Kesatuan Ulamak Islam Sedunia galas isu Baitul Maqdis

IMRAN AL-MALIZI | .

Pada 25 Ogos 2016 Kesatuan Ulamak Islam Sedunia telah menganjurkan “Himpunan Pentas Ummah Selamatkan Al-Quds” bertempat di Plaj Resort, Istanbul.

Sebagai sebuah pertubuhan yang berpengaruh, Kesatuan Ulamak Islam Sedunia melalui salah satu sayapnya Lajnah Al-Quds telah menghimpunkan para ulamak dan pendakwah dalam dunia Islam untuk kembali mengangkat isu-isu Baitul Maqdis yang semakin dilupakan umat Islam.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Lajnah Al-Quds, Al-Syeikh Ahmad Al-Omari telah menegaskan kepentingan Masjid al-Aqsa sebagai ‘kiblat’ utama perjuangan umat Islam.

“Sebagaimana Mekah adalah kiblat bagi orang-orang yang rukuk dan sujud, maka Masjid al-Aqsa adalah kiblat bagi orang-orang yang berjihad dan melakukan ribat (mengawal sempadan tanah air),” katanya.

Menurutnya lagi, Kesatuan Ulamak Islam Sedunia di bawah pimpinan Al-Syeikh Dr.Yusuf al-Qaradhawi, pentadbiran organisasinya di bawah seliaan Setiausaha Agung, Al-Syeikh Dr.Ali Al-Qurrah Daghi dan Jawatankuasa Pemegang Amanah telah lama menganjurkan para ulama berbincang untuk mendokong usaha mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa dan kota Al-Quds.

Hasil daripada perbincangan kira-kira 800 orang ulamak pada tahun 2014, tertubuhlah Lajnah Al-Quds di bawah Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.

Dr.Ali Al-Qurrah Daghi dalam ucapannya pula menelusuri sejarah kepincangan dan perselisihan umat Islam dari kalangan para pemerintah, ulamak dan kaum muslimin yang tiada kesatuan hati, mengikut hawa nafsu dan melanggar perintah Allah sehingga menyebabkan kemasukan tentera Salib menguasai bumi Syam lebih 170 tahun.

Umat Islam sibuk dengan pertelingkahan falsafah, berdepan dengan fahaman-fahaman yang menyesatkan, penyelewengan dan kefasadan dalam pemerintahan dan kelemahan para ulamak sehingga membawa kepada keruntuhan.

Katanya, “Sesungguhnya sejarah itu berulang kembali”  Para ulamak silam telah menjalankan peranan untuk memperbaiki segala kerosakan umat Islam sebelum mereka dapat mengalahkan musuh-musuh mereka.

Para ulamak pada zaman ini perlu memainkan peranan yang sama untuk membina semula kekuatan umat dengan menggabungkan ilmu dan perjuangan.

Antara tokoh-tokoh ulamak yang membentangkan kertas kerja ialah Dr.Ahmad Said Hawwa yang membahaskan model mimbar dan khutbah Rasulullah S.A.W yang perlu dijadikan contoh oleh para khatib dan pendakwah pada zaman ini.

Para ulamak perlu menjadi rujukan umat dan tidak boleh membiarkan golongan “ruwaibidhoh” (yang tiada kelayakan) untuk berbicara mewakili mereka.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyebut kata-kata Sultan Salahuddin al-Ayyubi, “Sesungguhnya aku tidak membuka sesebuah negara dengan pedang-pedang tentera, namun aku membukanya dengan ilmu.”

Menurutnya lagi, kita perlu melahirkan para khatib yang berpotensi untuk menggerakkan umat sehingga tercapai cita-cita pembebasan Al-Quds.

Dr.Salman al-`Audah pula meluaskan lagi idea tersebut dalam kertas kerjanya berkenaan peranan mimbar masjid ke arah isu Baitul Maqdis.

Beliau menyatakan bahawa kita sedang hidup dalam suasana perpecahan umat dan permasalahan yang datang silih berganti.

“Namun, kita yakin semakin pekat kegelapan malam menandakan semakin dekat cahaya subuh,” ujarnya.
Manakala Dr.Jamal Abdul Sattar pula membicarakan tentang mimbar masjid yang juga berperanan untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa dalam pembentangan kertas kerjanya.

Persidangan ini turut mengambil inisiatif untuk merangka gerak kerja yang perlu dilaksanakan di medan amali.

Dalam rangka memperjuangkan isu Palestin, al-Quds dan Masjid al-Aqsa secara khusus, para ulamak di setiap negara perlu berperanan di bidang akademik, dakwah, politik dan sebagainya agar isu-isu ini dapat mendasari kehidupan umat Islam di seluruh peringkat.

Di antara objektif diadakan himpunan ini adalah bertujuan memberi maklumat dan kefahaman berkaitan kota suci al-Quds dari aspek sejarah, kepentingan dan kewajipan memperjuangkannya.

Antara lain, menggilap bakat para khatib dan pendakwah untuk menyampaikan khutbah, pidato dan ceramah berkaitan isu-isu al-Quds di samping meningkatkan keberkesanan usaha-usaha pembelaan negara Palestin yang bermaruah.

Kira-kira 100 orang peserta dari kalangan para ulamak dan pendakwah lelaki dan wanita dari pelbagai negara telah menyertai persidangan selama dua hari iaitu pada 25-26 Ogos 2016 mewakili institusi dan pertubuhan di negara masing-masing.

Delegasi Malaysia diwakili oleh Ustaz Muhammad Ismi bin Mat Taib (Timbalan Pengerusi Lajnah Al-Quds Malaysia) dan Ustaz Imran bin Selamat, (AJK Lajnah Al-Quds Malaysia).

Manakala perwakilan daripada badan politik diwakili oleh Dr.Abu Bakar bin Abdullah (AJK Dewan Ulamak PAS Pusat) dan Ustaz Zulkifli bin Ismail (AJK Dewan Ulamak PAS Pusat).

Di antara peranan yang perlu dimainkan oleh golongan ilmuan dan pendakwah di Malaysia ialah menyebarkan maklumat dan kefahaman berkaitan isu al-Quds dan kepentingan Masjid al-Aqsa dari aspek sejarah, kepentingan dan kewajipan memperjuangkannya.

Di samping itu, program dan aktiviti yang dapat meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia tentang keperluan dan kewajipan membela Al-Quds perlu ditingkatkan dan dianjurkan secara berkala.

Antara yang dibincangkan juga dalam himpunan ini, para ulamak perlu terlibat secara langsung meneruskan usaha dan menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk untuk mempertahankan kedudukan Al-Quds sebagai kota suci bagi umat Islam khasnya di Palestin dan dunia Islam secara am.

Dalam majlis penutup pada hari Jumaat, 26 Ogos lalu dua orang tokoh jemputan iaitu Dr.Abu Bakar al-Zahabi dan Dr.Ibrahim Boudukhah menekankan peri pentingnya pembinaan ikon atau tokoh perjuangan membebaskan al-Quds.

Ini kerana setiap tokoh dalam sejarah Islam seperti Sultan Muhammad al-Fateh dan Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang menjadi simbol pembukaan Konstantinopel dan pembebasan Baitul Maqdis bukanlah lahir secara kebetulan.

Namun di belakang mereka terdapat para ulamak dan ilmuwan yang mempersiapkan tokoh-tokoh pejuang itu dengan sifat-sifat rabbani yang melayakkan mereka mendapat kemenangan daripada Allah Ta’ala.

Penulis merupakan anggota Lajnah Al-Quds Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.
Rencana ini dipetik daripada laman web Kesatuan Ulamak Islam Sedunia - Asia.

Share on Myspace