DAP dan MCA cuba mencalar kemerdekaan

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

RISALAH ANAK MERDEKA BHG 4


SETELAH diterangkan bahawa perjuangan meminda Akta 355 adalah penerus kepada perjuangan kemerdekaan negara yang ditinggalkan para pejuang terdahulu, maka kena juga perlu akui bahawa perjuangan ini ada penghalangnya. Jika tidak maka bukan perjuanganlah namanya.

Episod perjuangan ini sudah berada di pertengahan babak. Ceritera ini mesti disempurnakan. Babak lepas memaparkan PAS telah berjaya meyakinkan pihak kerajaan untuk membenarkan usul pindaan ini dibawa ke Parlimen. Hari ini, pemahaman tentang usul tersebut telah meresap masuk ke jabatan-jabatan kerajaan serta orang awam.

Kini bukan sahaja PAS yang memperjuangkannya, bahkan individu dari parti lain, NGO, kementerian dan jabatan kerajaan serta orang awam. Malah ia terlebih dahulu mendapat lampu hijau bahkan gesaan daripada pihak istana menerusi titah YDP Agong dalam upacara pembukaan parlimen sesi yang lalu.

Namun begitu, ada yang kurang senang dengan usul ini. Sejak pertama kali ia dibaca di Parlimen, sudah ada pihak yang gelabah. Ada ahli parlimen non-Muslim yang tidak bersetuju ia dibentang terlalu cepat walhal berita usaha PAS ini sudah berlaku bertahun lamanya hingga menyebabkan mereka keluar PR. Lebih menyedihkan, ada ahli parlimen Muslim yang mempertikaikan keizinan kerajaan terhadap usul ini, tidak langsung menampakkan kegembiraan dengan usaha memartabatkan syariah Islam ini.

Di luar parlimen pula, berbagai ucapan dan tulisan disebarkan menghasut rakyat akan bahaya RUU ini kepada mereka terutama non-Muslim. Bahkan orang Muslim daripada DAP menjadi jurucakap kuffar untuk menakutkan orang ramai. Terbaru pula adalah usaha pimpinan MCA memungut tandatangan bagi menghantar memorandum bantahan terhadap usul ini.

Ironinya, mereka adalah daripada pimpinan parti yang terdedah kepada maklumat lengkap dan terkini. Dengan kemampuan mereka untuk mengakses pemahaman tentang isu ini, mustahil mereka tidak faham bahawa akta ini tidak ada kaitan langsung dengan non-Muslim. Bahkan DAP merupakan bekas rakan pakatan yang sudah berpuluh kali diajak berdialog tentang perkara ini bersama NGO bukan Islam lain. Pimpinan parti ini juga hadir ketika YDP Agong bertitah.

Selepas berbagai sesi penerangan disampaikan, apa lagi yang boleh dikatakan terhadap penentangan yang mereka lakukan ini selain daripada kebencian dan permusuhan terhadap syariat Islam. Setelah tidak mampu berhadapan dengan hujah melalui dialog bersama PAS, mereka gunakan cara propaganda pula.

Sekiranya seluruh ahli parlimen non-Muslim tidak bersetuju sekalipun ia tidak menjejaskan undi kerana Muslim masih majoriti. Tetapi yang dibimbang adalah undi sebahagian ahli parlimen Muslim. Dengan sikap mereka hari ini, kita tidak boleh meletakkan harapan yang tinggi.

Justeru kita yang sedar dan faham tidak boleh berdiam diri. Manfaatkan segala apa yang kita mampu untuk memperjuangkan kemerdekaan negara ini. Jadilah muslim yang cakna akan isu ummah. Ketahuilah ini bukan lagi isu kepartian atau kebangsaan. Tapi isu agama dan kedaulatan negara. Percayalah jika orang Islam mempamerkan kesatuan mereka dalam menuntut akta tersebut dipinda, orang-orang politik tidak akan berani melulu.

Namun sekiranya kita masih memilih untuk berdiam dan menonton, jangan menyesal akan apa yang akan jadi terhadap generasi akan datang. Andai masih berpeluk tubuh setelah datang keterangan yang nyata, tunggu sahajalah selepas ini saat tiada lagi kebebasan (merdeka) untuk anda sebagai muslim di bumi sendiri hatta untuk beribadat sekalipun. – HARAKAHDAILY 1/9/2016

Share on Myspace