Memburu ganjaran: 2 ibadah tiada tandingan

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Tazkirah Ramadhan (6)

Jika anda bertekad untuk berlumba memburu kelebihan dan ganjaran besar di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, maka ketahuilah bahawa sanya ada dua ibadah yang tiada tandingan baginya oleh segala ibadah yang lain. Ia adalah ibadah solat 5 waktu dan ibadah puasa.

Itulah dua kefardhuan dan persembahan yang paling disukai oleh Allah daripada setiap hamba-Nya.

Setiap hari sepanjang tahun, kewajiban kita adalah menunaikan solat 5 waktu. Tatkala bulan Ramadhan menjelma, Allah mahukan kebaikan berganda buat para hamba-Nya yang soleh dengan memfardhukan ibadah puasa yang penuh hikmat sepanjang hari beriringan dengan solat 5 waktu.

Justeru ketahuilah bahawa peluh yang gugur dek merentas kepanasan mentari atau kesejukan yang mencengkam diri di kedinginan subuh menuju solat berjamaah di masjid adalah lebih besar timbangannya di sisi Allah daripada air mata yang gugur pada malam hari saat menunaikan solat qiam al-lail.

Begitu juga seharian puasa Ramadhan di musim sejuk yang tidak meletihkan dan melaparkan adalah lebih besar pahalanya berbanding berpuasa sunat dalam tempoh yang panjang dan kedahagaan yang melampau.

Beriktibarlah bahawa bulan Ramadhanlah sebaik-baik masa untuk mengislahkan kembali solat kita agar bertambah khusyuk dan nafsu kita agar menjadi suci lalu membenci kejahatan dan kefasiqan.

Kemudian, kewajiban menunaikan zakat fitrah pada bulan Ramadhan (sebaik-sebaiknya pada malam atau pagi sebelum solat hari raya) adalah mengiringi kebesaran ganjaran ibadah solat 5 waktu dan puasa. Maka tunaikanlah zakat fitrah dengan penuh keikhlasan kepada-Nya.

Oleh kerana antara hikmat terbesar berpuasa pada bulan Ramadhan adalah agar diinsafi kehidupan orang-orang miskin, maka memberi makan dan menginfaqkan harta kepada mereka adalah menjadi sebaik-baik ibadah sunat di bulan Ramadhan.

Maka tiadalah sebarang kebaikan kepada orang yang bakhil pada bulan Ramadhan. Bagaimana boleh si bakhil menuntut Allah bersifat pemurah dengan kurniaan pahala berganda-ganda kepadanya? - HARAKAHDAILY 9/6/2016

Share on Myspace