RUU355 penerus legasi kemerdekaan

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

RISALAH ANAK MERDEKA BHG 3


DALAM tulisan lepas, kita menyatakan bahawa cara membebaskan negara dari belenggu penjajah adalah meminda perlembagaan tinggalan Lord Reid ini. Sebagai anak merdeka, walaupun kita patuh kepada undang-undang negara, tapi kita tidak boleh redha selama-lamanya dengan perlembagaan ini.

Perlu ada usaha untuk menuju ke arah kemerdekaan total dari saki baki penjajah menurut saluran yang betul.

Justeru sebagai wadah gerakan Islam, PAS sebelum merdeka lagi mengambil pendekatan menyertai pilihanraya dan menghantar wakil di Parlimen.

Sebagai badan legislatif, parlimen berkuasa menentukan undang-undang negara. Keberadaan PAS telah banyak memainkan peranan di parlimen. Walaupun dengan kuantiti ahli parlimen yang sedikit, tetapi kualitinya tetap bermutu untuk menyampaikan risalah kebenaran kepada pihak penentu undang-undang negara.

Terkini, satu lagi usaha PAS melalui Presidennya yang juga ahli parlimen Marang membawa usul RUU Pindaan akta 355 di bawah perlembagaan persekutuan.

Akta ini sejak digubal telah mengongkong mahkamah syariah setiap negeri dari menjalankan proses kehakiman berasaskan syariah tuhan.

Walaupun perlembagaan menetapkan urusan agama diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, tetapi akta ini jelas menunjukkan campurtangan dan pertindihan kuasa antara pusat dan negeri.

Oleh itu, usaha meminda akta ini amat wajar bukan sahaja demi menjaga keutuhan sistem federalisme negara, bahkan secara tidak langsung memartabatkan syariah Islam serta memerdekakan undang-undang negara dari kepeningan sistem aturan penjajah.

Akta 355 menetapkan bahawa mahkamah syariah hanya boleh menjalankan hukuman tidak lebih dari 3 tahun penjara, 6 kali sebatan dan 5000 ringgit denda. Lalu dengan merujuk kepada peruntukan perlembagaan pada fasal 3 iaitu Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan agama lain bebas diamalkan, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi mempertikaikan kenapa hak agama lain dijamin tetapi hak umat Islam untuk mengamalkan ajaran Islam sendiri disekat dengan akta 355 ini.

Dalam RUU ini, Tuan Guru mengusulkan supaya akta tersebut dipinda supaya memberikan kebebasan kepada mahkamah syariah untuk menjalankan proses kehakiman dengan undang-undang negeri masing-masing.

Namun begitu ia tidaklah bermakna selepas ini mahkamah syariah semua negeri bebas membicarakan apa sahaja kesalahan kerana tertakluk kepada peruntukan perlembagaan lain juga. Tetapi setidaknya usaha ke arah penambahbaikan mutu syariah Islam ditingkatkan. Kata hukama; apa yang tidak mampu dilakukan semuanya jangan ditinggalkan kesemuanya.

Alhamdulillah, setelah disampaikan dengan jelas betapa usul ini tidak bercanggah dengan perlembagaan dan tidak mengganggu agama lain, maka pihak kerajaan bersetuju memberikan laluan kepada usul ini untuk dibentang.

Dakwah PAS sekian lama di Parlimen akhirnya membuahkan hasil. Penentuan seterusnya adalah pada bacaan kali kedua bulan Oktober ini.

Usaha meminda akta ini adalah satu penerusan bagi perjuangan memerdekakan negara yang ditinggalkan pejuang terdahulu. Namun begitu, masih ada kumpulan yang cuba menghalang perjuangan kemerdekaan ini. InsyaAllah akan dikupas dalam tulisan berikutnya. – HARAKAHDAILY 31/8/2016

Share on Myspace