Merdekakan perlembagaan negara

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

RISALAH ANAK MERDEKA BHG 2

SEBAGAIMANA yang dinyatakan menerusi bahagian lalu, merdeka bagi seorang Islam bererti bebas daripada segala bentuk perhambaan kepada makhluk dan hanya memperhambakan diri kepada khaliq SWT. Dengan kefahaman ini, maka adakah negara tercinta kita sudah merdeka?

Jawabnya, negara hanya merdeka daripada individu penjajah, tetapi hakikatnya masih dibelenggu dengan sistem penjajah. Dengan erti kata lain, kemerdekaan kita masih belum sempurna dan perjuangan menuntut kemerdekaan ini perlu diteruskan.

Ketika rakyat tanah melayu bersatu menuntut kemerdekaan daripada penjajah British, kerajaan British telah melantik Lord Reid (Gambar atas) mengetuai sebuah suruhanjaya bagi menggubal sebuah perlembagaan untuk Malaysia. Ironinya, tiada seorangpun anak jati Tanah Melayu menjadi anggota dalam suruhanjaya tersebut.

British mensyaratkan sekiranya Tanah Melayu mahukan kemerdekaan, mereka harus menerima perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid sebagai undang-undang tertinggi negara. Delegasi Tunku Abdul Rahman yang terbang ke London akhirnya menyetujui perkara ini sebulat suara.

Walhasil, Tunku Abdul Rahman pulang membawa khabar gembira akan kemerdekaan. 31 Ogos 1957 diumumkan sebagai tarikh rasmi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Namun hakikat yang buruk di sebaliknya adalah, hanya kelibat British yang hilang daripada tanah melayu. Dengan perlembagaan Lord Reid itu, mereka masih menguasai Tanah Melayu!

Walaupun yang menjadi PM adalah anak Melayu, walaupun orang nombor satu adalah raja Melayu yang menjadi Yang di-Pertuan Agong, hakikatnya kuasa mereka berada di bawah izin perlembagaan. Yang paling berkuasa di negara kita hari ini adalah perlembagaan penjajah, hatta Yang di-Pertuan Agong sendiri tidak boleh bertindak melainkan apa yang dibenarkan perlembagaan.

Mujurlah para alim ulama kita yang celik politik dahulu sedar masalah ini. Mendengar khabar Suruhanjaya Reid, mereka cuba fahamkan rakyat tentang hakikat sebenar ini hingga membawa rakyat turun ke jalan raya.

Demonstrasi diadakan menuntut Suruhanjaya Reid memasukkan unsur-unsur jati diri Tanah Melayu ke dalam dasar perlembagaan negara. PAS menghantar memorandum mendesak tiga perkara utama dimasukkan dalam perlembagaan.

Ia adalah Islam sebagai agama rasmi, jaminan hak istimewa bumiputera dan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Akhirnya Suruhanjaya Reid akur dengan desakan ini.

Walau bagaimanapun, itu hanyalah sebahagian usaha awal agar Tanah Melayu tidak dijajah secara total. Perjuangan PAS dan alim ulama terdahulu masih diteruskan setelah British keluar dari tanah melayu.

Hal ini kerana akta-akta tanah, akta-akta ekonomi, akta-akta mahkamah, akta-akta pentadbiran negara masih dibelenggu sistem British. Sebahagian besarnya jelas bercanggah dengan jati diri asal Tanah Melayu yang berakidah Islam dan pernah ditadbir dengan sistem Islam sebelumnya.

Ia juga bercanggah dengan fasal 3 perlembagaan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Satu-satunya cara untuk merdeka daripada sebarang unsur penjajah adalah dengan meminda perlembagaan negara. Ini hanya boleh berlaku di Parlimen. Ikuti kupasan seterusnya dalam bahagian akan datang. – HARAKAHDAILY 30/8/2016

Share on Myspace