Kenangan muktamar zaman olakan jamaah

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia menarik tirai mula dengan lebih harmoni. Kali ini dengan gimik tiga tokoh terpenting pemuda memakai pakaian tradisi pahlawan Melayu. Ucapan Tema Ketua DPPM juga sarat dengan arahan dan artikulasi tentang rencah sosiopolitik tanah air. Fikiranku menerawang jauh, mengingat kembali dua tahun lepas, muktamar DPPM di bumi Johor yang bersejarah.

"Mujur anta tak pengsan juga," oceh Datuk Mustafa Ali sambil ketawa kecil menggenggam tangan saya sebelum bermula muktamar penuh PAS Pusat. Mantan Ketua Pemuda ini adalah antara arkitek gagasan kepimpinan ulama pada tahun 1982. Dewan Pemuda di zaman beliau mengambil tindakan berbeza dengan PAS Pusat dengan mengadakan muktamar berasingan di Bukit Mertajam. Muktamar itu adalah Muktamar Pemuda PAS yang melakar sejarah sehingga muktamar penuh PAS Pusat di Dewan Bahasa Dan Pustaka menjadi tegang, dramatik, malah menyebabkan Datuk Asri meletakkan jawatan sebagai Presiden apabila ucapan dasarnya ditolak. Paling kuat menentang Asri ialah anak-anak muda PAS, segelintirnya sangat tersihir dengan peristiwa 'the black friday' di Tehran.

Pemuda PAS pasca peralihan kepimpinan ulama menjadi elemen paling kuat untuk meneguhkan watak PAS sebagai gerakan Islam yang kompetitif. Mereka mengusulkan kewujudan Majlis Syura Ulamak untuk menjadi vanguard jamaah ini, juga menggerakkan dengan agresif gerakan jihad pendidikan yang digalang oleh ahli-ahli PAS sendiri. Anak- anak muda peserta kebangkitan Islam memilih PAS sebagai wadah mereka, apatah lagi dengan sikap vokal pemuda PAS terhadap regim Umno dan BN.

Pemuda PAS membayar harga yang mahal akan sikap vokal mereka terhadap regim apabila ramai kalangan pimpinan pemuda PAS dikurung dibawah ISA. Tangkapan demi tangkapan tak melunturkan istiqomah para pemuda menjadi pembenteng agama, walaupun digambarkan sebagai kelompok radikal dan ultra konservatif oleh media yang ditunggangi regim BN. Maksiat dan kemungkaran ditentang dengan gencar oleh pemuda PAS, suara mereka membela agama dan masyarakat tertindas.

30 tahun pasca perubahan kepimpinan ulama, peralihan kepimpinan dalam Dewan Pemuda PAS Pusat berjalan dengan lancar, jauh daripada ribut besar. Mudah difahami kerana sayap PAS ini paling bersungguh dalam program tarbiah dan tajnid, maka unsur politiking dapat dikawal dengan berkesan.

"Mengapa muktamar Pemuda PAS menjadi tegang, mengapa kita hilang adab," tanya teman saya, seorang doktor perubatan yang juga aktivis bantuan kemanusiaan.

Saya terkedu dan membelek kembali kenangan selama dua dekad dalam pemuda, ramai yang bertanyakan tentang insiden keluar dewan oleh pemuda PAS semasa acara perasmian muktamar oleh Timbalan Presiden. Perkara sebegini belum pernah terjadi dalam muktamar hatta sebelum era kepimpinan ulama. Saya walaupun sebagai Timbalan Pengerusi Tetap Muktamar Pemuda, namun tidak berada dalam perasmian muktamar kerana sedikit keuzuran. Mesej masuk bertalu-talu masuk ke ponsel saya bertanyakan siapa dalang dan pemicu acara protes itu, saya tiada jawaban kerana tidak mencium maklumat itu.

Muktamar pemuda  pada malamnya juga bersambung tegang sehingga Pengerusi Tetap sesak nafas dan saya mengambil alih sidang muktamar tersebut. Saya melepaskan pandangan pada ribuan anak muda yang memenuhi Dewan Choon Moi Kota Tinggi, watak "the young angry man" bermuka bersih, mereka bukan anak-anak muda jalanan tak berpendidikan. Seorang perwakilan pemuda dari Terengganu yang meluru di rostrum adalah bekas ADO Daerah Besut, lulusan UIA. Dewan gamat tingkah meningkah, ditambah barisan pemerhati yang turut merencah takbir dan sorakan. Saya menghentikan sidang dengan doa wehdah, kalimah yang akan menyatukan anak muda Islam yang bergabung dalam PAS, mendamaikan muktamirin dengan pengkisahan sejarah PAS.

Banyak muhasabah dan iktibar yang wajib dikutip dalam muktamar Dewan Pemuda kali ini, antaranya pemerkasaan tajnid para amilin. Usaha pembinaan kader-kader baru juga wajib menjadi agenda utama pemuda PAS kerana di luar sana pelbagai NGO menawarkan pelbagai tarikan pesona untuk menarik anak muda menyertai mereka. Pemuda PAS Pusat wajib menggilap figura-figura mereka dalam pelbagai bidang,dalam pengamatan saya exco-exco dalam pemuda Pusat hari ini kurang terserlah. Ini berkemungkinan kerana watak-watak baru, namun perlu digilap kompetensi. Percayalah bahawa saf pimpinan Pemuda Pusat wajib digalang oleh anak muda-anak muda Islam terbaik negara ini.

"Jadilah anak muda yang genius, pemberani, bukan berkain batik, pentaksub ilmu" itu nasihatku buat Pemuda PAS Malaysia, kerana alumni Pemuda PAS telah melakar pelbagai sejarah besar dalam harakatul ummah ini. - HARAKAHDAILY 1/6/2016

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace