Hatrik anak Pasti pada bulan Syawal

AHMAD FADHLI SHAARI | .

SYAWAL ialah bulan kemenangan, ia bulan kegembiraan kerana padanya disambut Hari Raya Idulftiri selepas  melalui tarbiyah Ramadhan selama sebulan.

Padanya berlaku peristiwa peperangan Ahzab yang menyaksikan kemenangan gilang-gemilang tentera Islam yang berkubu di Kota Madinah mempertahankan Kota Nabawi tersebut daripada serangan tentera Musyrikin dari Makkah yang dibantu oleh kabilah-kabilah sekitarnya.

Pertolongan Allah SWT hadir dalam peperangan ini yang menyaksikan turunnya ribut taufan menerbangkan khemah Musyrikin dan mengusir mereka kembali dengan kecewa ke Mekah.

Lantas, diabadikan sejarah kekalahan mereka di dalam takbir Idulfitri yang dilaungkan setiap kali menjelang hari raya, “Allah yang mengalahkan tentera Ahzab dengan kuasa-Nya secara bersendirian..”

Syawwal 1437H ini menyaksikan kegembiraan bertali arus kepada penggerak-penggerak pra sekolah Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (Pasti) di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiga kejayaan gemilang dicatat oleh bekas anak-anak didik Pasti membuktikan bahawa benih yang menerima tarbiyah di pusat pendidikan prasekolah ini bukan calang-calang benih. Ia sedang berkembang dengan pesat dan gigih bagi mewarnai negara ini satu hari nanti.

Pasti yang mula beroperasi secara rasmi pada tahun 1988 di bawah kendalian Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini hanya berumur 28 tahun, namun rekod yang dilakar olehnya sehingga saat ini cukup untuk memberikan satu petanda bahawa pusat inilah yang akan melahirkan anak-anak yang akan mengemudi arus kebangkitan ummah satu hari nanti.

Anugerah Outstanding International Btec Student Of The Year 2016

Hatrik anak Pasti pada bulan Syawal ini bermula dengan berita kejayaan anak didik Pasti Qaryah Pulau Serai Dungun, Terengganu iaitu Mu'az Abdul Karim. Pada 2 Syawal yang lepas, beliau telah menerima anugerah Outstanding International BTEC Student of the Year 2016 di Royal Horticultural Halls, London, United Kingdom.

Muaz adalah pelajar pertama dari Malaysia dan sekaligus Asia Tenggara yang telah berjaya merangkul anugerah berprestij tersebut antara 800 pencalonan dari seluruh dunia.

Anugerah ini hakikatnya cukup manis dan bermakna. Bukan calang-calang individu yang menggalas anugerah BTEC atau Business and Technology Education Council ini yang merupakan satu sistem akreditasi pendidikan antarabangsa yang berteraskan kepakaran teknikal.

Mereka yang mengikuti sistem ini akan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ataupun terus menyertai industri pilihan mereka selepas tamat pengajian. Penganugerahan yang yang telah diterima oleh Mu’az Abdul Karim adalah di atas kecemerlangan akademik dan kejayaan beliau dalam merangkul pelbagai anugerah inovasi di dalam dan luar negara.

Ciptaan beliau yang diberikan nama Smart Lawn Mower juga telah memenangi Pingat Emas  di Eureka Innovation Exhibition.

Anak didik Pasti  ini merupakan pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Petaling Jaya, sebelumnya beliau mengikuti pengajian di peringkat menengah di Sekolah Menengah Imtiyaz Terengganu dan juga merupakan seorang hafiz al-Quran.

Storm Rider Di Bumi Jerman

‘Jaringan kedua’ anak Pasti di bulan Syawal ini ialah kejayaan Ke’on atau nama sebenarnya Khairul Idham Pawi di bumi Jerman semalam. Beliau mewakili Honda menjuarai Moto3 Grand Prix Jerman di Sachsenring selepas menamatkan perlumbaan 27 pusingan dalam masa 47’07.763.

Beliau yang mendapat jolokan Super KIP turut mencatat masa terpantas pada pusingan kelima 1’42.544 dengan kelajuan purata 128.8 km/j. Semalam, beliau sebenarnya bermula dengan kedudukan ke-20, namun dengan keazaman dan tekad yang kuat, beliau mengejar pelumba di hadapan sehingga ke kedudukan ke-7 sebelum terus mengungguli kedudukan teratas semasa perlumbaan yang berlangsung dalam hujan dan litar yang begitu basah.

Seorang rakan FB saya menulis, “kejayaan Khairul Idham Pawi mengajar kita satu perkara iaitu tidak penting di mana anda bermula, yang penting ialah bagaimana anda mengakhirinya’!

Baru sahaja pada bulan April lepas, Keon muncul juara pada Grand Prix Argentina. Dan pada kedua-dua kejayaan ini, beliau lebih berjaya membuktikan prinsipnya apabila melarikan diri sewaktu acara pancutan minuman keras dilakukan di atas podium.

Bahkan kelmarin di Jerman, rakaman menyiarkan bagaimana ada pemenang yang mengejar Keon untuk menyemburkan minuman keras namun beliau tegas untuk melarikan diri.

Sebenarnya, teguh berpegang dengan prinsip di tengah-tengah masyarakat asing bukan satu perkara yang mudah. Saya bertanya Keon bulan lepas sewaktu beliau turun bersama jentera Pemuda PAS di pilihan raya kecil Kuala Kangsar berhubung kehidupannya di bumi asing, beliau telus menceritakan betapa sukarnya untuk menjaga solat dan puasa ketika sesi latihan untuk menyertai sebarang kejohanan.

Namun, dikuatkan hati dan mengingatkan diri sendiri bahawa beliau seorang muslim. Saya tanya tentang makan minumnya, katanya beliau membawa bekalan dari tanah air untuk dimasak sendiri di dalam bilik penginapan bagi mengelakkan diri terjebak dengan makan minum yang tidak halal.

Dan tidak lupa saya bertanya tentang ‘girlfriend’, Keon menjawab, “Ada awek ini menyusahkan saja Ustaz…,” saya tidak pasti untuk bersetuju atau tidak.

Dan untuk rekod, Keon ialah ialah bekas pelajar Pasti Nurul Iman di Kampung Gajah, Perak dan dianugerahkan sebagai Tokoh Anak Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia sempena Muktamar Kali Ke-57 2016 di Kota Bharu Jun lepas.

Qari Junior Penyejuk Mata

‘Jaringan ketiga’ melengkapkan hatrik bulan Syawal ini ialah kejayaan Ahmad Naufal Fauzi berusia 12 tahun malam semalam di Pentas akhir Qari Junior musim kelima. Ia disiarkan secara langsung jam 9 malam di TV3. Adik Naufal bersaing merebut gelaran juara bersama-sama lima lagi peserta iaitu Hana Batrisyia, Ahmad Naufal, Sofea Humairah, Wan Ahmad Nur Firas dan Danish Farhan.

Siaran langsung Qari Junior semalam menyaksikan bagaimana kehebatan adik-adik kecil menghafaz al-Quran, menyambung ayat-ayat al-Quran yang dibaca dan ditebuk dari hafazan 30 Juzuk bahkan berjaya menghuraikan dengan baik makna ayat yang dibaca.

Dan, titisan air mata mengiringi kedua ibu bapa adik Ahmad Naufzl Fauzi ini apabila beliau akhirnya diumumkan sebagai juara. Kejayaan ini membolehkan beliau membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai RM10,000 daripada TV3, pakej umrah (tajaan Almas Beauty & Health) dan baucar tunai RM900 (tajaan Ana Muslim Sdn Bhd).

Walaupun ia jauh lebih kecil berbanding nilai hadiah juara maharaja lawak iaitu RM500,000.00 dan juara Akademi Fantasia yang bernilai RM50,000 serta pakej percutian ke Dubai, namun ia adalah satu hadiah yang cukup bermakna khususnya bagi seorang ibu dan bapa yang menginginkan dada anak-anak mereka terisi dengan al-Quran.

Paling tidak, ia adalah kempen kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka mengikuti pengajian tahfiz selepas daripada ini.

Untuk rekod, adik Ahmad Naufal ialah bekas pelajar PASTI Muaz bin Jabal, Kota Bharu.

Inilah senarai tiga jaringan hatrik anak-anak Pasti di bulan Syawwal 1437H ini. Dengan penuh yakin, kita berani menyatakan kejayaan ini bukanlah kejayaan yang terakhir anak-anak Pasti. Dengan bilangan 115 ribu anak-anak Pasti di seluruh negara pada hari ini, kejayaan demi kejayaan yang gilang gemilang akan terus dilakar.

Kuncinya ialah, pendidikan rabbani berteraskan tauhid yang mantap dan kefahaman yang syumul. Dengan dinding yang kurang sempurna, gaji yang sekadar cukup untuk makan minum, situasi yang serba dhaif ini, Pasti berjaya melahirkan bintang yang cukup gemilang menerangi seantero negara.

Semoga Allah merahmati semua tokoh-tokoh yang pernah berjasa dalam pembinaan Pasti dari awal ia dibangunkan sehingga kini. Ada yang telah ‘pergi’ dan tidak kurang pula ramai yang masih istiqamah bersama panji-panji perjuangan.

Sejarah akan terus melakar kegemilangan Insya-Allah. – HARAKAHDAILY 18/7/2016

Penulis merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia yang juga Pengarah PASTI Negeri Kelantan.

Share on Myspace