Kesejahteraan hidup pada mengenal Allah

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Manusia mengenal Allah dengan hatinya. Hati adalah mata yang melihat wujud Allah di dalam kehidupan. Justeru kita namakannya sebagai mata hati.

Anggota tubuh yang lain seperti mata, telinga, hidung dan sebagainya tidak mampu melihat dan mengecam wujud Allah. Mereka terlalu kerdil untuk melihat dan mengecam satu zat yang terlalu agung sifatnya.

Mata tidak mampu melihat alam cakerawala yang begitu besar dan luas. Ia hanya mampu melihat bahagian atas yang rambang bernama langit yang biru warnanya. Mata juga tidak mampu melihat alam bakteria yang sangat seni dan kecil di badannya. Ia hanya mampu melihat kulit tubuhnya yang cerah atau gelap warnanya. Begitulah panca indera dan anggota tubuhnya yang lain. Semua diciptakan lemah di sebalik kekuatannya yang begitu terhad.

Allah lebih besar (al Kabir al Aliy al Azim) dari alam cakerawala dan lebih seni (al Latif al Khabir) daripada alam bakteria atau yang lebih halus daripadanya. Bagaimana mampu panca indera kita yang lemah dan rapuh itu melihat dan menduga Allah?

Tetapi keajaiban manusia adalah pada hatinya. Ia ciptaan Allah daripada segumpal darah yang terpilih saat diciptakan manusia daripada air mani yang melekit hina. Tiada beza antara hati dan mata. Kedua-duanya adalah daripada tanah. Tetapi mata diciptakan dengan kekuatan melihat lahiriyah di depannya. Sebaliknya diciptakan hati dengan kekuatan melihat yang tersembunyi di sebalik hijab kehidupan lahiriyah iaitu alam ghaib.

Justeru ia menjadi sarang segala kerahsiaan dan kehikmatan di sebalik penciptaan manusia sebagai makhluk terbaik dan khalifah terpilih di muka bumi ini daripada jutaan makhluk lain yang diciptakan-Nya.

Wujud agama di dalam diri manusia adalah ketandaan wujudnya mata hati di dalam diri yang berusaha menduga kewujudan alam di sebalik hijab kehidupan zahir. Agama adalah himpunan kepercayaan manusia kepada wujudnya alam ghaib yang terhijab daripada panca indera.

Seluruh manusia menerima agama dalam kehidupan mereka kecuali segelintir yang terlalu beriman dengan mata kasar sehingga menolak untuk mengiyakan peranan mata hati dalam hidupnya. Mereka ini telah begitu jauh terpesong akibat kegagalan menerima ilmu yang benar.

Tetapi manusia mendapat bahagian masing-masing di dalam ilmu mereka terhadap alam ghaib. Ia bergantung kepada maklumat yang ada di dalam agama masing-masing yang mereka anuti. Di sisi Islam, hanya Islam sahaja yang mempunyai maklumat paling tepat dan sempurna mengenai alam ghaib yang membicarakan perihal ketuhanan, kehidupan selepas mati, syurga, neraka dan sebagainya. Walau bagaimanapun masing-masing agama dengan dakwaan masing-masing.

Di atas titik tolak inilah, Islam menganjurkan agar manusia kembali kepada hati dan bicaranya. Bahkan Islam menyifatkan manusia tanpa mata hati adalah manusia yang buta walaupun celik. Islam juga menyifatkan manusia sebagai mati walaupun masih bernyawa jika hatinya gagal berfungsi membawa tuannya mengenal agama yang sebenar.

Manusia tanpa bicara hati adalah terlalu lalai dalam kehidupannya. Mereka hanya melihat dalam ruang pandang yang dekat dan sempit. Mereka tidak pernah bertanya pun, apatah tahu mengenai siapakah pencipta mereka dan langit bumi ini. Mereka tidak pernah kisah pun untuk mengetahui perihal apa akan berlaku selepas mereka mati. Bahkan mereka tak ambil pusing pun hal kenapa mereka diciptakan sebagai manusia yang paling istimewa di atas muka bumi.

Manusia yang tanpa bicara hati hanyalah berfikir untuk hidup hari ini kerana itulah sahaja pandangan yang mereka lihat di hadapan. Sempit dan dekat. Bagaimana mereka mampu melihat lebih jauh dan luas sedangkan mereka sendirilah yang menolak menggunakan pandangan mata hati? Mereka sendirilah yang membiarkan hati mereka terbiar dan ditumbuhi semak samun yang menutup penglihatan mata hati mereka itu.

Justeru alam hati adalah satu ilmu yang besar dan begitu penting di dalam Islam. Bahkan jika diperhatikan, kita akan dapati bahawa seluruh pengajaran ugama samada perihal akidah, syariah mahupun akhlak sebenarnya hanya mampu dilaksanakan dan dipikul oleh mereka yang memiliki hati yang benar-benar mengenal Allah sebagai tuhannya. Jika tidak, agak sukar untuk manusia mengaplikasikan pengajaran agama di dalam kehidupannya.

Seperti dinyatakan di atas, hati adalah penuh rahsia dan keajaiban. Ia anugerah sebenar penciptaan manusia oleh Allah. Dalam erti, jika seseorang itu memiliki hati yang berfungsi sebagaimana kekuatan sebenarnya, maka dia mampu mencipta keajaiban di dalam kehidupannya dengan persembahan dan sumbangan yang besar.

Cuba anda perhatikan kepada kisah para nabi dan sumbangan mereka kepada kehidupan manusia. Selepas lebih 1400 tahun di mana tiada lagi nabi diutuskan, masih tiada manusia yang diperakui lebih hebat sumbangan mereka mengatasi para nabi, bahkan tidak mungkin ada lagi. Begitulah juga sumbangan para ulamak yang mengikuti jalan para nabi di dalam kehidupan. Tanpa mereka, kehidupan ini akan penuh dengan kejahatan, kezaliman dan kehancuran nilai manusiawi.

Jawaban kepada kehebatan dan keunggulan mereka itu hanyalah satu dan sama. Para nabi dikurniakan hati yang langsung diperlihatkan alam ghaib yang luas. Maka mereka berjalan di muka bumi dengan pandangan yang jauh dan luas. Mereka tahu arah tuju kehidupan. Lalu mereka berjalan dengan penuh yakin tanpa sesat dan tersasar. Mereka tidak terjatuh atau tersadung di lubang kubur, bahkan mereka hanyalah seperti membuka pintunya untuk berjalan di kehidupan sebenar yang lebih abadi. Mereka telah bersedia untuk itu sedangkan manusia lain tidak pernah bersedia kerana hati mereka telah buta di dunia.

Perhatikan pula kehidupan manusia hari ini. Dunia kebendaan di kemuncaknya yang begitu mengkagumkan. Dengan sains dan teknologi yang tidak mampu disekat lagi perkembangan dan kemudahan yang dikecapi, manusia seperti hilang akal untuk memuliakan umur mereka yang begitu pendek iaitu sekitar 70 tahun itu.

Dengan ilmu dan teknologi itulah mereka membunuh sesama mereka. Mereka biarkan sebahagian mereka menderita kesakitan dan kelaparan manakala sebahagian lagi bersuka ria penuh kemewahan dan membazir tanpa batas. Bukankah jika mereka saling berfikir secara mudah, mereka akan terus menerima seruan, 'marilah kita sama-sama memuliakan umur kita yang pendek ini dengan saling bantu membantu agar setiap kita mengecapi yang terbaik daripada kehidupannya'.

Ya, manusia sebenarnya mampu menjawab, ya. Tetapi mengapa mereka tidak mengendahkannya, bahkan terus hidup membuas membelasah kehidupan dan hanya mampu berakhir dengan kematian mereka sendiri?

Jawabannya mudah. Mereka buta hakikat. Mereka juga telah pun mati sebelum mati dengan matinya hati di dalam tubuh mereka itu. Mereka bukan lagi manusia. Mereka adalah haiwan yang hidup buas tanpa kemuliaan pada nyawa, akal, nilai dan hak. Yang membezakan mereka daripada haiwan hanyalah kuasa dan kecerdikan. Ironinya dengan kuasa dan kecerdikan itulah mereka menjadi lebih teruk daripada haiwan di hutan. Seluruh kehidupan hari ini merana kerana wujudnya manusia.

Begitulah kerosakan berlaku di dunia. Manusia meninggalkan keajaiban dan keistimewaan dalam diri mereka sendiri. Hati yang ibarat permata berharga dibiarkan bagai batu batan yang tiada nilai, sedangkan hati itulah enjin dan kuasa pergerakan mereka.

Akhirnya penawar yang ditawarkan untuk kehidupan hanyalah mainan di bibir kemunafikan atau kejahilan atau kedegilan yang nyata. Dunia terus diancam kerosakan dan kejahatan yang tidak terbendung lagi.

Kembali kepada hati adalah perjalanan yang sukar. Manusia menolaknya kerana kekuasaan nafsu yang begitu mengukuh menguasai kehidupan. Contoh dan teladan dari hati-hati yang mulia sukar dilihat dan dijelmakan akibat sekatan-sekatan oleh anasir jahat yang menghalang.

Oleh kerana Islam sentiasa berteguh pada kekuatan hati, maka Islamlah agama yang paling tercabar kewujudannya. Berpegang dengan Islam pada akhir zaman ini adalah ibarat menggenggam bara api. Ia adalah jihad yang besar yang perlu dilalui.

Menuju islah hati adalah jalan menuju Allah. Allah memilih sesiapa yang dikehendaki-Nya menujunya. Berbahagialah mereka yang dilorongkan ke jalan-Nya dengan membina dan mengislah kehidupannya dengan membina dan mengislah hatinya. - HARAKAHDAILY 28/7/2016

Share on Myspace