Akta 355: Tanggungjawab umat Islam seluruhnya

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

PEMBENTANGAN usul persendirian oleh Yang Berhormat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) seharusnya didukung padu oleh seluruh umat Islam. Kesempatan ini wajar menjadi peluang untuk umat Islam menunjukkan solidariti demi memastikan usaha mendaulatkan Islam di bumi Malaysia ini terus mara.

Sebagaimana sejarah membuktikan, Islam telah menjadi akar umbi dan nadi bumi ini sejak dulu. Penjajahan ke atas bumi ini telah menjadikan akar tunjang ini dileraikan satu demi satu hinggalah keutuhan Islam di Malaysia seolah-olah hanya di atas kertas. Mendaulatkan Islam di Malaysia seperti yang tercdatat dalam lipatan sejarah amat meruntun kesungguhan umat Islam secara total.

Telah banyak saya nyatakan pada pelbagai kesempatan dan penulisan, memperkasakan Islam dalam system perundangan negara amat menagih komitmen dan iltizam padu dari seluruh ahli-ahli politik dan ahli-ahli parlimen muslim. Demikianlah apa yang sedang kita depani hari ini.

Secara seimbas lalu, saya cuba membawa perhatian sekalian pembaca berkaitan perkara-perkara yang perlu kita ketahui di sebalik usul persendirian yang dikemukan oleh MP Marang lalu. Perlu diinsafi, wajar kita meneliti apa yang akan saya kemukakan bebas dari ketaksuban kita kepada parti semata-mata tetapi melihat dari kelangsungan mendaulatkan Islam itu yang paling utama.

Pertamanya ramai yang mempersoalkan kenapa tidak pihak pemerintah yang diterajui parti United Malay National Organisation (Umno) mengemukakan usul pindaan tersebut? Bagi memahami persoalan ini, saya lebih suka meneliti perihal kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan Islam itu sendiri.

Dalam ruang kesempatan forum dan wacana yang dianjurkan oleh pelbagai pihak, apa yang boleh saya simpulkan ia lebih kepada perbincangan yang berbentuk akademik. Tiada suatu kata muafakat dari pihak yang berkuasa untuk tegas memperkasakan undang-undang Islam, khususnya dalam bidangkuasa jenayah mahkamah syariah.

Pihak pemerintah dilihat amat berhati-hati dalam membawa sebarang usaha untuk memperkasakan Islam dalam sistem perundangan Negara. Apa yang sering ditekankan hanyalah pengharmonian sistem perundangan sedia ada dengan sistem perundangan Islam. Ia tidak pula dituruti dengan suatu resolusi yang jelas sebagaimana yang ramai dari kita harapkan.

Dalam kelompongan inilah, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam memastikan cita-cita mendaulatkan Islam dalam perundangan negara tidak terbengkalai. Apatah lagi PAS sebagai badan siasah berteraskan Islam telahpun mempunyai wakil-wakilnya di dewan-dewan perundangan termasuklah di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan-dewan Undangan Negeri.

Dengan tiadanya kesungguhan di pihak kerajaan yang diketuai Umno, PAS hadir untuk berani mengemukakan usul yang telah dibawa dan hanya diangkat mutakhir ini. Seterusnya perlu kita faham isi kandungan usul tersebut secara ringkas.

Usul yang dikemukan oleh YB TG Haji Abdul Hadi Awang adalah bertujuan menzahirkan peruntukan-peruntukan di dalam Jadual Kesembilan, Senarai II, iaini Senarai-senarai bidang kuasa negeri. Dalam perenggan 1, Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, inti yang utama diperturunkan di bawah ini:-

Senarai II—Senarai Negeri, Perenggan 1,

"Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan,......... pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah,...."

beberapa perkara asas dari peruntukan di atas termasuklah:

1.   Islam yang terletak di bawah bidang kuasa negeri bolehlah dijadikan sumber undang-undang khususnya berkaitan hal-ehwal individu dan keluarga, setakat mana tidak berlawanan dengan bidang kuasa persekutuan.

2.   Dalam hal-ehwal jenayah, ia adalah terhad berkaitan peribadi individu yang menganuti dan mempercayai Islam sahaja dan tidak berlawanan dengan bidang kuasa persekutuan

Dalam memberi makna bahawa Mahkamah Syariah berbidangkuasa dalam hal-ehwal jenayah yang berkaitan individu muslim, perlu ada suatu perundangan jelas yang digubal. Dalam pertimbangan inilah usul persendirian ini amat diperlukan. Peruntukan sedia ada dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), seksyen 2 memperuntukkan:

Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.

“Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut….”

Sehingga usul persendirian ini diluluskan, dalam bidang kuasa jenayah, Mahkamah Syariah di Malaysia hanya mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman sebagaimana yang dinyatakan di atas. Kuasa yang biasa disebut 356 ini sudah tentunya tidak mampu menggambarkan perundangan jenayah Islam yang lebih baik.

Justeru, pindaan yang dicadangkan melalui usul persendirian YB Marang adalah memberi kuasa kepada badan-badan perundangan negeri-negeri mengubal suatu enakmen yang lebih menepati kehendak syarak dan tidak hanya tertakluk kepada hukuman 356.

Dengan perkataan lain, pindaan Akta 355 bukan suatu usaha muktamat. Ia perlu dituruti pula oleh Dewan-dewan Undangan Negeri untuk memastikan enakmen di negeri-negeri lebih bertepatan dengan hokum syara’ dalam hal-ehwal jenayah.

Kesimpulannya, usul persendirian yang dibawa oleh TG Presiden PAS bukanlah suatu yang asing dalam perundangan Islam. Amat tidak wajar ia ditohmah dengan pelbagai tuduhan politik yang mampu mencacatkan usaha mendaulatkan Islam dalam perundangan negara.

Saya berpandangan ahli-ahli parlimen muslim tiada pilihan lain selain berusaha memastikan usul persendirian ini berjaya diluluskan agar pindaan kepada Akta 355 berjaya direalisasikan. Dalam mendepani cabaran ini, kepentingan Islam wajib menjadi keutamaan mengatasi kepentingan-kepentingan lain.

Buat seluruh umat Islam, berusahalah memahami situasi penting ini agar kita mampu berganding bahu, dalam mengumpul kekuatan mendaulatkan islam di tanah air ini. Langkah ini hanyalah suatu kesinambungan yang penhujungnya masih jauh di hadapan. - HARAKAHDAILY 1/6/2016

Share on Myspace