Budaya hedonisme senjata yang memusuhi Islam

HARAKAHDAILY | .

DEWAN Pemuda PAS mempertegaskan tentangan dan bantahan terhadap penganjuran konsert hiburan oleh artis barat khususnya artis wanita yang ternyata menjadi antara punca utama penyebaran budaya hedonisme dan keruntuhan moral di kalangan anak muda muslim di dalam negara ini.

Dewan Pemuda PAS juga mempertegaskan hak masyarakat bukan Islam untuk berhibur dengan cara dan jalan yang mereka pilih dan mahukan. Hiburan untuk umat Islam, walaupun ada persamaan, tetapi tetap ada perbezaan yang nyata daripada hiburan untuk masyarakat bukan Islam.

PAS tidak akan menghalang apa jua penganjuran atau apa-apa tindakan yang dibenarkan oleh Islam sama ada dilakukan oleh umat Islam atau bukan Islam.

Di dalam Islam, hiburan adalah harus. Apa saja hiburan yang menggembirakan manusia dan merehatkan mereka, Islam membenarkan. Hadnya adalah apabila ia melalaikan umat Islam daripada mengingati Allah.

Di antara tanda kelalaian yang nyata ialah menularkan gejala kerosakan akhlak akibat hiburan tersebut seperti zina, arak, dadah, pergaulan bebas dan peniruan terhadap cara hidup kuffar yang menyalahi dan dilarang oleh agama.

Tiada satu pun nilai baik yang boleh dipetik dan diambil daripada konsert hiburan yang diimport dari barat kecuali sedikit yang boleh sahaja diperoleh melalui cara lain yang dibenarkan oleh agama.

Selebihnya adalah nilai dan budaya hedonisme yang ditolak oleh agama, bahkan secara jelas dan terbukti menjadi senjata dunia barat yang memusuhi Islam untuk melalaikan umat Islam, terutama anak mudanya daripada agama dan kewajiban untuk kembali kepada agama Islam yang murni dan menjamin kejayaan di dunia dan akhirat.

Dewan Pemuda PAS menuntut dan menyeru seluruh umat Islam untuk terus dan konsisten, tanpa rasa ragu, takut dan hina untuk terus membantah penganjuran konsert hiburan oleh artis barat dan luar negara yang sengaja ditujukan bagi menarik umat Islam untuk bersama menghadiri dan menyertainya.

Pihak kerajaan, sama ada pusat atau negeri, daripada parti BN atau sebaliknya hendaklah dikecam dan dibebankan dengan tanggung jawab yang besar di atas segala kerosakan yang telah, sedang akan akan terus berlaku terhadap anak muda Islam yang terus lali dan lalai daripada tanggung jawab kembali kepada agama.

Diam daripada kecaman adalah kelemahan iman yang nyata. Menyokongnya pula adalah satu dosa yang nyata. Jangan kerana undi dan persaingan politik, kita bersedia melanggar hukum agama yang nyata di sisi agama.

Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم diutuskan untuk mengajar umatnya agar berani berkata benar walaupun terpaksa menggenggam bara yang membakar.

Justeru Dewan Pemuda PAS mempertegaskan perkara berikut;

1.Menolak keras penganjuran konsert hiburan oleh artis barat di kawasan majoriti umat Islam. Ia adalah agenda jelas untuk menarik kehadiran umat Islam dan memerangkap mereka.

2.Penganjuran mestilah secara jelas untuk masyarakat bukan Islam. Promosinya haruslah berlegar di kalangan komoniti bukan Islam sebagaimana halnya penganjuran konsert hiburan oleh artis dari negara China, Hong Kong dan selainnya.

3.Untuk mengelak kehadiran umat Islam, kerajaan mestilah mengambil inisiatif khas yang berkesan yang akan mendorong umat Islam untuk tidak menghadiri program tersebut. Contoh mudah ialah seperti inisiatif kerajaan mengelak rakyat daripada merokok dengan mempertegaskan bahaya merokok (kecuali jika kerajaan melihat bahawa rosak jantung lebih bahaya dari rosak iman fan akhlak).

4.Kerajaan mestilah membenarkan, malah menggalakkan komuniti Islam daripada pelbagai pihak untuk melaksanakan dan menggerakkan kewajiban amar makruf nahi munkar yang membantu menyedarkan umat Islam dengan larangan berhibur secara yang ditegah oleh agama.

5.Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan mestilah sentiasa membantu menyediakan kemudahan dan memajukan industri hiburan alternatif Islam yang kini giat berkembang di dalam negara kita.

Sebagai nota hujung, suara merdu wanita adalah nikmat kehidupan ciptaan Allah. Tiada seorang ayah atau suami yang mahukan anak perempuannya atau isterinya bersuara seperti burung kakak tua. Kalau ada, dia sebenarnya adalah kakak tua jantan.

Sepertinya wang dan harta, sebagaimana ia adalah nikmat, ia juga adalah bala dan fitnah. Begitulah nikmat suara. Ia juga adalah fitnah ciptaan Allah untuk menguji hamba-Nya yang mengaku beriman. Janganlah kerana meminati suara yang merdu, kita menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah.

Memerintahlah dengan panduan para ulama kerana para ulama cukup tahu bahawa hak memerintah bukanlah hanya milik ulama. Ia adalah milik siapa sahaja yang bertaqwa kepada Allah yang menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram di sisi Allah.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 24/7/2016

Share on Myspace