Kenyataan Mujahid: Sikap yang sudah dijangka

AHMAD FADHLI SHAARI | .

SAYA melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Datuk Dr Mujahid Yusuf, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang mempertikai kenyataan Mufti  Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Al-Bakri berhubung isu Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 yang bertujuan meminda had hukuman mahkamah syariah di negara ini. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Mujahid, beliau meminta supaya Mufti Wilayah Persekutuan tidak menggunakan kedudukan untuk mengeluarkan hukum.

Terdahulu, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menyiarkan satu tulisan terperinci di dalam ruangan Bayan Linnas berhubung keperluan menyokong RUU ini serta menyeru supaya semua ahli parlimen beragama Islam menyokong RUU tersebut apabila ia dibentangkan di dalam parlimen nanti.

Tindakan Mujahid tersebut sememangnya telah dijangka. Parti Amanah sedari dahulu akan sentiasa bertindak untuk tidak membelakangi sikap dan pendirian semasa parti DAP.

Justeru, ia dapat dilihat di dalam beberapa isu sebelum daripada ini. Ini termasuklah dalam isu pilihan raya negeri Pulau Pinang yang heboh diperkatakan sebelum daripada ini.

Kita tidak menyaksikan walau sepatah pun kenyataan daripada parti Amanah yang bertentangan dengan pendirian DAP yang mahukan pilihan raya negeri tersebut diadakan. Amanah bersetuju apabila DAP bersetuju, dan bersetuju ia ditangguhkan apabila DAP bersetuju ia ditangguhkan.

Justeru, kenyataan Mujahid ini tidakmengejutkan. Ia adalah sikap Amanah yang sudah dijangka. Ia menjelaskan lagi kepada masyarakat bahawa pemerkasaan mahkamah syariah dan langkah ke hadapan di dalam meningkatkan kedudukan Islam di negara ini bukanlah agenda Amanah. Untuk itu, jika mereka terpaksa berdepan dengan mufti sekalipun, mereka akan lakukan.

Saya setuju, mufti bukan maksum. Namun dalam hal ini, mufti Wilayah Persekutuan dikenali sebagai seorang yang sangat berhati-hati. Tulisannya yang terperinci berhubung RUU ini boleh dibaca dan difahami, namun amat dikesali sikap Mujahid yang terburu-buru dalam hal ini. – HARAKAHDAILY 5/9/2016

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Share on Myspace