Janji Nabi kepada Adiy bin Hatim

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
JANJI NABI KEPADA ADIY BIN HATIM SEHINGGA MEMELUK ISLAM

Adiy bin Hatim at-Taiy, anak seorang pembesar kabilah Taiy yang kuat berpegang pada agama Kristian telah bertemu Rasulullah SAW. Beliau datang dengan memakai salib besar daripada emas menggambarkan kuatnya berpegang kepada agamanya.

Melihat keadaan tersebut, Rasulullah SAW berkata: "Kamu tidak berpegang dengan ajaran agama kamu yang sebenar kerana telah menjadikan pendita-pendita sebagai tuhan. Kamu mengikut peraturan yang direka oleh paderi, menyeleweng kitab asa yang diturunkan oleh tuhan."

Kemudian baginda SAW menambah: "Wahai Adi, masuklah Islam nescaya kamu akan selamat. Aku tahu kenapa kamu takut untuk memeluk Islam. Sebabnya kamu melihat Islam lemah dan tidak berkuasa. Wahai Adiy, adakah kamu kenal Kota Hiyrah? (sebuah kota di bawah taklukan Parsi)"

Jawab Adiy "Aku mengetahuinya tapi aku belum pernah ke sana".

"Wahai Adiy, lihatlah suatu hari nanti bahawa kota Hiyrah akan ditawan oleh Islam. Wanita-wanita Hiyrah akan berjalan dari sana menuju ke Mekah, aman tanpa sebarang gangguan. Juga harta akan melimpah ruah sehingga tidak cukup orang untuk menerima harta."

Akhirnya Adi menerima Islam dan istiqamah hingga ke akhir hayat. Ketika berlaku fenomena murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW, Adiy sedaya upaya mengajak kaumnya supaya tidak turut murtad.

Beliau sempat hidup di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab dan melihat dua dari tiga perkara yang Nabi SAW janjikan. Pada zaman tersebut, beliau melihat sendiri empayar Rom dan Parsi jatuh ke tangan Islam. Beliau juga melihat keamanan terjadi di zaman tersebut.

Adapun harta yang melimpah ruah berlaku di zaman khalifah Umar bin Abdul Aziz. Walaupun beliau cuma memerintah kira-kira 2 tahun sahaja, namun berkat memerintah dengan cara Islam, Allah limpahkan harta yang teramat banyak bagi umat Islam. Berlaku lebihan zakat yang banyak walaupun kesemua 8 asnaf telah menerima bahagian mereka semuanya. Akhirnya Umar Abdul Aziz berijtihad menambah asnaf kesembilan iaitu kepada orang-orang bujang yang belum berkahwin turut diberikan zakat.

Masjid Rusila
30 Zulkaedah 1437
2 September 2016

Share on Myspace