Seimbang antara longgar dan ketat

. | .

Sekiranya kita membaca sejarah perkembangan mazhab-mazhab, firqah-firqah atau aliran yang pelbagai sama ada dalam perkembangan Islam ataupun luar Islam, kita akan sentiasa bertemu dengan adanya golongan yang tasahhul dan tasyaddud (longgar berwenang-wenang dan keras melampau).

Asal berlaku dua aliran ini sebahagiannya dinisbahkan kepada tujuan yang baik. Yang terlampau longgar beralasan awalnya dengan tujuan dakwah, realistik, keanjalan, menjaga dari kejumudan dan lain-lain. Yang terlampau ketat dan keras pula beralasan awalnya untuk menjaga keaslian, ketulenan, pior dan sebagainya.

Sama ada secara sedar atau tidak, mereka melampaui batas samaada longgar atau ketat. Ini berlaku ketika lahirnya aliran zahiri literalis, aqlaniyyun rasionalis, muktazilah dan lain-lain dalam perkembangan firqah-firqah dan mazhab.

Lahirnya komunis sosialis juga dianggap reaksi kepada kapitalis liberal. Menentang penjajah kolonial asalnya atas nama kebebasan, kesamarataan dan keadilan tetapi akhirnya menjadi diktator. Lihatlah negara-negara arab diktator yang berideologi sosialis.

Dalam gerakan Islam juga ada catatan-catatan yang menarik. Dalam ikhwan muslimin di peringkat awalnya dahulu wujud Nizam Khas. Kemudian harinya menyaksikan anggota Nizam Khas yang berbaiah dengan Hasan al-Banna ini setelah kematiannya, melakukan pemberontakan terhadap penggantinya Hasan Hudhaibi yang menggantikannya kerana menganggap Hasan Hudhaibi telah lari dari manhaj Hasan al- Bana.

Penggerak Nizam khas merasakan mereka lebih betul dari Hudhaibi dan syura ikhwan. Sikap ini telah menatijahkan perpecahan di dalam Ikhwan ketika itu, melahirkan aliran jalur keras.

Oleh kerana itu amat penting setiap dari kita belajar berpegang kepada hujjah yang kuat dan thiqah di dalam menentukan sikap. Serta mempraktiskan bayyinah (bukti), qarinah (petunjuk) dan sifat-sifat yang jelas dalam tindakan, serta berusaha sebaik mungkin mengikut saluran organisasi atau jamaah dalam menangani permasalahan dan isu-isu berbangkit.

Di sinilah hikmahnya i'tisham, ukhuwwah, wehdah dan jamaah. Ia nikmat tali Allah. Lainlah jika kepimpinan jamaah itu sendiri jelas terbukti melakukan tindakan yang bercanggah dengan kaedah syarak. Ketika itu jika nasihat tidak lagi berfungsi, taghyir, reform atau mufaraqah boleh dilakukan.

Ustaz Hazmi Dibok
Ketua Pemuda PAS Pahang

Share on Myspace