Corat-coret Muktamar PAS 2016

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SENARIO MENARIK

SIRI 1

1. MENDAPAT LIPUTAN PELBAGAI PIHAK
Sejak dari muktamar dewan-dewan lagi, pemimpin parti lain, cybertrooper dan netizen sudah membuat berbagai komen terhadap perjalanan muktamar. Walaupun ada yang melapor secara putarbelit dan tidak amanah, tetapi ini menandakan mereka mengikuti penuh teliti setiap saat muktamar.

Pelik juga. Dengan dakwaan-dakwaan kononnya PAS sudah tidak relevan, PAS sudah hilang pengaruh dengan keluarnya golongan so called 'progresif', sepatutnya orang dah tak layan PAS. Tapi apa yang berlaku, portal-portal dan akaun-akaun fb pihak lain lebih banyak melaporkan perjalanan muktamar dari penyokong PAS Sendiri.

TV3 melaporkan hampir 10 minit berita muktamar. Malaysiakini 31 hingga 3 Jun dipenuh berita-berita Muktamar. KiniTV memaparkan video setiap perwakilan yang bercakap. Semua ini menunjukkan perkembangan PAS mempunyai market value yang dinanti-nantikan oleh pelanggan dan sasaran setiap portal ini.

Jika kita ikuti perkembangan PAS sejak awal. Kita akan dapati PAS kini semakin laju dan maju ke hadapan. Tepat sebagaimana kata Mahatma Gandhi: "First they ignore you, then they laugh at you, then they fight you, then you win. (Mula-mula mereka tidak layan kamu. Kemudian mereka tertawakan kamu. Kemudian mereka lawan kamu. Akhirnya kamu menang)

2. SUASANA SEJUK
Seperti yang diungkapkan oleh Ustaz Nik Abduh dan Pengerusi Tetap, perjalanan muktamar kali ini tidak seperti muktamar sebelum ini. Suasana sejuk dan damai, tidak hangat seperti sebelum ini. Mungkin ini kerana tiada lagi kegusaran dari akar umbi terhadap masadepan PAS. Tiada yang datang dengan perasaan amarah, geram atau benci sebaliknya yang ada hanyalah cinta, perhormatan dan kesetiaan.

Ini juga menggambarkan keadaan dalaman PAS ini. Lebih tenang dan bahagia walaupun banyak media melaporkan PAS sedang runtuh kerana keluarnya beberapa kerat bekas pimpinan PAS. Ahli-ahli gembira dan boleh menjalankan tugas dengan lancar tanpa sebarang kekeliruan.

Tetapi ia tidaklah bermakna membosankan. Buktinya dewan tetap penuh sepanjang muktamar samada di kerusi perwakilan juga pemerhati. Di luar dewan pula suasana sangat meriah. Acara pentas dan program-program kecil mendapat sambutan sangat memberangsangkan. Booth-booth jualan di merata kawasan termasuk di luar pagar. Peniaga-peniaga tidak menang tangan melayan pengunjung walaupun berpanas di tengahari.

3. DEWAN MUKTAMAR PENUH
Apa yang disebutkan oleh pengerusi tetap, sejak 30 tahun beliau mengendalikan muktamar, inilah kali pertama beliau melihat kerusi hadirin penuh dari awal sampai akhir. Ini merupakan petanda baik buat PAS bahawa akar umbi kini adalah dari kalangan yang terbaik sepanjang zaman. Mereka serius mengikuti perbincangan walaupun tiada isu hangat. Mereka tetap bersemangat walau tiada ancaman.

InsyaAllah inilah sebaik-baik tentera Allah yang dipimpin sebaik-baik pimpinan untuk mengulang sejarah al-Fateh membuka Costantinople.

4. RAMAI ANAK MUDA DAN KAUM HAWA
Saya tidak perasan bagaimana perwakilan, tetapi boleh saya katakan majoriti pemerhati merupakan anak-anak muda bawah umur 40an. Separuh dari hadirin juga adalah golongan wanita.

Anak muda dan wanita adalah golongan penentu masadepan negara. Apa yang berlaku kini dalam negara adalah hasil lakaran orang tua sekarang. Untuk merubah nasib negara, anak mudalah yang perlu berperanan. Wanita pula adalah rakyat Malaysia teramai. Kalau mereka ramai bersama PAS, mesej PAS akan mudah sampai ke seluruh pintu rumah rakyat Malaysia.

5. TEMPOH PRK
Muktamar berlaku pada tempoh Perak dan Selangor sedang menghadapi musim pilihanraya. Ia merupakan saat getir bagi sebuah parti politik. Dalam keadaan biasa, segala aktiviti parti akan dibekukan kalau bertembung denga pilihanraya.

Tetapi kali ini ia hanya dianjak sehari lebih awal. Dan komitmen yang diberi dari kedua negeri ini terhadap muktamar tetap jitu. Kelibat calon PAS Kuala Kangsar tetap kelihatan walaupun dalam iddah pertempuran. Perbincangan muktamar pula tidak hanya memfokuskan isu PRK.

Ini adalah petunjuk bahawa ahli PAS memahami orientasi perjuangan PAS. Kewujudan PAS bukan seperti parti politik lain yang berjuang demi pilihanraya dan kuasa semata-mata. Sebaliknya PAS adalah gerakan Islam yang turut memiliki peranan dakwah dan tarbiah. Isu-isu dakwah dan tarbiah tidak akan habis walaupun jika PAS memerintah suatu hari nanti.

6. RAMAI WAKIL MEDIA
Saya kira tidak kurang dari 30 buah kamera mewakili berbagai agensi berita memenuhi sudut dewan muktamar. Kamera-kamera video sahaja hampir 10 buah berada betul-betul dihadapan pentas utama, lebih dekat dari tempat duduk perwakilan sendiri. Tidak keterlaluan kalau saya katakan tidak kurang dari 100 wakil media pelbagai agensi bertugas melaporkan muktamar tersebut. Ini tidak termasuk siaran langsung melalui hijau fm, Terengganukini dan sebagainya.

Saya sendiri tidak tahu dari mana maklumat yang diterima Husam Musa tentang perjalanan muktamar kononnya dibuat tertutup sehingga tidak dibenarkan media masuk. Nampaknya cakap-cakap Husam tidak boleh dipakai apa lagi. Kalau ikut ilmu Hadis, sebab dialah sesuatu Hadis jadi daif syadid dan matruk.

7. PEMERHATI DIBENARKAN MASUK
Apa yang menyeronokkan sebagai seorang pemerhati, ruang untuk pemerhati sangat luas dan dekat dengan perwakilan. Kami merasa dihargai dan sebahagian dari ahli muktamar.

Sangat berbeza dengan apa yang berlaku 2 tahun kebelakangan ini. Di zaman Suhaizan menjadi Ketua Pemuda, muktamar di Johor dan Shah Alam, mereka sangat tidak menghormati pemerhati. Tempat duduk pemerhati dipisah jauh dari medan perbahasan. Seolah takut dengan sorakan dan takbir kami sebagai pemain ke 12 di padang muktamar.

Saya masih ingat di Johor, perwakilan terpaksa mengemukakan usul kepada muktamar supaya dibenar pemerhati masuk. Itupun hanya di ruangan kecil kerana dewan seolah sengaja ditempat memenuhi kerusi perwakilan sahaja.

Di Shah Alam pula, pemerhati berdemo di luar dewan kerana tidak dibenarkan masuk. Mereka diletakkan di dewan banquet yang lain dan mengikuti muktamar hanya melalui siaran skrin gergasi. Selepas Suhaizan kalah barulah pemerhati dibenar masuk. – HARAKAHDAILY 4/6/2016

Share on Myspace