Sayyid Qutb: Memperingati maestro jihad abad moden

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

SAYYID Qutb adalah nama besar yang menggugah nurani kita apabila berbicara tentang Ikhwanul Muslimin selain Hassan al-Banna dan tokoh-tokoh yang lain seperti Abdul Qadir Audah, Said Hawwa, Dr Mustapha as-Sibaie, Abdul Aziz al-Badri, Hassan Ismail Hudhaibi dan yang lainnya.

Sayyid Qutb mempunyai sejarah yang tersendiri sebagai tokoh ideologue Ikhwanul Muslimin serta diklasifikasikan sebagai tokoh pemikir yang sukar digalang ganti oleh dunia islam.

Sayyid Qutb telah dilahirkan pada tahun 1906 di Asyut, Mesir dalam lingkungan yang taat beragama, keluarbiasaan bakatnya dapat dikesan semenjak umurnya masih hijau.

Menghafal al-Quran dan menamatkan hafazan semasa berusia sepuluh tahun, bapanya Qutb Ibrahim merupakan pencinta al-Quran dan sangat tegas dalam urusan mendidik anak-anaknya dengan sakhsiah Islam, beliau memberikan perhatian langsung kepada pembelajaran anak-anak terutama Sayyid Qutb.

Keberkesanan sang ayah kepada anaknya pernah dirakamkan oleh Sayyid Qutb dalam sebuah bukunya:

"Wahai ayahku! Kutujukan tulisan ini kepada rohmu. Aku masih kecil ketika engkau menanamkan ke dalam jiwaku rasa takut kepada hari akhirat. Tidak pernah engkau mengherdikku, namun engkau mempamerkan hidupmu di depanku. Hari akhirat menjadi perhitungan dan peringatanmu, dihati dan di lidahmu. Engkau bersungguh menunaikan hak orang ke atasmu, namun engkau berlebih kurang dengan hakmu di atas orang lain, kerana engkau takut kepada hari akhirat. Engkau memaafkan kesalahan orang, walaupun engkau mampu membalasnya, lantaran mengharapkan ia menjadi kifarat di Akhirat. Engkau selalu mengenetepikan keperluanmu agar mendapat ganjaran di Akhirat. Wajahmu terbayang dalam ingatanku, setiap kali kita selesai makan malam, engkau membacakan al-Fatihah dan engkau menujukan kepada roh kedua ibubapamu di negeri akhirat. Dan kami anak-anakmu yang kecil turut bersamamu membacanya, terputus di sana sini kerana kami masih belum menghafalnya dengan sempurna".

Sayyid Qutb merupakan seorang yang genius malahan pernah diungkapkan oleh Abbas Mahmud Aqqad sebagai pelajarnya yang paling cerdas, mempunyai bakat dan kecederungan yang besar dalam bidang sastera dan penulisan.

Karyanya dalam pelbagai genre seperti puisi, sajak, cerita telah diterbitkan dalam pelbagai penerbitan malah sebelum menggabungkan diri beliau dengan Ikhwanul Muslimin, beliau lebih dikenali oleh khalayak Mesir sebagai seorang sasterawan.

Kesyahidan Hasan al-Banna pada 12 Februari 1949 telah menyeruak relung hati Sayyid Qutb untuk mengenali fikrah Ikhwan dan akhirnya beliau menggabungkan diri dalam bahtera Ikhwanul muslimin. Bermula dengan Exco Dakwah sehinggalah menjadi ideologue Ikhwan dengan pelbagai magnum opus yang memercik kesedaran kepada ummah yang sedang lena dibuai khayalan.

Regim Jamal Naser telah memenjarakan Sayyid Qutb dengan pelbagai tuduhan palsu, bahkan mengharamkan Ikhwanul Muslimin yang dilihat pesaing utama regim dalam medan politik Mesir.

Sayyid Qutb mendekam dalam penjara militer dan beliau tidak pernah mengangkat bendera putih dalam perjuangan. Sosok sesepuh dakwah ini terus menuang idea-idea daripada celah jeriji penjara, termasuk tafsir fenomenal "fi Zilalil Quran".

Penghujung bulan Ogos ini, indah sekiranya kita semua, abnaul harakah mengenang kembali getir perjuangan as-syahid, yang mati di tiang gantungan regim Mesir pada 29 Ogos 1966. Perjuangan ini tidak bermula dengan kita, dan bukan diakhiri oleh kita, Sayyid Qutb antara keteladanan dakwah zaman kontemporari ini. – HARAKAHDAILY 24/8/2016

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan AJK Tarbiah Pusat.

Share on Myspace