Catatan retreat pemerkasaan DPPM

MUHTAR SUHAILI | .

KHALIFAH agung Islam, Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu berpesan kepada bala tentera Islam yang dikepalai oleh Saad bin Abi Waqqas radhiyallahu ‘anhu sebelum peperangan Qadisiyyah menentang Parsi dengan kata-kata mutiara, antaranya: “…yang menyebabkan kaum Muslimin itu menang hanyalah kerana maksiat musuh-musuh mereka. Jika tidak kerana faktor itu, kita tidak memiliki kekuatan untuk menghadapi musuh.

Sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka. Jika kita sama dengan mereka dalam hal maksiat, sudah pasti mereka memiliki kelebihan di sudut kekuatan. Jika kita tidak mampu menang dengan kelebihan kita (ketakwaan) sudah pasti kita tidak dapat menewaskan mereka dengan kekuatan kita…”.

Pada 19-21 Ogos 2016 telah diadakan Retreat (Bengkel Pemerkasaan) Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) di Suria Hot Spring Resort, Bentong, Pahang Darul Makmur.

Retreat DPPM ini adalah kali ke-4 diadakan untuk sesi 2015-2017 selepas 3 sebelumnya di De Palma Ampang pada 10-11 Julai 2015, Grand Continental Kuching pada 8-9 Ogos 2015 dan Tasik Kenyir Hulu Terengganu pada 19-21 Februari 2016.

Sepanjang lebih setahun bersama, pelbagai kenangan dan juga memori suka duka dalam memacu perjuangan Pemuda. Berbagai-bagai peristiwa yang menguntumkan senyum tawa dan cerita mesra memperkukuhkan lagi persaudaraan dan memotivasikan diri untuk terus konsisten yakni istiqamah dalam perjuangan.

Tidak ketinggalan juga senda gurau dan perbezaan pandangan yang kadangnya membuahkan sedikit kecanggungan, namun akhirnya dapat diselesaikan secara terbaik kerana kita masing-masing ingin mencapai al-falah dan mardhatillah yakni kemenangan dunia menuju Akhirat.

Retreat atau bengkel pemerkasaan kali ini adalah untuk memastikan baki sembilan (9) bulan mendatang yang ada untuk sesi kali ini dapat diisi dengan sebaik mungkin. Ia juga untuk memantapkan gerak kerja dengan memperteguhkan kekuatan, memperbaiki kelemahan, memaksimakan peluang dan meminimakan ancaman.

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang retreat kali ini ialah Perkongsian Input dari tiga (3) orang Panel Jemputan, Bengkel Pemurnian Agenda Teras dan Halatuju Strategik DPPM, Kuliah-kuliah Subuh dan Maghrib, Program Santai (perkongsian SWOT Dewan Pemuda PAS Negeri-negeri yang diikuti mandi-manda dan berpolo di kolam air panas), Perkongsian dan Harapan Ketua Pemuda serta Taujihat Khas daripada YB Dato’ Seri Presiden, Tuan Guru Sheikh Abdul Hadi Awang yang hadir bersama pada Ahad sekaligus menutup program.

Di dalam retreat ini, salah satu diskusi khas yang diadakan ialah berkenaan Roadmap PAS Menuju PRU14 & Selepasnya. Roadmap ini mengandungi pelan tindakan dan tawaran PAS untuk Malaysia. Ia dicerakinkan dan dihuraikan kepada beberapa fasa di dalam Wawasan Induk Negara (WIN).

Bagi memastikan syar’iat Islam terus terbela pada masa hadapan, usaha-usaha proaktif bermula dari saat ini perlu digembelengkan dan dipacu. Roadmap kepada usaha melakukan inqilabiyyah iaitu perubahan dengan mencabut jahiliyyah dari akar umbinya sedang diusahakan dan akan dikongsikan hasrat ini kepada akar umbi dalam masa terdekat.

Pemerkasaan Parti, Transformasi Imej dan Halatuju Politik yang dikupas dan dibahaskan ialah bagi memastikan PAS menerajui politik negara dengan solusi Islam. PAS hendaklah berjuang atas PRINSIP dan bukan PERSEPSI.

Ini memerlukan PAS membina jati diri PAS sendiri dan bertegas dengan strategi dan budaya berasaskan panduan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dikembangkan oleh PAS kini adalah selari dengan tuntutan syahadah yang perlu kita pasakkan dalam diri dan masyarakat ke arah menuju Wawasan Islami.

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Pemuda di dalam ucapan dan harapan beliau kepada DPPM berkongsi pandangan tentang tiga (3) asas kekuatan jamaah. Yang pertama ialah aqidah perjuangan yang betul yakni sahih. Ia menuntut kita melaksanakan semua Rukun Islam, berintima’ (menggabungkan diri) dengan Islam dari sudut ‘aqidah, akhlaq, keluarga dan ‘ibadah serta menegakkan pemerintahan Islam yang mengagungkan hukum syara’. Kesemua ini hendaklah dilaksanakan dengan IKHLAS semata-mata kerana Allah Ta’ala.

Yang kedua, kita hendaklah memastikan pembersihan fikrah kita dalam memahami tujuan perjuangan. Kita berintima’ dengan jamaah Islam yang benar prinsip dan jalannya serta melaksanakan amar ma’ruf dan nahya ‘anil mungkar dalam usaha membentuk Khilafah Islamiyyah yang diimpikan. Prinsip ini hendaklah sentiasa digunapakai dalam semua hal termasuk saat berhadapan dengan krisis.

Manakala yang ketiga ialah perlunya tawazun menjadi ciri utama kepada tindakan kita. Tawazun bermaksud keseimbangan dalam kesemua perkara yang mana keseimbangan manusia dapat meraih kebahagiaan hakiki yang merupakan nikmat Allah.

Ini kerana pelaksanaan syariah itu sendiri sebenarnya sesuai dengan fitrah naluri manusia. Ketawazunan akan menempatkan umat lslam menjadi umat pertengahan (ummatan wasathon) yang beroleh kebahagiaan batin dalam bentuk ketenangan jiwa dan kebahagiaan zahir dalam bentuk kestabilan, ketenangan beribadah, bekerja dan aktiviti lainnya.

Beliau juga menyebut betapa ukhuwah amat penting dan sifat saling kasih-mengasihi kerana Allah akan membawa rahmat dalam perjuangan. Kejujuran dalam persahabatan akan menatijahkan kita semua saling memahami dan saling bertolong-bantu dalam melaksanakan taklifan dan amanah jamaah.

Acara kemuncak kepada program ialah Taujihat dari Tuan Guru Presiden. Insan yang sering ditohmah dan cuba dibunuh karakternya oleh musuh-musuh politik ini terus gagah memimpin jamaah. Beliau tanpa mengenal lelah jemu terus mengembara ke seluruh pelusuk negara dan dunia mengisi program-program untuk memaham dan memandaikan umat dengan Islam.

Tiada lain yang beliau kehendaki kecuali Islam menang dan memerintah serta tidak diperintah-perintah. Di dalam kesibukan jadual beliau (sebelum sesi bersama Pemuda, beliau baru selesai mengadakan pertemuan dengan Mufti Masjidil Haram yang kini berada di Malaysia), beliau meluangkan masa bersama Pimpinan Pemuda untuk berkongsi pandangan dan halatuju.

Pertamanya beliau menyebut betapa pentingnya kita bersyukur kerana Allah SWT memasukkan kita dalam thoifah yakni perkumpulan Islam. Selanjutnya beliau menyatakan dan memperincikan bahawa Harakah Islamiyah perlu bergerak atas empat (4) asas dan prinsip yang tidak akan berubah sejak dulu sampai bila-bila.

Empat perkara tersebut ialah Aqidah Tauhid yang menjadi tiang seri kehidupan, Aqidah beriman kepada Hari Akhirat yang melibatkan perhitungan dosa dan pahala, konsep Taqwa sebagaimana dijelaskan di dalam Surah Al-Hujurat yang menghapuskan asobiyah kaum dan puak bahkan dengan taaruf membawa kepada pembentukan masyarakat madani dan Islam sebagai As-Deen yakni cara hidup yang merangkumi segala aspek kehidupan.

Ayah Chik menyebut betapa Islam datang bukan untuk menjajah, akan tetapi Islam hadir untuk menjadi penyelamat. Berbeza dengan Barat yang melakukan kolonialisme, Islam sebaliknya melaksanakan Al-Futuhatul Islamiyah yakni pembukaan Islam yang membawa rahmat kepada sekalian alam.

Beliau memetik kata-kata Rib’i bin ‘Amir Ats-Tsaqafi radhiyallahu ‘anhu ketika berhadapan dengan tentera Parsi pimpinan Rustam.

Ketika Rustam bertanya, "Apa yang membuat kalian datang ke sini?”, Rib’i menjawab, “Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan siapa sahaja yang Dia kehendaki dari penghambaan terhadap sesama hamba kepada penghambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia mengutus kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka barangsiapa yang menerima hal tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi barangsiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya hingga kami berhasil memperoleh apa yang dijanjikan Allah”.

Rustam bertanya, "Apa yang dijanjikan Allah (kepada kalian)?”. Rib’i menjawab, "Syurga bagi siapa sahaja yang mati dalam memerangi orang-orang yang enggan dan kemenangan bagi yang hidup.”

Ayah Chik TGHH mengakhiri tauhijat beliau dengan perkongsian senario politik Turki. Beliau baru sahaja kembali dari Turki untuk mengikuti mesyuarat, konvensyen dan pertemuan berkaitan Kesatuan ‘Ulamak Islam Sedunia.

Salah satu iktibar utama dari sejarah perkembangan dan suasana terkini politik Turki ialah usaha untuk membawa Islam pasti akan mendapat halangan dan tentangan. Namun seluruh Gerakan Islam perlu meneruskan usaha tanpa putus asa berdasarkan waqi’ watani kita masing-masing.

Bahkan dengan penuh keyakinan Ayah Chik menyebut Islam ini ibarat tunas yang subur, semakin dicantas akan menumbuhkan tunas-tunas baru yang lebih mekar. Insya-Allah cahaya Islam akan terus bersinar terang-benderang dan akan terus berkembang meski dibenci oleh para kafirin dan munafiqin. Inilah janji Allah!

Saya ingin mengakhiri catatan ini dengan pengisian Tazkirah Subuh yang telah disampaikan oleh Ustaz Hazmi Dibok di Subuh Ahad yang hening. Perkongsian beliau yang amat berkesan dan wajar diperhatikan oleh semua abna’ul harakah adalah berkenaan salah satu Rukun Bai’ah – IKHLAS.

Imam Hassan Al-Banna menyebut bahawa Rukun Bai'at kita ada sepuluh, hafalkanlah: faham, ikhlas, amal, jihad, tadhiyah (pengorbanan), taat (kepatuhan), tsabat (keteguhan), tajarrud (kemurnian), ukhuwah dan tsiqah (kepercayaan).

Berkenaan IKHLAS, beliau menyatakan: “Yang kami kehendaki dengan ikhlas adalah bahawa seorang al-akh Muslim dalam setiap kata-kata, aktiviti dan jihadnya, semua harus dimaksudkan semata-mata untuk mencari redha Allah dan pahala-Nya, tanpa mempertimbangkan aspek kekayaan, penampilan, pangkat, gelar, kemajuan atau keterbelakangan. Dengan itulah, ia menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentara kepentingan dan cita-cita peribadi.

"Katakanlah, 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku adalah kerana Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu baginya dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku," (Surah Al-An'am, ayat 162-163).

Dengan demikian, fahamlah saudaraku Muslim makna slogan abadinya; Allahu Ghayatuna (Allah tujuan kami), Allahu Akbar (Allah Maha Besar), Wa Lillahil Hamd (segala puji bagiNya).

Alhamdulillah atas segalanya. Pemuda PAS komited dalam Bertekad Melebar Muafakat ke arah Membina Malaysia Sejahtera. Ayuh anak muda, bersama kita serahkan seluruh jiwa raga kita untuk perjuangan pada jalan Allah Taala. – HARAKAHDAILY 23/8/2016

Share on Myspace