahaman mereka bahawa agama dan politik adalah terpisah dan tiada kaitan lansung antara keduanya.

Sangat sukar untuk menghubungkan kembali saraf minda mereka agar menerima dan meyakini bahawa tiada suatu pun urusan dunia yang tidak bekait dengan akhirat dan tiada suatu pun urusan kehidupan kita yang tidak berkait dengan dosa dan pahala.

Siapa yang kaitkan politik dengan agama akan dianggap sebagai seorang saudagar agama, hanya seperti berniaga tanpa lesen yang bila-bila sahaja diangkut oleh penguatkuasa.

Media hanya milik kerajaan, tidak seperti sekarang. Masa-masa yang dilalui oleh ahli PAS dipenuhi dengan cabaran, Pahang bukan Negeri yang ramai para Ulama pada masa tu, tidak seperti Kelantan, Kedah, Terengganu dan lain-lain.

Kami sangat sedikit, dakwah dan penerangan sangat perlahan dan ruangnya sangat sempit, kami yang mengajak orang berpolitik dengan cara agama pada masa tu hanya dianggap golongan yang mengotorkan agama kerana dicampurkan dengan politik".

Katanya, "ada juga yang bersama PAS bukan kerana Islam, ada juga yang asalnya sertai PAS bukan kerana Islam, tetapi apabila mendapat tarbiyyah, mereka sedar tujuan perjuangan mereka, namun yang masuk PAS kerana politik semata-mata kebanyakan menyertai BERJASA dan ikut pemimpin-pemimpin kesayangan mereka yang keluar dari PAS." Katanya.

Kami bertukar cerita tentang cabaran perjuangan antara dua zaman, yang pasti cabaran terhadap perjuangan PAS semakin hebat, "Ustaz kena banyak bersabar, kerana dengan sabar itu kita dapat keampunan, rahmat dan juga petuntuk dari Allah", sambil ia bacakan sepotong ayat al-Qur'an sebagai sandaran nasihatnya. Saya angguk. Dia senyum sambil pandang saya.

Dia kata "masa zaman pulau memulau dulu, kami lawan musuh secara berdepan, tapi sekarang ni nampaknya musuh ada dari segenap penjuru, dulu musuh menjauhi kami, tapi sekarang musuh PAS duduk disekeliling dan dekat, parahlah sikit, musuh yang dekat mudah sampai senjata dan penumbuknya kemuka kita, apatah lagi kalau dia ada kat tepi, depan, belakang, atas dan bawah, teruklah sikit kita dibelasah, dan penatlah kena bersilat," katanya.

"Ustaz kena sabar, tiada satu keadaanpun yang menyebabkan kita dapat bertahan dengan ujian perjuangan melainkan apabila kita berbuat sesuatu itu kerana menuntut redha Allah dan tiada sesuatupun yang Allah redha melainkan kita berbuat sesuatu mengikut apa yang diperintahkan kepada kita, tiada suatu pun yang merupakan perintah Allah melainkan apa yang terkandung didalam Islam, maka genggamlah Islam tu, meskipun terbakar tangan," nasihatnya.

Berkata-kata itu lebih mudah dari menahan derita, semoga aku tabah seperti dirinya. – HARAKAHDAILY 29/5/2016

Share on Myspace