Dengan al-Quran kita berpuasa, dengan al-Quran kita mengundi

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

KHUSUS buat pengundi beragama Islam, hari ini Allah pilih kalian untuk menjalankan satu lagi kewajipan. Kalian akan bergerak ke pusat pengundian. Kalian akan dibiarkan seorang diri, melakukan keputusan untuk masa depan agama dan negara. Tiada sesiapa yang melihat, tiada sesiapa yang tahu melainkan Allah dan malaikat-Nya.

Sedarlah ia bukan sekadar menconteng kertas semata-mata, bukan jua sesuatu yang bersifat duniawi sahaja, tetapi ia berkait dengan perintah tuhan kepada hamba-Nya yang beriman. Ia kewajipan yang akan disoal hari akhirat kelak.

Saya pasti kalian sedang berpuasa ketika ini. Kerana kalian tahu puasa itu wajib. Tapi bagaimana kalian tahu ianya wajib? Kerana ulama yang menyatakan sedemikian setelah mereka meneliti nas al-Quran dan Hadis. Ayat menyatakan wajib berpuasa adalah:

"يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."
[Al-Baqarah:183]

Kalau ia bukan dari al-Quran atau Hadis, maka tidaklah wajib kalian berpuasa. Kerana Islam ini paksinya dua ini sahaja. Tiada siapa boleh katakan ini wajib itu haram, tanpa bersandar kepada kedua paksi ini.

Walaubagaimanapun, al-Quran tidak hanya menyatakan kewajipan berpuasa, sebaliknya banyak lagi kewajipan yang lain yang perlu ditunaikan. Berkenaan pengundian, Allah turut nyatakan dalam al-Quran yang sama:

"إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada yang selayakanya."
[Al-Nisa:58]

Dalam ayat ini tuhan perintah supaya diberikan amanah kepada mereka yang selayaknya. Amanah yang dimaksudkan bukan amanah dari manusia, tetapi amanah dari Allah. Amanah Allah kepada pemimpin telah dinyatakan sendiri oleh-Nya, juga dari al-Quran yang sama:

"الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka;
1.mendirikan sembahyang,
2. memberi zakat, dan
3. mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar."
[Al-Hajj:41]

Pemimpin yang layak dimaksudkan oleh ayat adalah mereka yang melakukan tiga perkara;
1. solat,
2. zakat dan
3. amar maaruf mahi mungkar.

Hakikatnya, kewajipan tidak terhad kepada tiga itu sahaja, tetapi ia adalah simbolik kepada tiga peranan utama pemimpin iaitu mengambil berat soal:
1. ibadat,
2. ekonomi dan
3. segala ajaran yang terkandung dalam agama Islam.

Justeru hari ini, pilihlah pemimpin yang menjalankan amanah Allah ini. Jangan sekadar pilih mereka yang mampu berikan kesenangan kepada kita, tetapi pilih mereka yang mampu selamatkan kita dari murka Allah. Kerana kesenangan jua datang dari Allah.

Kalau pilih pemimpin kaya raya sekalipun, hebat manapun idea ekonominya, baik manapun perilakunya, tetapi jika tidak mencukupi tiga ciri di atas maka tetap tak akan mengundang redha Allah. Jika Allah tidak meredhai, masakan dia akan berikan kesenangan.

Sejarah sudah lama membuktikan, jika selama ini kita pernah mengundi mereka yang kita yakini dapat beri kita kesenangan, apakah benar kita hidup senang sekarang? Apakah kita tidak menghadapi tekanan hidup sekarang? Apakah kita tidak berhadapan krisis kewangan sekarang? Apakah negara sudah maju sekarang?

Apa yang nyata, paras kemiskinan semakin tinggi. Gaji sebesar 1500 pun dikategori miskin tegar. Negara semakin ketinggalan ke belakang. Nyata kesenangan bukan dari manusia yang kita pilih, tapi ia mutlak dari kehendak Allah.

Pilihlah mereka yang dapat mencari perkenan Allah sehingga Dia sudi memberi rahmatNya kepada negara kita. Pilihlah mereka yang mencari berkat dari Allah, bukan yang berlagak seperti tuhan memiliki segala kesenangan. Pilihlah mereka yang benar-benar jelas memperjuangkan agama Allah, yang mahu meninggikan syariah Allah kerana mereka adalah kekasih tuhan. Firman-Nya lagi:

"يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela."
[Al-Maidah:54]

Jika Allah kasihkan mereka, nescaya Dia pasti akan kurniakan rahmat dan keberkatan kepada kita seandai kekasih-Nya itu kita pilih sebagai pemimpin. Berimanlah dengan firman Allah:

"وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْض

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, turun dari langit dan keluar dari bumi."
[Al-Aaraf:96]

Inilah intisari al-Quran yang perlu kita hayati di samping kewajipan puasa yang juga dari sumber sama. Semoga Ramadhan ini memberikan kita ketaqwaan yang tinggi untuk mengikut segala perintah-Nya, dan meninggalkan segala suruhanNya dari kitab ini. Semoga Ramadhan ini memberi kita lebih keyakinan kepada Allah melebihi kepercayaan kita kepada manusia.

Dengan al-Quran kita berpuasa, dengan al-Quran jualah kita mengundi insya-Allah. – HARAKAHDAILY 18/6/2016

Share on Myspace