PRN: Inilah waktu DAP paling kuat?

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

MERASAKAN dirinya bakal terpenjara, nampaknya LGE mengambil jalan pantas untuk mengadakan pilihan raya.

Perbicaraan kes rasuah yang sedang dihadapi beliau pembelian rumah di bawah harga pasaran amat-amat membelenggu dirinya hingga kini.

Apa yang menjengkelkan, kes peribadinya itu telah mengheret seluruh rakyat Penang untuk terlibat sama apabila mahu diadakan PRN.

Sudah tentu percaturan tarikh pilihanraya ada hubungkait yang sangat rapat dengan kepentingan politik pihak yang berkuasa menentukannya. Kalau Umno merasakan mereka kuat, mereka akan adakan pilihanraya waktu itu juga.

Kalau dirasakan lemah, mereka akan tangguh hingga ke masa-masa yang benar-benar diyakini. Lihat setelah BN menang besar di kedua-dua PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Waktu itu Najib bercakap megah, "PRU sekarang pun boleh!". Tetapi ketika BN dalam keadaan lemah, Najib mengheret tarikh PRU13 hingga tinggal beberapa hari sahaja lagi dari tempoh maksimum.

Logiknya jika diadakan PRN sekarang, mustahil DAP boleh mengekalkan prestasi mereka seperti dua PRU sebelum ini. Ini boleh dinilai melalui PRN Sarawak dan dua PRK lepas. Tetapi mungkin inilah waktu paling kuat yang DAP ada.

Jika diheret lebih lama, lebih banyak lagi perkara akan terdedah dan mereka akan semakin lemah. Kepercayaan rakyat makin luntur.

Ada yang menyangka DAP boleh kekal memerintah di Penang selepas ini kerana sentimen di Penang sangat berbeza. Cina hanya akan mengundi pihak yang dilihat berkuasa.

Tetapi dengan perkembangan dalam PH antara PKR dan krisis dalaman DAP sendiri antara pusat dan negeri, adakah ia masih dilihat berkuasa?

Sewaktu meletakkan calon dalam PRU13, Lim Guan Eng tidak pernah terfikir akan menghadapi kes rasuah sebegini. Jika tidak beliau awal-awal lagi akan meletakkan calon-calon yang menjamin masa depan peribadinya jika ditakdir dihumban ke penjara.

Justeru PRN mungkin adalah taktik memperkukuh kedudukannya dalam politik dalaman DAP. Setidaknya sepanjang peninggalan beliau, namanya tidak menjadi bahan sejarah.

Dalam keadaan sekarang, peluang untuk BN merampas Penang adalah sangat cerah. LGE akui hakikat ini. Tapi kerana fikirkan nasib dirinya, segalanya sanggup diperjudikan. Peduli apa dengan orang lain?

PAN tidak diajak langsung berunding soal ini. Hanya jadi pengangguk dan pak sanggup untuk tokongnya itu. Pkr sebagai rakan pakatan pula terus dipujuk agar akur kehendak LGE.

Bagaimana pula dengan PAS? Kita bersedia bila-bila masa. Presiden telah memberi jaminan akan meletak calon-calon di Pulau Pinang. Bahkan sejak ahli-ahli PAS ditamatkan perkhidmatan oleh LGE lagi, kita sudah mendesak dun dibubarkan!

Bring it on!  - HARAKAHDAILY 29/7/2016

Share on Myspace