Tahajud bina kekuatan roh perjuangan

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK

Walaupun belum diwajibkan solat lima waktu, awal-awal kenabian baginda SAW telah diperintah melakukan solat. Ini kerana solat adalah perkara yang sangat penting bagi orang beriman dalam membina pertahanan akidah diri. Para sahabat solat dalam keadaan sembunyi.

Menurut Imam al-Muzani salah seorang ulama Syafie, solat yang diwajibkan sebelun Israk dan Mikraj adalah dua kali sehari, iaitu pagi dan petang. Ia berdalilkan kepada firman Allah SWT:

فَاصْبِرْ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ بِالْعَشِيِّ وَالْإِبْكَارِ

Maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam); sesungguhnya janji Allah (untuk menjayakanmu) adalah benar. Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang. [Al-Mu'min:55]

Selain itu Rasulullah SAW juga disuruh memperbanyakkan solat sunat sebagaimana firman awal yang turun:

"يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ

Wahai orang yang berselimut!.

قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا

Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),

نِصْفَهُ أَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا

Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".

إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا

(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا

Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.

إِنَّ لَكَ فِي النَّهَارِ سَبْحًا طَوِيلًا

(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا

Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.

رَبُّ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ فَاتَّخِذْهُ وَكِيلًا

Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu." [Al-Muzzammil:1-9]

Dengan solat itulah hubungan mereka dengan tuhan mempunyai kekuatan roh yang memungkinkan mereka menghadapi cabaran dan tekanan hebat terhadap iman mereka.

Solat malam memberikan kekuatan roh yang sangat hebat, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berjuang di jalan Allah. Mereka yang solat hanya antara mereka dan Allah sahaja, tiada orang lain. Menurut Imam Syatibi, dengan memikirkan kebesaran Allah nescaya dia akan merasakan seluruh alam yang ada ini kecil sahaja. Apabila memikirkan tentang syurga pula, maka segala umpanan-umpanan dunia yang ditawarkan tidak akan berjaya mempesonakannya. Dan apabila memikirkan azab neraka, maka segala kesusahan dalam perjuangan ini kecil sahaja. Ini semua menyebabkan orang-orang beriman menjadi kuat dalam perjuangan mereka menegakkan Islam.

Masjid Rusila
19 Ramadhan 1437 / 24 Jun 2016

Share on Myspace