Nak jadi salafi atau sufi

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

KALAU nak jadi salafi, jadilah. Tapi biarlah salafi seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiah.

Salafinya bangkit berjihad menentang Tatar dengan dirinya dan hartanya. Salafi yang berani mengetuk pintu-pintu istana khalifah untuk menyatakan kebenaran dan menyeru ke arah jihad. Salafi yang menulis berbagai makalah untuk menegakkan syariat tuhan.

Jangan jadi salafi yang sekular, yang mengehadkan perjuangan sekadar isu qunut dan tahlil, yang membisukan diri dengan kebobrokan pemerintah, yang bersekongkol di belakang kefasadan ulil amr. Jangan sekali-kali jadi salafi yang menyeru meninggalkan syariat demi maslahat.

Kalau nak jadi sufi, jadilah. Tetapi jadilah sufi seperti al-Imam Said Nursi.

Sufinya bangkit menentang penjajah di zaman Uthmaniah. Sufi yang menyeru tarikatnya bangkit memegang senjata demi mempertahankan daulah Islamiah. Sufi yang mengutus risalah an-nur dari bawah tanah bagi menyuntik kesedaran jihad dan kepekaan terhadap nasib siasah ummah.

Jangan jadi sufi yang sekular, sufi yang mengehadkan amalan sekadar zikir dan manhaj penyucian hati sahaja, tetapi pekak terhadap keluhan masyarakat. Sufi yang dipergunakan bagi menyokong si zalim hanya kerana jaminan dipenuhkan kantung-kantung madrasah dan tarikat. Jangan sekali-kali jadi sufi yang buta, mengajak ummah beruzlah lalu melupakan makar jahiliyyah.

Kalau sufi, jadilah sufi-haraki. Kalau salafi, jadilah salafi-haraki. Jadilah apapun, tapi jangan lupakan perjuangan menegakkan syariat dan membela ummah. – HARAKAHDAILY 22/8/2016

Share on Myspace