Apa pilihan orang Islam dan orang Melayu

AHMAD AMZAD HASHIM | .

APA pilihan orang Islam dan orang Melayu jika satu hari Umno betul-betul sudah karam?

Pada hari ini cuma yang jahat menjadi pemimpin. Yang rasuah, zalim, salahguna kuasa, boros, pilih kasih. Benar, masih ada seorang dua yang baik. Tapi mereka pun dah tidak dapat buat apa apa. Kena ikut dan patuh saja.

Hari ini kita bertuah adanya PAS yang telah mula menunjukkan kesediaannya untuk berjiwa besar dengan politik matang dan sejahtera.

Golongan yang mengajarkan aliran politik membenci dan memutuskan silaturrahim sesama Islam dan tunduk pada DAP telahpun disingkir keluar oleh majoriti besar ahli PAS yg mendapat didikan/tarbiyah PAS yang meletakkan prinsip dan dasar Islam mengatasi kepentingan dan cita-cita peribadi. Memahami cita-cita penyatuan ummah berlandaskan syariah adalah tuntutan Islam.

PAS adalah parti politik Islam dengan majoriti Melayu yang hampir setara kekuatannya dengan Umno dengan kelebihan PAS dianggotai pelbagai golongan termasuk para profesional yang terdidik dengan akhlak Islam.

Kekuatan Umno adalah kerana berkuasa menggunakan wang kerajaan, harta kerajaan, kakitangan kerajaan. Itu lebihnya Umno.

DAP melalui PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar mahu orang Melayu menerima PAN sebagai parti untuk orang Melayu Islam menggantikan PAS.

Tujuannya pertama supaya jika orang Melayu bersama PAN, maka idealisma PAN yang prosekular, liberal, tafsiran gaya orientalisme lebih mudah diresapkan pengaruhnya dalam kalangan orang Melayu kerana PAN tidak bersuara tentang perjuangan Islam melainkan DAP bersetuju melalui konsep tiada parti boleh menyatakan sesuatu melainkan dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan.

Sikap PAN ini akan memberi ruang yang bebas untuk doktrin Malaysian Malaysia yang menjadi cita cita DAP yang menentang keistimewaan diberi kepada agama Islam dan juga orang Melayu.

Kedua, jika melalui dua PRK ini, PAN lebih berjaya dari PAS, mereka berharap agar PAS dapat dihapuskan dan orang Melayu yang sudah hilang kepercayaan kepada Umno tiada pilihan melainkan mesti memilih PAN.

Ketiga, jika melalui dua PRK ini, PAN lebih berjaya dari PAS, mereka menjangkakan PAS akan tunduk kepada mereka dengan menyertai Pakatan Harapan. Ini memudahkan mereka menunggang jentera PAS yang besar di seluruh negara untuk manfaat mereka sedangkan PAS akan kembali menjadi mangsa tunggangan seperti ketika era Pakatan Rakyat dimana suara satu parti PAS akan sentiasa ditolak oleh pakatan tiga parti DAP, PAN dan PKR.

Orang Islam 63 peratus rakyat negara ini sebenarnya telah ada dua parti yang sama kuat yang bersaing untuk dipilih orang Islam iaitu PAS dan Umno.

Jika PAS lemah, orang Islam akan mengalami kerugian yang sangat besar dan memakan berpuluh tahun untuk kembali mempunyai dua parti yang saling cuba meyakinkan mereka lebih juara dalam perjuangan Islam dan Melayu.

PAN seperti juga PKR dan DAP membawa agenda kesamarataan yang umum sahaja. Mereka berat mulut dan malu alah kepada DAP apabila mahu bercakap soal Islam dan orang Melayu.

Oleh itu marilah sama-sama kita menyeru semua umat Islam fahami senario ini.

Yang atas pagar, ahli dan penyokong Umno yang mahu negara yang lebih baik, termasuk yang mahu beri tekanan kepada pentadbiran Najib supaya memperbaiki diri, pilihan yang betul adalah dengan mengundi PAS.

Umno tidak tercabar dengan PAN. Kerana yang banyak undi PAN nanti adalah bukan Islam yang dihasut DAP.

Umno cuma gelisah dengan cabaran PAS. Kerana yang banyak undi PAS adalah orang Islam. Dan Umno bertembung dengan PAS di kawasan majoriti Melayu di seluruh negara yang besar bilangannya. Bukannnya DAP.

Orang tanya saya apa pasal orang PAS suka sangat bertakbir?

Sebab terjemahan Allahu Akbar bermaksud Allah Maha Besar.

Ia bermaksud selain dari Allah, perkara lain adalah kecil sahaja.

Dunia kecil, Malaysia kecil, BN kecil, Umno kecil, DAP lagi kecil. Putrajaya kecil.

Disebabkan kalimah ini pejuang Islam menjadi besar jiwanya. Sentiasa merasa menang. Dan tidak tunduk dalam soal dasar dan prinsip perjuangannya. – HARAKAHDAILY 14/6/2016

Share on Myspace