1MDB: Masalah amanah dan sistem yang tidak ikut Islam

AHMAD HAKIMI OTHMAN | .

MASALAH 1MDB adalah masalah amanah dan bersangkutpaut dengan sistem yang memberi amanah tersebut. Ia juga bukan satu-satunya masalah negara setakat ini.

Kalau kita melihat daripada kacamata Islam, bala yang ada ini adalah akibat jauh daripada penyelesaian menyeluruh iaitu Islam. Namun, untuk mengubah mala petaka ini kepada kebaikan memerlukan kesabaran dan meyakinkan rakyat bahawa membaiki kerosakan bukan boleh berlaku sekelip mata.

Ia bukan janji politik seperti janji mencegah banjir, tapi banjir tetap berlaku. Janji untuk rumah rakyat, tetapi perumahan baru yang tumbuh tetap sahaja tidak mampu milik, malah menjadikan kapitalis konglomerat mengaut untung berlipat ganda dengan eksploitasi ekonomi melalui instrumen kewangan seperti perbankan, insurans dan kerangka undang-undang yang membolehkan semuanya.

Penyelesaian PAS yang diajukan presidennya, adalah yakin dengan Islam. Yakin dan istiqamah bahawa hanya Islam mampu menyelesaikan semua ini. Apa pun masalah termasuk 1MDB dan masalah yang berkaitan dengannya perlu diselesaikan dengan Islam.

Apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarika (United States Department of Justice - DOJ) memunculkan masalah berkaitan pembongkaran penggubahan wang haram di negara Amerika yang dikatakan sebahagian daripada isu 1MDB, kita perlu tenang dan berfikir dengan waras untuk menyelesaikannya.

Isu money laundering, pecah amanah merupakan masalah undang-undang sivil. Apatah lagi jika melibatkan undang-undang antabangsa. Jika kesalahan dilakukan di negara lain, tanggungjawab negara tersebut yang melaksanakan proses kehakiman.

Namun sekiranya melibatkan dana negara, ia perlu dimulakan di Malaysia. Undang-undang terlibat perlu melalui silang proses yang lama. Apatah lagi jika melibatkan 3 - 4 negara. Soalnya, di mana proses penggubahan wang berlaku? Antara negara? Atau firma secondary yang terlibat?

Jika kita faham sistem dan masalah sebenar, kita akan tahu. Ia bukan sekadar masalah saman awam (sivil suit) untuk kesalahan di Amerika Syarikat, tetapi melalui lapisan yang lain. Jika melibatkan yang dikatakan wakil kerajaan, pastinya wakil kerajaan tersebut mempunyai penama dalam syarikat di sana, dan dari situ baru mahkamah boleh mendakwa. Soalnya, berlakukah begitu?

Apa yang jadi masalah dibimbangi campurtangan luar negara?

Yang dibimbangi bukan tindakan DOJ Amerika, yang dibimbangi bagaimana segala proses ini melibatkan kerajaan, tapi siapa wakil kerajaan Malaysia yang sepatutnya memberi maklumat untuk selesaikan masalah ini antara undang-undang di antara negara?

Maka, kerisauan ialah siapakah yang menjadikan kes ini batu loncatan untuk melawan Najib dengan ada dalang dari negara yang menggunakan hubungan di Amerika untuk mensensasikan isu ini dengan halatuju yang tidak menyelesaikan masalah.

Pastinya jika ada hubungan, pasti ada rundingan, jika ada rundingan pasti ada faedah bagi pihak yang terbabit. Yang dirisaukan ialah jika faedah yang dirundingkan itu melibatkan kepentingan negara pada masa hadapan. Mereka yang mungkin berjaya, akan diugut pada masa hadapan jika berjaya menjadi Pemimpin.

Perkara yang ada di hadapan kita ini tidak semudah yang kita lihat. Banyak kes yang berlaku yang menjadi contoh apabila melibatkan orang luar negara.

Tidak ingatkah kita isu rundingsn anwar-najib yang melibatkan orang ketiga dari Indonesia iaitu Jusuf Kalla? Ataupun sejarah lampau kontroversi Indonesia - Malaysia dalam zaman konfrontasi Malaysia Indonesia?

Kehebatan Ali Moertopo menggunakan isu tersebut untuk menukar Sukarno kepada Suharto?

Ataupun seperti kes yang dilaporkan di Yaman. Bagaimana orang-orang bekas presiden Ali Abdullah Saleh bekerjasama denga orang luar seperti Saudi dan Amerika untuk menjatuhkan Abdul Hadi Rabbuh, akhirnya huru-hara sampai hari ini.

Isunya mudah, mahu menjatuhkan musuh politik dalam negara, tetapi sanggup khianat guna khidmat orang luar.

Untuk isu yang berlaku ini, perlu fikir semasak-masak dan sebaik-baiknya. Jangan menang sorak, kampung tergadai. – HARAKAHDAILY 25/7/2016

Share on Myspace