Bahasa jiwa bangsa, filem kita adalah wajah kita

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Indusri filem negara ini semakin berwarna warni dengan kehadiran produser lain yang memilih Malaysia sebagai latar cerita, contohnya filem "Kabali" yang berjaya memungut ratusan juta ringgit. Keterujaan ini menyebabkan isu bahasa Melayu dalam bidang perfileman mula dikesampingkan oleh pengarah-pengarah bukan Melayu.

1. Industri perfileman mesti selari dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang prinsip pertamanya berkaitan teras budaya Melayu di rantau ini sebagai tunggak utama termasuk bahasa.

2. Sebagai meraikan unsur-unsur budaya lain yang juga menjadi jati diri kaum-kaum bukan Melayu, penggunaan bahasa ibunda mereka dalam babak-babak perbualan antara kaum-kaum bukan Melayu dalam filem tersebut boleh diterima, tetapi bukan menggunakan bahasa asing. Perkara ini adalah semangat dari prinsip kedua Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

3. Perlu ditekankan juga, industri perfileman perlu memberi perhatian terhadap prinsip ketiga iaitu kehidupan beragama masyarakat Malaysia dalam filem-filem mereka, bukannya mengambil cara hidup dan adat resam Barat.

Industri perfileman memainkan peranan penting untuk mencorakkan pemikiran rakyat dan generasi muda, sebab itulah kelompok zionis berusaha menawan  dunia pembuatan filem Hollywood. Filem bukan sekadar bahan hiburan kosong, disela imej, audio visual itu terselit mesin propaganda yang ingin disampaikan oleh penerbit filem. Negara ini mempunyai dasar yang longgar terhadap penggunaan bahasa rasmi negara dalam filem walaupun secara asasnya kita mempunyai Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Filem tempatan negara ini menggunakan bahasa pasar yang sangat hodoh seperti kebanyakan "filem sampah" yang tersenarai di papan utama industri filem.

Sewajarnya, elemen penggunaan bahasa jelek, hodoh dan cacamarba  perlu dielakkan demi menjamin kelestarian bahasa Melayu, apatah lagi generasi muda yang masih mentah memindahkan pertuturan dalam filem kedalam realiti kehidupan yang sebenar. Jika kita sedar, kebanyakan negara-negara Asean mengalihbahasa drama dan filem asing kedalam acuan bahasa mereka sendiri. Ianya mengukuhkan jati diri sesebuah negara dan menyubur semangat patriotik ke dalam jiwa rakyat.

Pihak kerajaan melalui Finas sewajarnya memainkan peranan yang proaktif dalam memantau polisi dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dipatuhi dan mengembangkan nilai tempatan yang munasabah dalam filem berwajah Malaysia. Filem kita adalah cermin ketamadunan kita! - HARAKAHDAILY 18/8/2016

Penulis ialah Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat.

Share on Myspace