Hiburan melampau dan maksiat senjata Dajal

USTAZ KHALID NAYAN | .

BISIKAN nafsu sentiasa mendorong kepada kejahatan. Ia sentiasa berkehendak kepada kebinasaan dan kehendaknya tidak pernah bernoktah.

Allah berfirman:

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي ۚ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Dan tidaklah aku berani membersihkan diriku, sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Susungguhnya Tuhanku Maha pengampun, lagi maha mengasihani.” (Surah yusuf : 53)

Dunia akhir zaman Allah telah menjanjikan akan datangnya ujian dan fitnah untuk orang mukmin dan seluruh manusia.

Ujian yang datang dalam bentuk yang sangat menguji nafsu manusia.

Realiti kini kita dapat lihat negara kita bakal menerima ujian dengan penganjuran konsert yang menampilkan penyanyi dari Amerika Syarikat (Selena Marie Gomez ).

Matlamat mereka memesongkan manusia melalui hiburan sehingga lalai daripada kehidupan sebenar akhirnya menatijahkan kerosakan bukan sahaja akhlak bahkan akidah umat Islam.

Melaungkan slogan hiburan sebagai solusi konflik kehidupan manusia lantas cara hidup berteraskan hiburan dijadikan pilihan sekaligus meranapkan wajah Islam sebenar.

Namun lebih parah, terdapat segelintir umat Islam telah lali dan mabuk, bahkan seronok dengan hiburan berbentuk maksiat in bahkan merasakan maksiat perkara biasa sehingga mereka ketagihan mereka diterjemahkan dengan menganjurkan secara terbuka dan berleluasa.

Tidak hairan sekiranya berlaku di tempat atau negara orang bukan Islam. Tetapi apa yang terjadi kini adalah di negara orang Islam dan penganjurnya orang Islam.

Berbangga dengan penganjuran seakan maksiat tidak mengundang murka Allah walaupun diberikan peringatan dan tentangan.

Keghairahan hidup berpayungkan maksiat tidak dirasa jelek tetapi sebagai penghormatan bagi minda cetek mereka.

Sangat menakutkan apabila keadaan sekeliling semuanya menjerumus kepada neraka jahanam.

Oleh itu, sebagai orang yang mengaku beriman, apa jaminan kita untuk iman selamat dengan persekitaran yang diselubungi sihir-sihir Dajal yang sangat merosakkan iman kita.

Dengan ini menjadi kewajipan sebagai umat Islam, mencegah segala kemungkaran yang berlaku. Islam tidak meletakkan tugas ini hanya terletak di tangan ulama, pemerintah, pendakwah, mufti atau ustaz sahaja.

Tetapi setiap individu muslim berkewajipan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Sebagaimana sabda Nabi SAW:

“Barangsiapa di antara kamu  melihat kemungkaran hendaklah ia mencegahkemungkaran itu dengan tangannya. jika tidak mampu, hendaklah mencegahnya dengan lisan, jika tidak mampu juga, hendaklah ia mencegahnya dengan hatinya.Itulah selemah-lemah iman.” (HR Muslim)

Selagi kita bernafas dengan mengimani Allah dan Rasul hendaklah kita mengikut perjuangan Nabi akhir zaman, perlu memastikan juga jangan kita lupa rujukan kita al-Quran dan hadis peninggalan baginda.

Firman Allah dalam surah Taha ayat 123:

قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا ۖ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ

“Turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama, sebahagian kamu menjadi musuh bagi bagi sebahagian yang lain.”

"Maka jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, lalu sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka.

"Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan kami akan  menghimpunkan pada hari kiamat dalam keadaan buta.”

Hanya janji Allah yang di dalamnya penuh dengan keselamatan, panduan dan acuan kehidupan yang terbaik kepada semua manusia di dunia ini.

Teruskan perjuangan menentang kebatilan demi kebatilan yang muncul dari segenap sudut dan teruskan menyatakan bantahan terhadap apa juga kemungkaran yang melanda yang boleh merosakkan umat Islam agar kelak kita tidak akan disoal Allah SWT atas apakah usaha kita dalam membantu meninggikan syariat Islam! – HARAKAHDAILY 23/7/2016

Penulis ialah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Klang

Share on Myspace