PAS disindir sejak dahulu

USTAZ ROSLI ABD JABAR | .

SETENANG AIR -SIRI 10

APABILA pimpinan dan ahli PAS menyebut bahawa perjuangan kita yang pertamanya ialah untuk mencari keredhaan Allah, PAS menjadi bahan perli setengah pihak sejak dari mula ditubuhkan sehingga kini. Sinis dan sangat sinis sepertinya mereka tidak mengharapkan keredhaan Allah didalam perjuangan mereka.

Dulu saya mendengar pemimpin Umno kata, orang PAS tak usah pakai kereta, tak usah lalu jalan raya sebab dia cuma nak redha Allah, Baru-baru ni dengar seorang pemimpin berceramah, saya masih menyimpan videonya, dia kata apa guna PAS bertanding pilihan raya kalau hanya mengharap redha Allah, lebih baik PAS duduk di masjid, berzikir dan baca Qur'an.

Teringat kata seorang guru saya masa di Pondok dulu, "kalau mu nak selamat, mu jangan bagi Allah marah kat mu, kalau mu buat bende yang Allah tak redha sampai bila-bila mu tak selamat dunia dan akhirat". Dari pesanannya fahamlah saya bahawa nak dapat redha Allah mesti buat apa yang Allah redha bukan apa yang Allah benci.

Islam dah sempurna, tiada lagi yang diredhai Allah SWT kecuali Islam. Maka semua urusan kehidupan kita mesti berpandukan Islam kerana hanya dengan pada Islam itu ada redha-Nya.

Maka tanpa pedulikan sinis, PAS teruskan agenda perjuangannya dengan memelihara wadah dan dasar perjuangan agar tidak mendapat kemurkaan Allah meskipun dibenci dan tidak diredhai oleh sebahagian manusia.

Mana mungkin orang yang beriman tidak mahu keredhaan Allah SWT kerana tiket untuk ke syurga ialah "Raadiatan Mardhiyyah", kamu redha kepada Allah dan Allah meredhai kamu.

Untuk mendapatkan keredhaan Allah, kita mesti redha dengan apa yang diperintahkan oleh Allah, meskipun berat dan ringan, bukan setakat kena perli, kena apapun yang lebih dari itu wajib kita utamakan keredhaan Allah, apalah sangat sinis dan perli tu, kalau nak dibandingkan dengan keredhaan Allah SWT.

PAS tetap dengan politik Islamnya, berjuang untuk menegakkan hukum yang akan memelihara maslahah manusia tanpa mengira bangsa, suku dan agama, tidak mungkin Islam yang diredhai oleh Allah akan menzalimi manusia. PAS tetap akan menjadikan Islam yang diredhai Allah sebagai dasarnya demi mendapat keredhaan-Nya.

Dunia boleh diperoleh dengan apa cara sekalipun, dengan cara baik atau jahat, tetapi kebaikan Akhirat hanya diperoleh dengan redha Allah semata, setelah manusia melaksanakan apa yang diredhai oleh Allah.

PAS tetap berjuang untuk menang, iaitu kemenangan yang diredhai bukan kemenangan yang dimurkai yang hanya akan menyebabkan bertambahnya kezaliman terhadap manusia. – HARAKAHDAILY 7/6/2016

Share on Myspace