Merdekaisme dan liberalisme

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

Risalah anak merdeka (1)

SECARA ringkas, kedua-dua istilah ini merujuk kepada kebebasan. Namun perbezaannya, merdeka lebih digunakan bagi menggambarkan kebebasan daripada perhambaan atau penjajahan. Sedangkan liberalisme adalah satu ideologi yang memperjuangkan hak kebebasan individu dengan erti kata yang lebih meluas.

Apapun kefahamannya, sebagai orang Islam perlulah memiliki pendirian yang tersendiri berhubung isu kebebasan. Tidak dinafikan, Islam adalah agama yang memperjuangkan kebebasan daripada sebarang bentuk perhambaan sesama makhluk. Sejak dari awal risalah baginda SAW, Islam mengajak kepada membebaskan hamba dan mengangkat martabat hamba.

Antaranya adalah pembebasan hamba dijadikan sebagai hukuman bagi yang melakukan kesalahan syarak. Juga hamba mesti dilayan setaraf dengan tuannya. Tidak diberi tugasan yang berat melebihi kemampuannya, zakat kepada hamba yang mahu dibebaskan bersyarat, dan pahala yang besar kepada yang memerdekakan hamba.

Syariat perhambaan Islam yang begitu membela golongan hamba telah menyebabkan menjadi hamba pada zaman Islam lebih ringan daripada menjadi orang merdeka. Akhirnya lama kelamaan perhambaan hilang dalam tamadun Islam walaupun di barat dan timur masih lagi terbelenggu dengan perhambaan sesama manusia.

Walau bagaimanapun, Islam tidak memberikan kemerdekaan yang mutlak kepada manusia. Tiada manusia boleh merdeka sebebas-bebasnya. Manusia tetap perlu menyedari mereka adalah berjiwa hamba. Tapi bukan kepada mana-mana makhluk bahkan hanya kepada Allah.

Memperhambakan diri kepada Allah dengan maksud menurut segala perintah, melaksanakan segala syariat-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Tidak menjadikan makhluk lain lebih dipatuhi berbanding-Nya.

Tidak menganggap ada kuasa lain lebih hebat dari kuasa-Nya. Tidak mempercayai ada undang-undang lebih sesuai dari undang-undang-Nya pada mana-mana zaman sekalipun.

Di sinilah letaknya beza kebebasan di sisi Islam dengan kefahaman pejuang Liberalisme. Penganut Liberalisme yang bertuhan, mempercayai tuhan memberikan kebebasan seluasnya kepada mereka. Tugas tuhan hanya mencipta kemudian membiarkan manusia hidup sendiri.

Penganut Liberalisme tidak bertuhan pula dari awal menganggap manusia yang menentukan apa untuk diri mereka sendiri, tanpa diganggu oleh orang lain.

Setelah kita mengenal erti kemerdekaan dalam Islam, maka apakah negara kita telah merdeka dengan erti kata ini? Nantikan kupasannya dalam siri yang berikut. – HARAKAHDAILY 29/8/2016

Share on Myspace