Tazkirah Ramadhan

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Maha suci Allah, zat yang esa yang memiliki segala kesempurnaan dan mustahil dicalar walau secalit kekurangan. Dia-lah yang selayaknya disembah.

Bermula keagungan Allah adalah pada wujud-Nya. Wujud-Nya adalah tanpa tiada, tidak pernah tiada, sedangkan yang selain-Nya, wujud mereka bermula dengan tiada.

Sesuatu yang tiada mustahil dapat mengadakan dan melahirkan sesuatu kepada ada. Bagaimana boleh digambarkan seorang anak lahir tanpa ibu atau kereta tercipta tanpa perekanya? 'Ada'-lah yang menciptakan 'tiada' kepada ada, sedangkan mustahil 'tiada' menciptakan tiada kepada ada.

Daripada ayam wujudlah telur dan daripada telur wujudlah ayam. Justeru siapakah yang memulakan wujud telur dan ayam?

Tiada di alam ini kecuali berasal daripada tiada. Adanya kini adalah kerana adanya sesuatu yang lebih awal daripadanya, lalu menciptakannya. Itulah zat pertama yang wajib ada. Itulah Allah, zat yang wajib wujud dan pemilik segala kewujudan.

Justeru Allah itu ada yang tidak pernah tiada. Dia-lah yang pertama. Dia-lah yang satu dan terawal yang mewujudkan ada, yang memulakan sesuatu daripada tiada, yang menciptakan segala yang ada dan yang juga meniadakan yang ada.

Tak terkata, betapa kekufuran terhadap Allah adalah seburuk-buruk perbuatan dan paling terkutuk. Manakala beriman wujudnya Allah adalah makna dan ibu segala kebenaran dan kebahagiaan hidup.

Mari bersyukur bahawa setiap muslim telah memulakan langkah dalam hidup ini dengan benar dan asli.

Puji-pujian bagi Allah yang telah memberi hidayat kepada kita dengan Islam.

Share on Myspace