Puasa: Jalan menuju taqwa secara intensif

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Tazkirah Ramadhan (5)

قال الإمام ابن القيم:

والصائم هو الذي صامت جوارحه عن الآثام ، ولسانه عن الكذب والفحش وقول الزور ، وبطنه عن الطعام والشراب ، وفرجه عن الرفث.

الوابل الصيب [٤٣]

Berkata al Imam Ibn al Qayyim: Orang yang berpuasa ialah orang yang mendiamkan anggota tubuhnya daripada segala dosa, lidahnya daripada bercakap bohong, kotor serta palsu, perutnya daripada makanan dan minuman serta kemaluannya daripada keberahian.

Keterangan:

Ketahuilah bahawa ibadah puasa itu adalah jalan atau alat menuju taqwa secara intensif tetapi mudah (ولا يريد بكم العسر).

Jikalah menahan lidah dan anggota tubuh daripada melakukan kesalahan dan dosa itu dijadikan salah satu 'rukun' puasa sebagaimana menahan perut daripada makan dan minum, sudah pasti tiada siapa pun yang mampu berpuasa kecuali sedikit sekali.

Justeru demi kemudahan buat hamba-Nya, menjaga lidah dan anggota tubuh daripada melakukan dosa adalah menjadi syarat (bukan rukun) kesempurnaan puasa. Ia agar perlumbaan mengejar ketinggian darjat taqwa itu berterusan dan tidak terhenti pada menahan diri daripada makan dan minum sahaja (darjat paling rendah).

Beriktibarlah bahawa lebih mudah mengawal keburukan luar (makan dan minum) masuk ke dalam diri lalu merosakkannya daripada menahan keburukan dalam diri (bohong, syahwat, kotor) keluar lalu merosakkan orang lain. Justeru janganlah diri anda menjadi sarang segala kerosakan.

Bersihkan diri dan bertaqwalah. Ia sebaik-baik bekalan di dalam diri dan perjalanan menuju Allah.

Share on Myspace