Kebobrokan siasah: Dari krisis menuju kematangan politik

MUHTAR SUHAILI | .

ALHAMDULILLAH atas segalanya. Catatan ini adalah untuk semua, sama ada yang berminat dengan politik, kecewa dengan politik dan juga mereka yang benci dengan politik. Tujuannya hanya satu iaitu untuk memurnikan ufuk pandang tentang politik dan melihat dimensi positif darinya.

Ngopi atau ngeteh (minum-minum) dengan rakan-rakan dan kenalan adalah salah satu cara untuk mendapatkan input sudut pandang masyarakat. Salah satu dapatan yang diperolehi lewat sembang teh tarik di kedai kopi terkenal atau bicara sambil mengunyah sekeping-dua roti canai di kedai mamak atau ketika menikmati nasi lemak di kaki lima kedai, rata-rata kenalan melihat politik negara ini mengalami krisis.

Malah rata-rata maklumbalas menyebut kemurungan suasana politik hari ini semakin menyedihkan, memualkan, menjengkelkan dan membosankan. Bahkan ramai yang mengatakan “politik itu kotor!” “Kerajaan dan pembangkang sama sahaja. Kedua-duanya mengamalkan politik sempit.”

Saya mendengar keluhan-keluhan ini dan semampu mungkin memberi penerangan akan peri-pentingnya dan murninya politik ini jika ia difahami sebagaimana ia sepatutnya difahami.

Saya terlibat dengan siyasah (politik), bahkan jamaah yang saya dokongi juga berjuang atas nama parti politik iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Akan tetapi saya lebih suka membahasakan diri saya sebagai Ahli Gerakan Islam.

Ini kerana bila disebut Ahli Gerakan Islam, maka perjuangan saya adalah untuk mengangkat martabat ummah melalui segala upaya sama ada di dalam segmen dakwah, tarbiyah dan siyasah. Saya juga akan berusaha memandaikan ummah dengan mengusahakan program-program berbentuk pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan.

As-siyasi, secara bahasa berasal dari “ساس – يسوس – سياسة” yang bermaksud mengatur. Manakala kata mashdar-nya iaitu as-siyasah secara bahasa membawa makna “القيام على الشيء بما يصلحه” yang bermaksud “bertindak pada sesuatu dengan apa yang sepatut untuknya”.

Adapun pengertian siyasah syar’iyyah/ fiqh siyasah adalah “ilmu yang membahas tentang cara pengaturan masalah ketatanegaraan seperti bagaimana mewujudkan perundangan dan berbagai-bagai peraturan yang sesuai dengan prinsip-prinsip Islam atau dalam kata lain “pengaturan kemaslahatan manusia berdasarkan syara’”.

As-siyasah atau sering disebut dengan as-siyasah as-syar’iyah adalah berkaitan dengan urusan kaum Muslimin. Ia meliputi pengaturan hubungan sesama warga negara, antara warga negara dengan lembaga negara dan sesama lembaga negara. Ini termasuk juga segala upaya untuk mengunggulkan urusan kaum Muslimin dengan jalan menghilangkan kezaliman penguasa dan melenyapkan kejahatan musuh kafir dari mereka.

Untuk melakukannya, kaum Muslimin hendaknya mengetahui apa yang dilakukan pemimpin, mengingkari keburukan yang dilakukan pemimpin atas rakyatnya, menasihati pemimpin jika melakukan kederhakaan kepada rakyat dan memeranginya jika melakukan kekufuran yang nyata.

Ruang lingkup peranan siyasah ini sejalan dengan pengertian hadith: “Siapa saja yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin maka dia bukan dari golongan mereka” (Riwayat Al Hakim) dan “Jihad yang utama adalah kalimat haq di hadapan penguasa yang zalim.” (Riwayat Ahmad).

PAS sebagai sebuah parti Islam komited menjadi sebahagian daripada gerakan Islam yang berusaha untuk mengembalikan semula Daulah Islamiyah. PAS konsisten berpartisipasi dalam ruang demokrasi dan waqi' masyarakat majmuk Malaysia dalam menggapai cita-cita tersebut. Usaha PAS di Malaysia adalah sebahagian daripada agenda besar seluruh umat di seantero dunia.

PAS berusaha untuk meletakkan syariat Islam dalam negara menggantikan sistem sekular peninggalan penjajah yang digunapakai kini. PAS mengorak langkah untuk menerajui anjakan budaya politik negara dari politik konvensional tinggalan penjajah kepada perletakan asas prinsip politik Islam berteraskan Al-Qur’an dan hadith serta membersihkan politik negara dari budaya negatif dan diganti dengan budaya yang menepati syara’.

Adakah ia mudah? Tidak semudah teori pada hakikatnya. Bahkan dengan ketepuan dan cacamarbanya suasana politik negara hari ini usaha ini akan mengambil masa untuk difahami dan mengambil tempat di hati rakyat seluruhnya. Ia disukarkan lagi dengan media beragenda yang rencam yang boleh dikatakan majoritinya tidak berpihak kepada Gerakan Islam.

Bahkan agensi-agensi dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat yang serius dalam membantu memberi penerangan tentang agenda politik Islam boleh dikatakan terpaksa berada dalam posisi bertahan (defensive) dengan serangan (offensive) dari pelbagai penjuru musuh-musuh Islam yagn wujud dalam pelbagai jenama dan mereka yang menyokong isme-isme ini secara langsung mahupun tidak langsung.

Alhamdulillah. PAS kini bergerak maju ke hadadapan (moving forward) dengan gagasan Wawasan Induk Negara (WIN) dan menerajui Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Inilah adalah satu gagasan untuk menjernihkan suasana politik negara dengan menjadikan penyelesaian Islam sebagai terasnya.

Ianya masih baru saya akui. Malah saat saya dan AJK PAS Pusat serta Team BPMS menerangkan gagasan ini di peringkat Cawangan, Kawasan dan Negeri hatta saat membentangkannya kepada mahasiswa dan masyarakat sivil, masih ramai yang tidak didedahkan tentang visi dan misi ini. Selepas diberi penjelasan, rata-rata melihat gagasan ini sesuatu yang sangat baik dan perlu disegerakan.

Berikut adalah ringkasan kepada cita-cita murni tersebut:

WAWASAN INDUK NEGARA (WIN)

1- Mendapat Mandat Pemerintahan
2- Penyelesaian Masalah Utama Negara
3- Pembangunan Negara Model
4- Exporting Malaysia

STRATEGI MENUJU WIN

1- Pemerkasaan Parti & Transformasi Imej
2- Menentukan Halatuju

Teras dalam pemerkasaan Parti dan Tranformasi Imej:

1- Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS)
2- Penyelesaian Islam
3- Pengurusan Media
4- Budaya Wacana
5- Partisipasi Rakyat
6- Pengiktirafan Masyarakat
7- Model Masyarakat

7 Ciri Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS):

1- Politik Bertunjangkan Prinsip
2- Politik Dakwah dan Amar Makruf Nahi Mungkar
3- Politik Penyelesaian Berasaskan Islam
4- Politik Utamakan Kepentingan Rakyat
5- Politik Damai dan Diplomasi
6- Politik Kebenaran Bukan Persepsi
7- Politik Rasional dan Profesional

Inilah penyelesaian kita. Apa yang kita seru dan mahu ialah semua termasuk semua parti politik, NGO dan rakyat Malaysia bersama PAS membangun Malaysia ke arah wujudnya masyarakat dan pemerintahan yang ada padanya nilai-nilai hidup Islam. Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur.

Melalui BPMS, PAS akan mengatakan yang benar itu benar dan menyebut yang salah itu salah. PAS akan mengiyakan yang benar dan menidakkan yang bukan. Kita akan menyokong keadilan dan menentang kezaliman tidak kira siapa jua pelakunya. Dan prinsip yang sihat inilah yang kita akan pegang utuh dalam semua tindakan dan keputusan politik tanpa ada piawaian berbeza (double standard).

Saya memilih untuk istiqamah pada jalan ini. Saya juga memilih untuk memperkasa jamaah dan berusaha sedaya mungkin atas kapasiti yang termampu membangunkan agenda Islam. Mudah-mudahan jika tidak berjaya di zaman kita, semoga dengan ikhtiar hari ini menjadi sebahagian jalan untuk generasi penerus perjuangan melihat tertegaknya Daulah Islamiyah yang diimpikan!

In shaa Allah sama-sama menyumbang ke arah menjayakan hasrat membina Malaysia Sejahtera. Ayuh menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah dan tidak terus hanyut dengan masalah atau menjadi sebahagaian dari masalah.

Jalan ini jalan panjang. Meski cahayanya cuba dipadamkan, namun sinar di hujung lorong semakin bersinar dan kian hampir. Semoga Allah redha dan permudahkan urusan menuju kemenangan. 'Isy azizan aumut syahidan. Hidup mulia atau mati syahid. – HARAKAHDAILY 1/8/2016

Penulis merupakan AJK PAS Pusat, Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dan Setiausaha PAS Negeri Sarawak.

Share on Myspace