PAS: Kita ada Allah

HARAKAHDAILY | .

Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 104:

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

"Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

PAS menelusuri perjalanan politik dan dakwah penuh kesabaran. Jatuh bangun, kalah menang, dibuang, diboikot, diketepikan dan dikhianati dan ditikam oleh lawan dan kawan dari belakang, dituduh dengan pelbagai ungkapan negatif seperti pengganas, ortodoks, konservatif, ketinggalan, parti lebai dan bermacam lagi adalah merupakan rencah yang pernah dilalui PAS.

Sepanjang 60 tahun lebih, PAS berada di lapangan perjuangan politik dan pilihan raya tidak pernah mengecewakan. PAS dan seluruh kepimpinan dan jenteranya menjadikan setiap saat, setiap peluh dan wang ringgit hatta jiwa raga yang diletakkan atas perjuangan suci ini adalah dianggap kemuncak ibadah diperhambakan kepada Allah azza wa jalla.

PAS pernah melalui zaman lebih getir dalam perjuangan ini dan tidak segetir yang dialami sekarang. Para pimpinan dan jentera PAS pada satu ketika dahulu, serba dhaif dan kekurangan telah berhadapan dengan Umno BN yang lebih jauh terkedepan dari pelbagai sudut wang ringgit, jentera, kemudahan dan segala-galanya ditambahlagi berpilihan raya di padang yang tidak sama. Mereka telah membuktikan ketabahan dan kesabaran berada di medan politik sekalipun mengalami kekalahan demi kekalahan malah selepas daripada kalah, ada sebahagian mereka terpaksa pula berdepan tindakan daripada pihak kerajaan, seperti dipindah tempat kerja, ada yang dinafikan hak mendapat bantuan, anak mereka dinafikan biasiswa dan pinjaman dan juga diejek dan dihina oleh masyarakat.

PAS satu ketika dahulu pernah hanya didukung dan disokong oleh golongan kampung, petani, pesawah, nelayan dan para ustaz dan ilmuwan agama dari luar bandar. Mereka berjuang dengan gigih tanpa rasa rendah diri. Mereka sentiasa optimis dengan janji Allah s.w.t. bahawa setiap usaha mereka adalah ibadah dan pasti tidak disia-siakan. Mereka inilah sebenarnya backbone kepada PAS sejak sekian lama. Benarlah apa yang sudah disebut oleh Al Quran, firmanNya dalam surah Hud ayat 27:

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَوْمِهِ مَا نَرَاكَ إِلَّا بَشَرًا مِثْلَنَا وَمَا نَرَاكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ الرَّأْيِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمْ عَلَيْنَا مِنْ فَضْلٍ بَلْ نَظُنُّكُمْ كَاذِبِينَ

"Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: "Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta."

Namun, perjuangan ini sememangnya dijanjikan oleh Allah s.w.t. bukan sesuatu yang menyenangkan dan mudah. Perjuangan Islam asasnya adalah perjuangan melawan nafsu syahwat yang selalu mendorong manusia untuk tidak bersama perjuangan Islam. Ini adalah kerana perjuangan Islam lambat mendapat kemenangan, tidak beroleh laluan mudah, jauh perjalanan dan memakan masa yang panjang.

Semua ciri-ciri ini merupakan faktor yang berlawanan dengan naluri syahwat manusia. Bahkan seruan perjuangan Islam yang janji yang ditawarkan kepada manusia adalah sesuatu yang amat susah diterima masyarakat dunia pada hari ini yang dihambat dengan sifat materialisme dan kejahilan yang terlalu mendalam. Sifat materialisme dan kejahilan yang menebal dalam masyarakat Islam kesan daripada penjajahan barat dan juga serangan pemikiran yang ampuh oleh musuh Islam bertahun-tahun lamanya sudah tentu sesuatu yang bukan mudah untuk dihakiskan.

Kejahilan kefahaman Islam yang sebenar terkesan daripada benih sekularisme dan terbaru liberalisme adalah satu cabaran kepada perjuangan Islam yang menuntut kepada PAS untuk tidak hanya berpolitiking sahaja malah berdakwah bagi mengembalikan masyarakat muslim dan manusia ke jalan yang lurus.

PAS hendaklah menjadikan medan politik berpilihan raya dalam lapangan demokrasi ini benar-benar medan dakwah. PAS tidak perlu merasakan bahawa PAS kalah dan tewas. Kerana tanggungjawab sebenar adalah dakwah iaitu menyampaikan risalah Islam dan keindahannya. Selama PAS mampu dan berdaya untuk berdakwah atau mengajar dan menyampaikan mesej ini, itulah kemenangan hakiki.

PAS tidak perlu berasa bersendirian, kerana Allah yang senantiasa bersama. Sekalipun seluruh masyarakat dalam negara ini masih dan akan menolak PAS, Allah s.w.t. tetap ada disamping PAS. PAS tetap dipelihara Allah sekalipun kejahatan daripada tangan yang cuba menikam PAS dan meruntuhkannya selama PAS menjadikan matlamatnya selari dengan kehendak Allah.

Para petugas dan jentera PAS, ingatlah bahawa janji Allah adalah sesuatu yang pasti. Jangan kita lupa bahawa harapan Islam akan memancarkan sinarnya satu hati nanti. Walaupun ia tidak berlaku pada zaman kita, InsyaAllah ia tetap berlaku pada zaman cucu cicit kita. Jadilah golongan yang disebut oleh Nabi s.a.w. dalam satu hadis diriwayatkan oleh Suhaib r.a.

عجبًا لأمر المؤمن إنَّ أمره كله خير، وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن، إن أصابته سرَّاء شكر فكان خيرًا له، وإن أصابته ضرَّاء صبر فكان خيرًا له

Maksudnya: "..menakjubkan hal keadaan orang beriman itu. Sesungguhnya setiap perkara berlaku ke atas dirinya adalah baik. Dan tiadalah sedemikian rupa hanyasanya kepada orang beriman. Iaitu sekiranya dia diberikan kesenangan, dia bersyukur ( dengan mentaati Allah ) dan itulah kebaikan buatnya. Sekiranya dia ditimpakan kesusahan, dia bersabar (redho dan tabah) dan itulah kebaikan buatnya...".

Renungilah firman Allah s.w.t. yang pernah dinyatakan olehNya kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang juga telah melalui kepayahan dan kesukaran dalam perjuangan.

Surah al Nahl ayat 127:

وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ ۚ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ

Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.

Ayuh, wahai Ansorullah, teruskanlah perjuanganmu, perjalanan ini terlalu jauh. Persiapkan diri dengan sifat iman dan tawakkal yang tinggi. Tiada masa untuk kita kecewa, tidak ada ruang bagi mereka yang berputus asa. Kuatkan kebergantungan kita kepada Allah s.w.t. kerana kalah dan menang pastinya dalam pengetahuanNya jua.

Nukilan:
Alfaqir Ila Robbihi
Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor - HARAKAHDAILY 21/6/2016

Share on Myspace