Ujian hidup berjamaah

. | .

1. Dalam jamaah, kita akan bertemu dengan 1001 ragam manusia, yang datangnya daripada pelbagai latar belakang, taraf pendidikan, cara bertindak dan gaya berfikir. Mungkin ada yang jenis laju bertindak, ada pula yang jenis lebih suka diam memerhati, ada juga jenis yang lambat bergerak. Wujudnya kerencaman dan kepelbagaian pendekatan.

Kesemua itu berbeza,maka yang akan menyatukan kita semua ialah dasar, hala tuju, matlamat dan tujuan bersama dengan PAS.

2. Perbezaan itu adalah normal dalam berorganisasi, yang lebih utama ialah bagaimana hendak menguruskan perbezaan itu?

Kunci utamanya ialah adab dan akhlak berjamaah.

Kita boleh berbeza tetapi usah sampai menghina dan menggelar itu dan ini.

3. Apabila berbeza sedikit, terus sahaja digelar orang lain itu Munafiq, Liberal, Hipokrit, Fikrah Celaru, Ejen Musuh.

Usahlah semudah itu dalam menilai dan menghukum orang lain kerana mungkin pada saat itu, kita sendiri belum diuji dengan apa yang dikata.

Apatah lagi, kita yang masih berusia muda dan mentah dalam pengalaman hidup berjamaah.

Adakah kita merasa kita sahaja yang lebih tepat dalam bertindak dan paling tulen lagi suci murni fikrahnya?

Orang lain semuanya disangka menyimpang, tersasar daripada landasan perjuangan dan selayaknya dihalau keluar daripada jamaah?

4. Berpada dan bersederhanalah dalam setiap langkah, agar tidak tersadung di tengah jalan.

Bukankah Tuan Guru Presiden juga ada berpesan kepada kita semua agar tidak termasuk dalam golongan tasahul (تساهل) dan golongan tasyaddud (تشدد), iaitu tidak boleh terlalu bermudah-mudah dengan Islam dan tidak juga terlalu melampau dalam melaksana Islam.

Janganlah berburuk sangka dengan sahabat sejamaah sehingga hilang nilai ukhwah bagaikan kita pula menjadi pemegang cop untuk menuduh orang lain sebagai musuh dalam selimut dan munafik dalam perjuangan.

(Syed Ahmad Fadhli, Pusat Penyelidikan PAS)

Share on Myspace