Wujudnya PAS hanya untuk Islam

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

 

SUATU masa bila diperdebatkan apa perlunya Parti Islam Se-Malaysia PAS wujud bagi menentang parti United Malay National Organisation (Umno), jawapannya adalah pendekatan dan cara pemikiran yang berbeza. Jawapan akademik ini timbul apabila kedua-duanya mendakwa masing-masing memperjuangkan Islam bagi didaulatkan di Malaysia.

Kini bila timbul pula Parti Amanah Negara Amanah (PAN) menentang PAS, jawapan hampir sama juga diberikan. Oleh sebab PAN juga ditubuhkan atas dakwaan mendaulatkan Islam, bezanya dengan PAS adalah cara dan pendekatan perlaksanaan.

Apakah benar ketiga-tiga parti ini wujud dalam suasana berbeza pendapat dan pendekatan semata-mata? Pelbagai persoalan yang berbangkit dari apa yang dinyatakan di atas akan menemui pelbagai versi jawapan dan pernyataan.

Bagaimana persoalan itu dan di mana ia dibangkitkan, jawapan yang berbeza akan diperoleh. Namun bagi saya, apabila kita ingin mendaulatkan Islam dalam negara ini, mahu tidak mahu perlu kita meneliti kembali kepada sistem kenegaraan dan perundangan semasa.

Sejarah silam telah menunjukkan akar umbi perundangan tanah leluhur ini adalah Islam. Sebaik kemasukan pendakwah-pendakwah dari pelbagai ceruk rantau ke tanah ini, Islam telah mula berkembang sebagai agama bumi ini menggantikan pelbagai kepercayaan yang ada pada waktu itu.

Dari situ Islam terus menguasai setiap cabang kehidupan Masyarakat dan pemerintah hinggalah Islam itu menjadi panduan hidup dan juga sumber rujukan pemerintah. Timbulnya batu bersurat Terengganu, catatan-catatan sejarah lama Malaka dan pelbagai sumber menjelaskan Islam telah bertapak di bumi ini sebagai sumber perundangan dan tata tadbir pemerintahan.

Hinggalah penjajahan berlaku, Islam yang menjadi akar umbi atau disebut “Grundnorm” dalam istilah juris pruden moden telah dicabut satu persatu hinggalah ia menjadi seperti hari ini. Islam tidak lagi berkuasa seperti catatan sejarah lalu. Islam tidak lagi menjadi sumber rujukan utama pemerintahan seperti pemerintahan kesultanan lama Tanah Melayu.

Apakah salah apabila umat Islam bernostalgia untuk kembalikan keagongan Islam di bumi ini sebagaimana catatan sejarah lalu? Ia bukan sekadar mampu bernostalgia, bahkan ia sebenarnya menjadi kewajipan setiap umat Islam untuk kembalikan keagongan Islam dengan apa cara jua sekalipun.

Apabila negara ini menganuti ideologi demokrasi berparlimen demi sebuah kemerdekaan daripada penjajahan barat, perjuangan mendaulatkan Islam dalam sistem kenegaraan dan perundangan wajib diteruskan oleh umat Islam seluruhnya. Demokrasi berparlimen telah melahirkan ahli-ahli politik sebagai mereka yang diperakui membentuk dan mewarnai sistem kenegaraan dan perundangan Malaysia.

Di celah-celah suburnya demokrasi berparlimen inilah PAS dibentuk hanya dengan satu tujuan iaitu mendaulatkan Islam dalam sistem kenegaraan dan perundangan negara. Tentunya perjuangan PAS ini akan melalui pelbagai ranjau dan liku. Dan PAS telahpun diuji dengan pelbagai tribulasi dan rialiti semasa.

Mendepani cabaran demokrasi berparlimen inilah PAS perlu akur kepada corak dan perlaksanaan semasa. Hasrat mendaulatkan Islam tidak mungkin berlaku dalam masa yang singkat. Ia telahpun melalui tempoh lebih setengah abad. Berapa lama lagi perjuangan ini perlu ditempuhi, kita serahkan jawapan itu kepada sang yang Agong, Allah SWT.

Dalam pelbagai kesempatan, tegas saya nyatakan betapa mendaulatkan Islam sebagai akar umbi atau grundnorm di Malaysia meruntun suatu iltizam yang amat tinggi di kalangan ahli-ahli politik Islam. Keiltizaman ini melangkaui kepentingan politik kepartian atau pakatan siasah.

Atas prinsip dan keyakinan itulah PAS menempatkan dirinya dalam sistem demokrasi berparlimen hari ini. Menempuhi cabaran kontemporari PAS pernah bersendirian dan PAS juga pernah punyai rakan dalam suatu pakatan.

Apa yang dilalui PAS pada hari ini bukanlah baru. Bersendirian tanpa rakan pakatan hanyalah atas satu asbab iaitu kewujudan PAS untuk mendaulatkan Islam sebagai akar umbi sistem kenegaraan dan perundangan negara tidak dapat diterima oleh parti-parti rakan.

Begitulah bila PAS terus bersikap menentang Umno walaupun Umno itu punyai kuasa. Alasannya hanya satu iaitu Umno tidak punyai kesungguhan dan komitmen yang sewajarnya sebagai pemerintah dalam mendaulatkan dan mengangkat Islam sebagai sistem pemerintahan negara seluruhnya.

Jika ada mana-mana pihak yang juga impikan Islam berdaulat di bumi ini, apakah rasionalnya pertentangan itu wujud walhal PAS telah lama di persada dengan tujuan yang sama? Dengan perkataan lain, rakyat tiada pilihan lain selain memberikan sokongan padu dan kepercayaan penuh untuk PAS menguasai seberapa banyak kerusi dalam dewan perundangan negara.

Apa jua alasan atas nama demokrasi untuk mewujudkan perseteruan dengan PAS hanyalah akan merencatkan usaha meninggikan Islam sebagai sumber hukum dalam pemerintahan di Malaysia. Buat saudara-saudara di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, jadikanlah ruang Pilihan Raya Kecil (PRK) ini sebagai medan untuk kita tegas dengan cita-cita mendaulatkan Islam melalui sistem demokrasi yang sedang kita amalkan. – HARAKAHDAILY 13/6/2016

Share on Myspace