Catatan di tepian kubur

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Sedari kecil saya diajar bahawa sebuah gerakan Islam mestilah bebas dan tidak boleh terikat dengan mana-mana kumpulan. Ia bebas daripada semua selepas ia mengikat dirinya dengan Allah dan ugama-Nya.

Haram atas gerakan Islam terikat dengan pihak kerajaan yang sekular yang enggan mengikat diri mereka dengan ugama atau hanya bermuka-muka dengan ugama demi menarik sokongan.

Haram juga ke atas gerakan Islam untuk bersama pihak pembangkang yang menentang kerajaan sehingga lebur segala prinsip perjuangan Islam demi menjatuhkan kerajaan sekular yang zalim.

Gerakan Islam mestilah berbeza pada tahap yang tinggi di dalam berpegang kepada prinsip dan akidah perjuangan. Ada pun pada pendekatannya, ia mestilah seluas pendekatan yang diamalkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Antara ketegasan dan keanjalan itu, ia sejelas mentari di dalam sirah nabawiyah di sisi para ulamak.

PAS menikmati ketepatan menelusuri jalan ini. Kesilapan bahkan kesalahan disedari dan pasti dibaiki seberaninya.

Jika anda melihat sejarah 65 tahun PAS, ia pernah lemah dan hampir karam. Tetapi anda akan terkejut melihat kebangkitannya dalam tempoh yang sekejap sahaja. Jika anda terus melihatnya untuk tempoh lebih lama, anda akan tahu bahawa kebangkitan itu adalah kerana kekuatan pegangannya pada prinsip dan akidah perjuangan.

PAS hilang sokongan kerana berpegang pada prinsip dan PAS kembali gagah memperoleh sokongan di atas sebab yang sama iaitu berpegang pada prinsip.

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah laporan awal kekuatan PAS selepas berjaya melepasi krisis dalaman yang menyaksikan terkeluarnya anasir yang lemah dan buruk yang berusaha mengubah hala tuju perjuangan PAS.

Setelah PAS mengukuh kembali dalam tempoh setahun dengan barisan kepimpinan baru yang begitu bersatu menerajui parti, PRK kali ini adalah peluang terbaik untuk PAS melihat tahap sokongan dan kekuatannya di bawah. Ia adalah sokongan yang benar dan paling tepat terhadap PAS setelah ia bersendiri bersama IKATAN di dalam blok ketiganya yang baru.

Ketika PAS bersama DAP, PAS dituduh Umno sebagai tunggangan DAP. Ketika PAS berpecah dengan DAP, PAS dituduh DAP sebagai tunggangan Umno. Sebagaimana PAS berjaya keluar daripada tuduhan pertama, PAS pastinya akan berjaya keluar daripada tuduhan kedua dengan selamat dan sejahtera.

Malah tuduhan itu akan lebih mudah dihilangkan kerana PAS tidak pun mengikat sebarang perjanjian dengan Umno sebagaimana ikatannya dengan DAP semasa di dalam PR dahulu. PAS tunggangan Umno hanyalah persepsi murahan golongan lemah yang terpelanting akibat disantau mabuk 'Road To Putrajaya'.

Bagaimana PAS berjaya dan akan terus berjaya? Jawabannya sama. PAS berjaya meletakkan dirinya sebagai sebuah gerakan Islam yang berprinsip dan bebas daripada sebarang ikatan manusiawi dan duniawi.

Dalam bahasa mudah, sebelum PAS bertahaluf dengan mana-mana parti politik, ia telah pun 'bertahaluf' dengan Islam. PAS di sisi Islam adalah ibarat si pengemis yang bergantung harap sepenuhnya kepada kekuatannya. Anda usah berangan menjangkakan PAS akan mencintai rakan tahalufnya atau sesiapa pun melebihi cintanya kepada Islam.

PRK kali ini menyaksikan PAS menguasai sekitar 25% sokongan rakyat secara benar. PAS kehilangan sekitar 25% undi PKR, DAP dan serpihan PAN yang turut diperolehinya sebelum ini.

Umno yang menikmati kekuatannya di kubunya di Dun Sungai Panjang dan sepenuhnya di Kuala Kangsar memperolehi sekitar 50% sokongan rakyat. Ia bercampuran dengan undi daripada rakyat yang lemah dan miskin yang kalah dengan godaan wang dan kebendaan. Umno boleh melakukannya dengan lebih mudah dalam PRK.

Taring Tun Mahathir secara rasminya tercabut. Saya sarankan Tun Mahathir banyakkan berada di tikar sejadah dan di hadapan kaabah. Zaman kekuatannya ketika bertempur dengan almarhum ayahanda TGNA telah berakhir. Jika Tun kembali kepada Allah dengan taubat yang benar, itulah sebaik-baik kehidupan di hujung hayat. Saya mendoakan.

Adakah 25% sokongan bersih di kubu Umno untuk PAS itu kecil? Tidak. Itulah kekuatan tegar sokongan terhadap perjuangan Islam yang syumul di Malaysia. Itulah tuaian perjuangan yang disemai oleh para ulamak dan pejuang Islam sepanjang 65 tahun perjuangan PAS. Ia adalah sokongan yang terus meningkat dan melebar ke seluruh negara.

Dengan pendekatan yang lebih sejahtera yang menyeru kepada keberanian untuk berubah dan maju dengan Islam, PAS meyakini akan mendapat sokongan lebih baik di dalam melaksanakan tanggung jawab ugamanya.

Saya dan seluruh pemuda PAS bertekad melebarkan kesatuan dan muafakat umat ke arah cara hidup Islam yang benar. Kebatilan pastikan lebur. Itulah janji pemuda Islam untuk ayah dan ibu yang telah pergi meninggalkan kita dengan warisan perjuangan yang mulia.

Semoga Allah mengampuni dan mengasihi mereka semua.

Catatan di tepian kubur ayahanda TGNA.

Share on Myspace